30 Jun 2026

Kes Gangguan Seksual Melibatkan Tokoh Sastera Tidak Boleh Didiamkan

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) yang mewakili kelompok penulis kaum India dalam sastera kebangsaan memandang serius isu tokoh sastera dan pejuang sastera yang dikatakan melakukan amang seksual dan gangguan seksual secara maya terhadap beberapa penulis wanita dan bekas peserta bengkel penulisan kendalian tokoh terbabit.

Tindakan berani penulis seperti Sarah Ross dan Maghfirah Tmz membuat laporan polis menunjukkan betapa serius kes ini. Malah, berdasarkan perkongsian di media sosial oleh Sarah Ross, apa yang berlaku bukan kes terpencil kerana beberapa penulis wanita yang terlibat dalam Sastera Melayu tampil menyatakan mereka juga menerima mesej berbaur seksual daripada individu terbabit yang dinobatkan sebagai sasterawan negeri beberapa tahun lalu.

Kavyan yang terlibat dalam mengendalikan program galakan membaca serta bengkel penulisan di seluruh negara melibatkan peserta pelbagai kaum dan pelbagai peringkat umur memandang serius kes ini. Kavyan berharap siasatan terperinci dilakukan serta tindakan tegas diambil, termasuk oleh institusi bahasa dan sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Apabila seorang penulis yang diangkat sebagai tokoh sastera, pejuang sastera, dan pembimbing bengkel penulisan menyalahgunakan kedudukan untuk melakukan amang seksual dan gangguan seksual terhadap peserta bengkel khasnya dan golongan penulis wanita amnya, kes ini cukup serius dan wajar ditangani dengan segera.

Kavyan menegaskan bahawa kedudukan sebagai pejuang sastera, tokoh sastera, penerima anugerah sasterawan negeri, pembimbing bengkel penulisan, editor, pegawai institusi sastera dan sebagainya bukan tiket atau imuniti untuk mana-mana individu melakukan perbuatan terkutuk seperti yang didakwa berlaku.

Dunia sastera kebangsaan sepatutnya menjadi ruang selamat (safe space) untuk sesiapa sahaja melibatkan diri tanpa perlu bimbang kemungkinan ada pihak cuba mengambil kesempatan, termasuk amang seksual dan gangguan seksual.

Berdasarkan perkongsian dan perbincangan di media sosial, Kavyan juga kecewa dengan sikap sekelompok penulis yang meminta mangsa seperti Sarah Ross dan Maghfirah Tmz supaya “jangan dedah aib orang sastera”. Pandangan, pendirian, dan nasihat seperti ini sebenarnya “memenangkan” pemangsa kerana meminta “mangsa” berdiam diri.

Dalam hal ini, Kavyan memuji dan menyokong keberanian mangsa seperti Sarah Ross dan Maghfirah Tmz tampil membuat laporan polis supaya siasatan boleh dilakukan pihak berkuasa.

Tidak mustahil ada lagi tokoh sastera tempatan yang terlibat dalam melakukan amang seksual dan gangguan seksual terhadap golongan penulis pemula dan peserta bengkel penulisan. Kavyan menggesa sesiapa yang pernah menjadi mangsa supaya berani tampil ke hadapan untuk mendedahkan apa yang berlaku.

Dalam hal ini, Kavyan menyokong inisiatif Sarah Ross dan rakan-rakan mengumpul lebih banyak bahan bukti daripada lebih ramai mangsa supaya tindakan kolektif dapat diambil.

Sementara itu, para penulis khasnya penulis pemula perlulah sentiasa berwaspada dan tidak berdiam diri jika terdapat tanda-tanda ada pihak cuba mengambil kesempatan atau melakukan sebarang bentuk gangguan seksual.

Amatlah mengecewakan kerana nampaknya ada tokoh sastera yang dihormati cuba menyalahkan kedudukan dan kepercayaan orang ramai dengan melakukan perbuatan terkutuk.

Karya sastera berperanan menyampaikan mesej positif serta merakam realiti sezaman. Kavyan menyarankan supaya para penulis turut menulis tentang isu amang seksual dan gangguan seksual dalam karya demi mendidik masyarakat. Karya seperti ini juga akan menjadi sumber maklumat kepada golongan penulis sendiri yang nampaknya tidak lagi selamat daripada menjadi mangsa tokoh sastera tempatan.

* Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) di Shah Alam, Selangor pada 29 Jun 2026. Disiarkan di Titik Baca dengan tajuk “Jangan Lindungi Pemangsa, Dunia Sastera Mesti Jadi Ruang Selamat – Kavyan” (30 Jun 2026).

No comments: