19 May 2014

Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan 02/2014

Tarikh           : 18 Mei 2014 (Ahad)
Masa              : 10.00 pagi [Waktu Kavyan]
Tempat          : Rumah Kavyan, Taman Sri Muda, Shah Alam
Kedatangan : Uthaya Sankar SB, Perzeus James, Muniswaran Errisson, Kughan Nadarajah dan Rayner Sylvester Yeo
 
1. Ucapan Pengerusi Mesyuarat
1.1 Uthaya Sankar SB yang mempengerusikan mesyuarat mengalu-alukan semua yang hadir.
1.2 Pengerusi memaklumkan bahawa tarikh 22 Ogos 2014 menandakan ulang tahun ke-15 Kavyan diasaskan.
1.3 Rumah Kavyan sudah mula digunakan sebagai pusat aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.
1.4 Sumbangan diterima daripada beberapa individu bagi membeli barangan keperluan di Rumah Kavyan.
 
2. Pembentangan Minit Mesyuarat
Perzeus James selaku Setiausaha membentangkan ringkasan minit mesyuarat lalu bertarikh 23 Februari 2014. Pengesahan dilakukan oleh Rayner Yeo dan Kughan Nadarajah.
 
3. Pembentangan Kedudukan Kewangan
3.1 Bendahari membentangkan laporan kedudukan kewangan sehingga 30 April 2014.
3.2 Uthaya Sankar SB membentangkan kedudukan kewangan Rumah Kavyan sehingga 6 Mei 2014. Sumbangan daripada Thavamani Krishnan (RM100) dan Vickneswaran @ Vicky  (RM60) digunakan untuk membeli makanan dan minuman bagi pengunjung Rumah Kavyan manakala sumbangan Saravanan (RM200) sudah dimasukkan ke dalam akaun bank Kavyan.
 
4. Penglibatan AJK dalam Aktiviti Lalu
4.1 Kunjungan ke Pangsapuri Taman Permata, Dengkil pada 1 Mac 2014. Perzeus James dan Uthaya Sankar SB terlibat dalam kunjungan ini. Perzeus James melaporkan bahawa beberapa makalah telah ditulis berikutan kunjungan ini, iaitu “Mencari Dalang di Taman Permata”, “Perjuangan Wanita Taman Permata”, “Mana Rumah Teres Kami?” dan “Dari Galloway ke Taman Permata”. Stesen televisyen Al-Jazeera juga menghubungi Kavyan untuk mendapatkan maklumat isu Taman Permata bagi membuat liputan khas.
4.2 Gotong-royong membersihkan Rumah Kavyan pada 15 Mac 2014. Shahrul Nizam Abd Hamid, Perzeus James dan Uthaya Sankar SB terlibat dalam gotong-royong itu. Perzeus James menceritakan sedikit pengalaman itu serta mengatakan bahawa usaha berterusan akan dilakukan sedikit demi sedikit untuk membaiki kemudahan yang ada.
4.3 Diskusi novel Sungai Mengalir Lesu karya Penasihat Agung Kavyan, Datuk A Samad Said pada 1 April 2014. Shahrul Nizam Abd Hamid, Rayner Sylvester Yeo dan Uthaya Sankar SB menghadirinya. Rayner Yeo melaporkan mengenai majlis itu. Beliau juga mengedarkan salinan (draf) laporan yang sudah ditulis untuk disiarkan di blog Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
4.4 Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT Nilai, Negeri Sembilan pada 2 April 2014. Uthaya Sankar SB yang terlibat dalam program itu melaporkan bahawa ia dijalankan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
4.5 Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT Ladang Selangor River pada 5 April 2014. Uthaya Sankar SB yang terlibat dalam program ini melaporkan bahawa penolong editor majalah Dewan Pelajar turut hadir sebagai penceramah.
4.6 Dialog Sasterawan Negara Datuk A Samad Said di SJKT Taman Melawati pada 9 April 2014. Uthaya Sankar SB yang terlibat dalam program itu melaporkan bahawa ini merupakan SJKT pertama yang dikunjungi oleh Pak Samad. Sambutan para guru dan murid-murid amat menggalakkan.
4.7 Bengkel Penulisan Makalah Budaya di Rumah Kavyan pada 27 April 2014. Uthaya Sankar SB yang mengendalikan bengkel itu melaporkan bahawa enam orang menjadi peserta untuk belajar pelbagai ilmu penulisan makalah budaya. Para peserta diharap akan menghasilkan makalah yang sesuai untuk siaran majalah Dewan Budaya.
4.8 Kunjungan ke Cameron Highlands pada 1-4 Mei 2014 bagi mengumpul bahan penulisan makalah. Perzeus James dan Uthaya Sankar SB terlibat dalam kunjungan ini. Perzeus James melaporkan bahawa mereka berpeluang melawat dan mewawancara beberapa penduduk di sekitar Cameron Highlands berkaitan pelbagai isu yang sesuai dipaparkan dalam makalah. Foto-foto sudah dimuatkan di Facebook tetapi makalah berkaitan masih dalam proses penulisan.
4.9 Bengkel Cereka UPSR di Rumah Kavyan pada 10 Mei 2014. Uthaya Sankar SB yang mengendalikan bengkel itu melaporkan bahawa hanya empat murid hadir sementara empat lagi menarik diri kerana ada sekolah ganti. Para peserta dibimbing cara-cara menghasilkan cereka yang sesuai bagi siaran majalah Dewan Pelajar. Peserta diminta mengirimkan karya kepada pembimbing untuk dinilai.
4.10 Bengkel Penulisan Cereka di SJKT Taman Melawati pada 14 Mei 2014. Uthaya Sankar SB yang mengendalikan bengkel itu melaporkan bahawa 23 murid Tahun 4, 5 dan 6 mengambil bahagian. Mereka dibimbing untuk menghasilkan cereka yang sesuai bagi majalah Dewan Pelajar. Sejumlah lapan manuskrip sudah disemak dan disalin semula oleh peserta manakala baki peserta diminta menyerahkan karya untuk penilaian.
 
5. Perkembangan Perancangan Aktiviti 2014
Setiap AJK melaporkan perkembangan aktiviti; khususnya yang dinyatakan pada mesyuarat lalu (23 Februari 2014).
 
5.1 Uthaya Sankar SB melaporkan bahawa Bengkel Penulisan di SJKC Kuen Cheng 2 pada Mac, April dan Mei 2014 terpaksa ditunda atas permintaan guru terbabit kerana murid-murid sibuk dengan ujian dan peperiksaan. Tarikh baru akan dimaklumkan oleh pihak sekolah.
5.2 Kughan Nadarajah melaporkan bahawa kertas kerja Bengkel Penulisan akan diserahkan kepada guru besar SJKT Sungai Renggam, Shah Alam pada minggu ini. Bengkel dijangka diadakan semasa cuti sekolah (mungkin 28 Mei 2014) sebagai salah satu pengisian kelas tambahan bagi murid Tahun 6. Maklumat akan disampaikan dengan segera kepada para AJK Kavyan sebaik mendapat pengesahan daripada pihak sekolah.
5.3 Muniswaran Errisson melaporkan bahawa guru besar SJKT Kajang sudah bersetuju mengundang Sasterawan Negara Datuk A Samad Said bagi sesi dialog sastera tetapi tarikh belum ditetapkan. Uthaya Sankar SB meminta perkara itu disegerakan kerana perlu menyemak jadual Pak Samad supaya tidak bertembung dengan aktiviti lain.
5.4 Shahrul Nizam Abd Hamid tidak hadir dan tidak memaklumkan mengenai pameran khas berkaitan Pak Samad di Galeri Shah Alam. Laporan dijangka diberikan dalam masa terdekat menerusi e-mel kepada para AJK Kavyan.
5.5 Rayner Sylvester Yeo memaklumkan bahawa Bengkel Pengacaraan Majlis digantikan dengan sesi dialog berkaitan isu bahasa dan penulisan bersama-sama anak-anak muda dalam Gabungan Bertindak Malaysia (GBM). Maklumat lanjut akan disampaikan kepada para AJK Kavyan dalam masa terdekat.
5.6 Perzeus James melaporkan bahawa Bengkel Penulisan/Sajak Patriotik di SJKT Emerald, Shah Alam pada Ogos 2014 (Bulan Kemerdekaan) terpaksa dibatalkan kerana gagal menghubungi guru besar sekolah terbabit untuk berbincang. Konvoi Rumah Ibadat ke Gereja di Banting pula akan dijalankan pada November 2014. Tarikh akan ditetapkan oleh kelompok belia dari Banting yang menguruskan konvoi itu.
 
6. Cadangan Aktiviti Tambahan 2014
Para AJK mencadangkan aktiviti tambahan. Antara cadangan yang sempat dibincangkan:
 
6.1 Bengkel Latihan dan Baca Cerpen Kavyan di Rumah Kavyan pada 15 Jun 2014 (Ahad). Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa promosi sudah dibuat menerusi blog Kavyan. Beliau juga berharap AJK Kavyan yang sudah ada pengalaman membaca cerpen di pentas turut mendaftar sebagai peserta supaya dapat membimbing para peserta lain.
6.2 Bengkel Penulisan Surat Pembaca di Rumah Kavyan. Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa belum ada tarikh ditetapkan. Maklumat akan disiarkan di blog Kavyan dalam masa terdekat.
6.3 Acara Baca Cerpen Kavyan di Pusat Jagaan Kanak-kanak Seribu Harapan, Taman Sri Muda, Shah Alam. Perzeus James memaklumkan bahawa acara akan berlangsung pada 8 Jun 2014 (Ahad) dan melibatkan sekitar 15-20 remaja. Para AJK Kavyan diharap dapat hadir sama untuk membimbing peserta membaca cerpen.
6.4 Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT Pulau Carey. Perzeus James memaklumkan bahawa DBP sudah bersetuju dengan program ini dan akan diadakan pada Ogos 2014. Tarikh akan ditetapkan oleh pihak sekolah.
6.5 Baca Puisi Merdeka. Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa 10 penyair kaum India (yang menghasilkan sajak Bahasa Malaysia atau Bahasa Tamil) diperlukan bagi acara ini. Bagaimanapun, sehingga kini hanya ada 4 peserta yang menunjukkan minat. DBP mungkin membatalkan acara ini jika kurang sambutan.
6.6 Bengkel Penulisan Cereka. Perzeus James memaklumkan bahawa ada permintaan daripada sekumpulan ibu bapa di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam supaya bengkel diadakan pada Julai 2014 bagi membimbing anak-anak mereka (murid sekolah rendah). Bengkel akan dihadkan bagi 6-8 peserta dan akan dijalankan di Rumah Kavyan berdasarkan format Bengkel Cereka UPSR.
6.7 Kunjungan ke Kampung Orang Asli di Pulau Carey. Perzeus James memaklumkan bahawa kunjungan ini akan diadakan pada Oktober 2014. Maklumat lanjut akan menyusul.
 
7. Hal-hal berbangkit
Mesyuarat membincangkan hal-hal berbangkit daripada mesyuarat lalu (23 Februari 2014) serta hal-hal lain yang tidak dinyatakan dalam agenda, tetapi dirasakan perlu dibincangkan segera.
 
7.1 Mesyuarat lalu (23 Februari 2014) membincangkan mengenai cara mengumpul dana bagi tabung Kavyan. Perzeus James mencadangkan penjualan pelekat kereta (car sticker) yang memuatkan petikan kata-kata Pak Samad. Oleh kerana sibuk dengan pelbagai urusan lain, Perzeus James meminta izin untuk melaporkan perkembangan cadangan itu pada mesyuarat akan datang. Mesyuarat bersetuju.
7.2 Dalam mesyuarat lalu (23 Februari 2014), Kughan Nadarajah mencadangkan penjualan buku-buku Pak Samad yang ada dalam simpanan Uthaya Sankar SB di mana keuntungan boleh dimasukkan ke tabung Kavyan. Perzeus James mencadangkan kaunter jualan buku-buku Pak Samad dan Uthaya Sankar SB dibuka semasa aktiviti Kavyan dan pelbagai pihak lain. Setakat ini belum ada perkembangan tetapi cadangan jualan ini akan diteruskan.
7.3 Perzeus James memberitahu bahawa guru besar SJKT Ladang Boh 1, Cameron Highlands yang ditemui pada 2 Mei 2014 mengalu-alukan aktiviti Kavyan dijalankan di sekolah berkenaan. Memandangkan aktiviti bagi tahun ini agak padat, program di sekolah berkenaan mungkin dibawa ke tahun hadapan.
7.4 Uthaya Sankar SB memaklumkan mengenai kenyataan media bertajuk “Belum tak dapat, Chetti berciciran” yang dikeluarkan pada 10 Mei 2014 sebagai tanda solidariti dengan penduduk Kampung Chetti, Melaka. Kavyan juga memantau perkembangan isu itu dari semasa ke semasa.
7.5 Muniswaran Errisson bertanya mengenai isu “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara”. Perzeus James dan Uthaya Sankar SB memberikan sedikit penjelasan serta meminta para AJK Kavyan mendapatkan maklumat lengkap di blog. Mesyuarat dimaklumkan bahawa Uthaya Sankar SB dan Perzeus James membuat laporan polis secara individu dan bukannya mewakili Kavyan.
 
8. Penetapan Tarikh Mesyuarat 03/2014
Mesyuarat AJK akan datang (03/2014) ditetapkan pada 17 Ogos 2014; menjelang ulang tahun ke-15 Kavyan. Penetapan awal ini antara lain bagi memudahkan setiap AJK membuat persiapan lengkap sebelum menghadiri mesyuarat.
 
9. Penangguhan Mesyuarat
Mesyuarat ditangguhkan pada 11:40 pagi.