23 Jun 2014

Sumbangan Buku Terpakai untuk Rumah Kavyan

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada Ogos 1999 terlibat dalam pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya selaras dengan pegangan “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” [Foto].
 
Rumah Kavyan di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor mula digunakan bagi aktiviti Kavyan pada April 2014. Rak buku yang menempatkan bahan bacaan Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin disediakan di ruang aktiviti sebagai salah satu usaha menggalakkan kanak-kanak, remaja dan dewasa pelbagai kaum datang menikmati bahan bacaan bermutu.
 
Selaras usaha menambah bahan bacaan dan mempelbagaikan sumber bahan bacaan bermutu bagi masyarakat, Kavyan memohon sumbangan bahan bacaan terpakai (second hand books) daripada orang ramai.
 
Kami di Kavyan faham dan sedar bahawa “buku cerita terpakai” tidak bermakna ia sudah hilang/berkurangan nilai seni dan mutu yang dimilikinya. Novel, cerpen dan pelbagai fiksyen bermutu memang tidak hilang mutu ditelan zaman.
 
Kavyan tidak menolak sumbangan buku-buku baru; khususnya daripada kelompok penulis tempatan yang berhajat menyumbangkan senaskhah buku mereka untuk koleksi Sudut Sasterawan Negara dan Sudut Sasterawan Malaysia di Rumah Kavyan. [Foto 1] [Foto 2] [Foto 3] [Foto 4] [Foto 5] [Foto 6] [Foto 7]
 
Selain daripada simpanan di Rumah Kavyan, sebahagian buku juga akan disalurkan kepada kanak-kanak dan remaja di beberapa sekolah serta pelbagai pusat jagaan anak-anak yatim semasa aktiviti Kavyan.
 
Para penyumbang digalakkan mencatatkan mana-mana maklumat berikut pada setiap buku terpakai yang disumbangkan: nama, alamat, nombor telefon, alamat e-mel, laman blog atau Facebook. Inilah sahaja “pengiktirafan” yang mampu diberikan oleh Kavyan kepada para penyumbang budiman.
 
Bahan bacaan boleh disumbangkan ke alamat berikut:
 
Rumah Kavyan
27 Jalan 25/82-B
Taman Sri Muda
40400 Shah Alam
 
Kami juga boleh cuba mengusahakan cara-cara lain untuk memudahkan sumbangan/penghantaran buku anda kepada kami.
 
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my atau 016-3288142 (Uthaya Sankar SB).

No comments: