19 Aug 2014

Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan 03/2014

Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan 03/2014
 
Tarikh       : 17 Ogos 2014 (Ahad)
Masa                   : 10.00 pagi [Waktu Kavyan]
Tempat     : Rumah Kavyan, Taman Sri Muda, Shah Alam
Kedatangan       : Uthaya Sankar SB, Perzeus James, Muniswaran Errisson, Kughan Nadarajah dan Rayner Sylvester Yeo
Beraral      : Shahrul Nizam Abd Hamid
 
1. Ucapan Pengerusi Mesyuarat
1.1 Uthaya Sankar SB yang mempengerusikan mesyuarat mengalu-alukan kedatangan para ahli jawatankuasa (AJK) serta berharap setiap AJK dapat tiba mengikut Waktu Kavyan serta datang dengan persediaan penuh.
1.2 Tarikh 22 Ogos 2014 menandakan ulang tahun ke-15 Kavyan diasaskan. Bagaimanapun tidak ada sebarang sambutan atau upcara memandangkan tarikh itu merupakan Hari Berkabung Negara bagi mengenang tragedi MH17 (17 Julai 2014).
1.3 Selain pusat aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya, Rumah Kavyan turut digunakan sebagai tempat Projek Sumbangan Makan Tengah Hari dan kelas bimbingan.
1.4 Sukarelawan Kavyan diperlukan untuk memudahkan kerja. Bagaimanapun tidak ada nama yang dikemukakan.
1.5 Para AJK diminta bukan sahaja mengikuti perkembangan aktiviti Kavyan di blog dan Facebook tetapi juga berkongsi (share) pautan berkaitan menerusi Facebook. AJK juga boleh mengundang rakan-rakan ke laman Kumpulan Sasterawan Kavyan di Facebook.
 
2. Pembentangan Minit Mesyuarat
2.1 Perzeus James selaku Setiausaha membentangkan ringkasan minit mesyuarat lalu bertarikh 18 Mei 2014.
2.2 Pengesahan minit mesyuarat dilakukan oleh Kughan Nadarajah dan Uthaya Sankar SB.
 
3. Pembentangan Kedudukan Kewangan
3.1 Muniswaran Errisson selaku Bendahari membentangkan laporan kedudukan kewangan (tunai di tangan dan akaun bank) sehingga 15 Ogos 2014. Wang sumbangan orang ramai bagi Projek Sumbangan Makan Tengah Hari juga ditumpangkan dalam akaun bank yang sama.
3.2 Bermula mesyuarat akan datang (04/2014), Bendahari diminta mengirim penyata kewangan kepada para AJK melalui e-mel sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh mesyuarat.
3.3 Uthaya Sankar SB selaku penyelaras membentangkan kedudukan kewangan Rumah Kavyan sehingga 15 Ogos 2014. Wang tunai di tangan adalah sumbangan orang ramai bagi Projek Sumbangan Makan Tengah Hari.
 
4. Penglibatan AJK dalam Aktiviti Lalu
Setiap AJK terbabit mengemukakan laporan ringkas (lisan) mengenai aktiviti lalu.
 
4.1 Perzeus James melaporkan mengenai acara Baca Cerpen Kavyan – Seribu Harapan di Pusat Jagaan Kanak-kanak Seribu Harapan, Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Jun 2014. Empat wakil Kavyan – Perzeus James, Rayner Yeo, Kughan Nadarajah dan Uthaya Sankar SB – membimbing 17 peserta (kanak-kanak dan remaja). Setiap peserta menerima kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam sebagai cenderamata.
4.2 Uthaya Sankar SB melaporkan bahawa Bengkel Penulisan Surat Pembaca yang dijadualkan di Rumah Kavyan pada 8 Jun 2014 terpaksa ditunda kerana pertindihan tarikh dan masa dengan acara Baca Cerpen Kavyan – Seribu Harapan.
4.3 Kughan Nadarajah melaporkan mengenai Bengkel Latihan dan Baca Cerpen Kavyan di Rumah Kavyan pada 15 Jun 2014. Sejumlah 10 peserta acara Baca Cerpen Kavyan – Seribu Harapan di Pusat Jagaan Kanak-kanak Seribu Harapan dibawa untuk menjalani latihan susulan. Bagaimanapun hanya tiga peserta yang mencapai tahap yang diharapkan. Setiap peserta menerima cenderamata novel Panchayat: Edisi Khas. Pusat Jagaan Kanak-kanak Seribu Harapan sudah berpindah ke Bandar Puteri, Klang. Uthaya Sankar SB diminta menghubungi penyelaras di sana untuk membincangkan aktiviti susulan.
4.4 Uthaya Sankar SB melaporkan mengenai Forum Mempertahankan Agama Minoriti anjuran Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya di Rumah Kavyan pada 6 Julai 2014. Acara berjalan dalam suasana aman dan penuh maklumat. Seorang wakil penonton dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam juga membuat rakaman penuh forum. Bagaimanapun tidak ada sebarang masalah kerana forum dikendalikan mengikut lunas.
4.5 Uthaya Sankar SB melaporkan mengenai Projek Sumbangan Makan Tengah Hari di Rumah Kavyan mulai 7 Julai 2014. Buat masa ini, makanan disediakan untuk 20 orang. Pelajar dan murid terbabit meluangkan masa membaca di perpustakaan mini sebelum/selepas makan tengah hari. Foto-foto dipaparkan di Facebook sebagai dokumentasi.
4.6 Kughan Nadarajah melaporkan mengenai Bengkel Penulisan Cereka UPSR di SJKT Sungai Renggam, Shah Alam pada 12 Julai 2014. Sejumlah 32 murid Tahun Lima mengambil bahagian. Panitia Bahasa Malaysia dan Kelab Alumni sekolah berkenaan memberikan kerjasama serta menunjukkan minat bagi mengadakan aktiviti susulan. Bagaimanapun, 10 murid yang diminta menulis semula karangan mereka untuk disalurkan ke majalah Dewan Pelajar sebelum 9 Ogos 2014 gagal berbuat demikian. Hal ini sedikit mengecewakan.
4.7 Uthaya Sankar SB melaporkan mengenai Program Mendaftar Anak Malaysia anjuran bersama DHRRA di Rumah Kavyan pada 13 Julai 2014. Sejumlah enam keluarga datang untuk mendapatkan perkhidmatan ini. Kavyan hanya menyediakan kemudahan manakala DHRRA menguruskan susulan kes terbabit. Jika ada kes-kes baru, Kavyan boleh memanjangkannya kepada DHRRA.
4.8 Uthaya Sankar SB melaporkan mengenai Puasa Demi Perpaduan dan Doa Demi Keamanan anjuran bersama IMI-KL di Rumah Kavyan pada 19 Julai 2014. Acara baca cerpen diadakan sebagai pembuka tirai. Kemudian, para peserta berkongsi maklumat dan kisah mengenai amalan berpuasa dalam pelbagai agama dan budaya. Sesi doa mengikut anutan masing-masing juga diadakan. IMI-KL menyampaikan sumbangan zakat untuk kegunaan aktiviti di Rumah Kavyan, khasnya Projek Sumbangan Makan Tengah Hari.
4.9 Perzeus James melaporkan mengenai Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT Pulau Carey Timur pada 9 Ogos 2014. Mohd Fesal Muhammad dari Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merasmikan majlis manakala Siti Zubaidah Sekak, editor Dewan Pelajar menyampaikan taklimat. Perzeus James, Kughan Nadarajah dan Uthaya Sankar SB mengendalikan aktiviti bersama 17 murid. Pada masa hadapan, tiga SJKT yang terdapat di Pulau Carey boleh digabungkan bagi meramaikan peserta.
4.10 Uthaya Sankar SB melaporkan bahawa Baca Puisi Merdeka yang dijadualkan pada Ogos 2014 terpaksa dibatalkan kerana hanya empat penulis sajak kaum India menunjukkan minat menyampaikan sajak Bahasa Malaysia dan Tamil.
 
5. Perkembangan Perancangan Aktiviti 2014
Setiap AJK melaporkan perkembangan aktiviti akan datang; khususnya yang dinyatakan pada mesyuarat lalu (02/2014).
 
5.1 Muniswaran Errisson melaporkan bahawa SJKT Kajang sudah bersetuju mengundang Sasterawan Negara Datuk A Samad Said selaku Penasihat Agung Kavyan bagi sesi dialog sastera sempena Program Memartabatkan Bahasa Malaysia pada 11 November 2014 (Selasa). Murid-murid akan membuat persembahan berdasarkan karya (sajak, cerpen) Pak Samad.
5.2 Memandangkan Shahrul Nizam Abd Hamid tidak hadir serta tidak ada apa-apa perkembangan dilaporkan sejak mesyuarat lalu (02/2014), maka cadangan pameran khas berkaitan Pak Samad di Galeri Shah Alam dibatalkan.
5.3 Rayner Sylvester Yeo memaklumkan bahawa beliau akan menyertai Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) pada 23 Ogos 2014. Beliau meminta sedikit lagi masa untuk merancang dan  melaporkan perkembangan cadangan sesi dialog berkaitan isu bahasa dan penulisan bersama-sama anak-anak muda dalam GBM.
5.4 Perzeus James melaporkan bahawa cadangan Kunjungan ke Kampung Orang Asli di Pulau Carey pada Oktober 2014 terpaksa dibatalkan kerana pihak terbabit yang terlibat dalam menguruskan kunjungan gagal dihubungi.
5.5 Perzeus James melaporkan bahawa cadangan Konvoi Rumah Ibadat ke Gereja di Banting pada November 2014 terpaksa ditunda ke tahun depan kerana belum mendapat jawapan yang pasti daripada wakil gereja berkenaan.
5.6 Perzeus James melaporkan bahawa Bengkel Penulisan Cereka yang dicadangkan atas permintaan sekumpulan ibu bapa di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam terpaksa dibatalkan kerana wakil ibu bapa terbabit tidak membuat susulan.
 
6. Cadangan Aktiviti Tambahan (Ogos-Disember 2014)
Para AJK mencadangkan aktiviti tambahan bagi tahun ini.
 
6.1 Uthaya Sankar SB melaporkan mengenai cadangan Baca Novel Hanuman sempena Bulan Bahasa Kebangsaan di Rumah Kavyan pada 20 September 2014 (Sabtu). Selain mengambil bahagian, para AJK diminta membantu mempromosikannya menerusi Facebook dan Twitter.
6.2 Uthaya Sankar SB melaporkan mengenai cadangan Baca Cerpen Siru Kambam sempena Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT dan Bulan Bahasa Kebangsaan di SJKT Sungai Renggam, Shah Alam pada 9 Oktober 2014 (Khamis). Kughan Nadarajah menawarkan diri untuk menjadi penyelaras program ini. Sejumlah 20 murid dan 5 guru akan menghadiri taklimat dan sesi latihan di Rumah Kavyan pada 1 Oktober 2014. Uthaya Sankar SB akan melatih peserta selama seminggu di SJKT Sungai Renggam sebelum acara pada 9 Oktober 2014.
6.3 Uthaya Sankar SB melaporkan mengenai cadangan Sudut Sasterawan Negara dan Sudut Sasterawan Malaysia di Rumah Kavyan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sudah menyumbangkan sejumlah buku untuk memulakan koleksi berkenaan. Usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan sumbangan buku daripada para penulis sendiri.
6.4 Uthaya Sankar SB melaporkan mengenai usaha mencari sumbangan buku terpakai untuk perpustakaan mini di Rumah Kavyan. Beberapa individu sudah menyatakan minat tetapi belum berpeluang untuk datang ke Rumah Kavyan untuk menyerahkan buku.
6.5 Muniswaran Errisson mencadangkan supaya bantuan sempena Deepavali diberikan kepada lima keluarga miskin tanpa mengira kaum/agama. Beliau akan menguruskannya.
6.6 Perzeus James mencadangkan supaya pagar dan gril di Rumah Kavayn dicat bagi menceriakannya. Kerja-kerja mengecat dan membersih elok dilakukan sebelum Baca Novel Hanuman (20 September 2014). Tarikh yang dicaadangkan adalah 31 Ogos 2014. Perzeus James akan menyelaraskan projek ini.
 
7. Karya Wakil Kavyan di Media
Mesyuarat merakamkan ucapan tahniah kepada Kughan Nadarajah kerana makalah “Kenderaan Peribadi Elektrik Tanpa Pemandu” tersiar di Dewan Kosmik (Julai 2014) dan makalah “Rahsia Bunga Melati” tersiar di Dewan Budaya (Julai 2014).
 
8. Hal-hal berbangkit
Mesyuarat membincangkan hal-hal berbangkit daripada mesyuarat lalu (02/2014) serta hal-hal lain yang tidak dinyatakan dalam agenda kali ini, tetapi dirasakan perlu dibincangkan segera.
8.1 Memandangkan Shahrul Nizam Abd Hamid tidak menghadiri tiga Mesyuarat AJK secara berturut-turut (01/2014, 02/2014 dan 03/2014), Setiausaha diminta menghubungi beliau untuk mendapatkan pengesahan berhubung komitmen dalam Kavyan.
8.2 Perzeus James memaklumkan bahawa Interfaith Walk akan berlangsung di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 16 September 2014 sempena Hari Malaysia. Wakil Kavyan yang berkesempatan diundang menyertainya.
8.3 Mesyuarat berbincang mengenai pelbagai kes sosial dan bantuan sosial yang diuruskan oleh Kavyan sejak akhir Jun 2014. Perzeus James  dan Uthaya Sankar SB menguruskan beberapa kes. Maklumat terdapat di Facebook dan blog. Segala bantuan ini dibuat berkat sokongan dan sumbangan kewangan daripada orang ramai yang ikhlas tanpa mengharapkan publisiti. Mesyuarat merakamkan terima kasih kepada kesemua mereka.
 
9. Penetapan Tarikh Mesyuarat 04/2014
Tarikh Mesyuarat AJK akan datang (04/2014) ditetapkan pada 23 November 2014 (Ahad), pukul 10:00 pagi di Rumah Kavyan. Penetapan awal ini antara lain bagi memudahkan setiap AJK membuat persiapan lengkap sebelum menghadiri mesyuarat.
 
10. Penangguhan Mesyuarat
Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 11:45 pagi, diikuti jamuan ringan.