23 Feb 2014

Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan 01/2014

Tarikh           : 23 Februari 2014 (Ahad)
Masa              : 10.00 pagi [Waktu Kavyan]
Tempat          : Nasi Kandar PJ (Restoran Romantik), Taman Sri Muda
Hadir             : Uthaya Sankar SB, Perzeus James, Rayner Yeo dan Kughan Nadarajah
 
1. Ucapan Pengerusi Mesyuarat
Uthaya Sankar SB selaku Presiden Kavyan dan pengerusi mesyuarat mengalu-alukan kedatangan para AJK dan menghuraikan serba-sedikit perkembangan semasa aktiviti Kavyan serta harapan terhadap Kavyan pada masa hadapan; khususnya menjelang 15 tahun penubuhan. Beliau meminta AJK patuh pada Etika Mesyuarat Kavyan serta berharap AJK dapat menunjukkan komitmen dan tanggungjawab menghadiri mesyuarat memandangkan tarikh diputuskan lebih awal. Selewat-lewatnya menjelang Ogos 2014 (15 tahun penubuhan Kavyan), kebanyakan aktiviti, pertemuan dan mesyuarat akan dijalankan di “rumah” Kavyan. Perkara itu akan dibincangkan dalam Hal-hal Berbangkit.
 
2. Pembentangan Minit Mesyuarat
Kughan Nadarajah selaku Setiausaha membentangkan ringkasan minit mesyuarat bertarikh 16 November 2013.
 
3. Pembentangan Kedudukan Kewangan
Laporan kedudukan kewangan sehingga 31 Januari 2014 tidak dapat dibentangkan untuk pengesahan kerana Bendahari (Muniswaran Errisson) tidak hadir atas sebab masalah keluarga. Muniswaran perlu mengemukakan laporan kewangan menerusi e-mel kepada para AJK sebelum 2 Mac 2014 untuk makluman dan pengesahan.
 
4. Penglibatan AJK dalam Aktiviti Lalu
4.1 AJK Utama melaporkan secara ringkas aktiviti yang telah dikendalikan sejak 17 November 2013. Uthaya Sankar SB melaporkan mengenai Bengkel Penulisan di SJKC Kuen Cheng 2 (12 Februari 2014) manakala Kughan Nadarajah melaporkan mengenai Solidariti Kampung Chetti (29 Disember 2013).
4.2 AJK Khas melaporkan secara ringkas aktiviti yang telah disertai sejak 17 November 2013; serta perkara yang dilakukan sebagai susulan daripada penyertaan aktiviti itu. Perzeus James melaporkan mengenai video khas “Warisan yang Dilupakan” yang dihasilkan selepas Solidariti Kampung Chetti (29 Disember 2013) manakala Rayner Yeo melaporkan mengenai Kunjungan Perpaduan ke Perkampungan Portugis (14 Disember 2013). Shahrul Nizam Abd Hamid (telah melaporkan kepada Uthaya Sankar SB pada 22 Februari 2014) menyertai Solidariti Kampung Chetti (29 Disember 2013) dan memuatkan foto-foro menerusi Facebook.
4.3 AJK Utama melaporkan secara ringkas aktiviti yang telah disertai sejak 17 November 2013; serta perkara yang dilakukan sebagai susulan daripada penyertaan aktiviti itu. Uthaya Sankar SB terlibat dalam menulis makalah berkaitan Kunjungan Perpaduan Kavyan (14-15 Disember 2013), Solidariti Kampung Chetti (29 Disember 2013) dan Ceramah Pak Samad di SJKC Kuen Cheng 2 (17 Februari 2014). Kughan Nadarajah membuat rakaman foto dan video berkaitan Solidariti Kampung Chetti (29 Disember 2013), Kembali ke Kampung Chetti (14 Januari 2014) dan Lawatan Kerja ke Lembah Bujang (31 Januari 2014) serta dimuatkan di Facebook.
4.4 Antara aktiviti yang dianjurkan dan disertai wakil Kavyan:
 
24 November 2013 – Konvoi Rumah Ibadat ke Kuil Seksyen 23, Shah Alam [VIDEO]
 
30 November 2013 – Baca Cerpen Dr Othman Puteh di DBP [VIDEO]
 
14 Disember 2013 – Kunjungan Perpaduan Kavyan ke Perkampungan Portugis, Melaka [VIDEO]
 
15 Disember 2013 – Kunjungan Perpaduan Kavyan ke Kampung Chetti, Melaka [VIDEO] [VIDEO]
 
29 Disember 2013 – Solidariti Kampung Chetti
 
13 Januari 2014 – Ceramah Penulisan di SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur
 
14 Januari 2014 – Kembali ke Kampung Chetti [VIDEO] [VIDEO]
 
19 Januari 2014 – Ponggal di Gereja Divine Mercy, Shah Alam [VIDEO]
 
31 Januari 2014 – Lawatan Kerja ke Lembah Bujang [VIDEO]
 
12 Februari 2014 – Bengkel Penulisan di SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur
 
17 Februari 2014 – Ceramah Pak Samad di SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur
 
5. Perancangan Aktiviti 2014
Setiap AJK memaklumkan aktiviti yang akan dikendalikan pada tahun 2014. Bukan “mencadangkan” aktiviti tetapi melaporkan perkembangan aktiviti yang akan dikendalikan.
 
5.1 Uthaya Sankar SB: Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT Ladang Selangor River, Bukit Rotan pada 5 April 2014; Ceramah Pak Samad di SJKT Taman Melawati, Gombak pada 9 April 2014; Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT Nilai, Negeri Sembilan pada Mei 2014; Bengkel Penulisan di SJKC Kuen Cheng 2 pada Mac, April dan Mei 2014.
5.2 Kughan Nadarajah: Bengkel Penulisan di SJKT Sungai Renggam, Shah Alam.
5.3 Muniswaran Errisson: Tidak Hadir – Perlu mengemukakan laporan cadangan aktiviti menerusi e-mel kepada para AJK.
5.4 Shahrul Nizam Abd Hamid: Tidak Hadir – Sudah mengemukakan laporan kepada presiden pada 22 Februari 2014 mengenai program pameran khas berkaitan Pak Samad di Galeri Shah Alam.
5.5 Rayner Sylvester Yeo: Bengkel Pengacaraan Majlis.
5.6 Perzeus James: Bengkel Penulisan/Sajak Patriotik di SJKT Emerald, Shah Alam pada Ogos 2014 (Bulan Kemerdekaan); Solidariti Taman Permata, Dengkil (1 Mac 2014); Konvoi Rumah Ibadat ke Gereja di Banting; Kunjungan Perpaduan Kavyan ke Cameron Highlands pada 1 Mei 2014.
 
Contoh/cadangan aktiviti lain:
Konvoi Rumah Ibadat di Georgetown (8-9 Mac 2014); Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT/SJKC; Kunjungan Perpaduan/Kebudayaan Kavyan; Konvoi Rumah Ibadat; Baca Cerpen; Bengkel Penulisan Cerpen.
 
6. Hal-hal berbangkit
Mesyuarat membincangkan hal-hal lain yang tidak dinyatakan dalam agenda, tetapi dirasakan perlu dibincangkan segera.
6.1 Kughan Nadarajah meminta dilepaskan daripada jawatan Setiausaha berikutan komitmen kerja dan keperluan untuk memfokus pada perkara-perkara lain. Beliau tetap akan menyertai aktiviti Kavyan. Selepas dibincangkan, persetujuan dicapai supaya Perzeus James mengambil alih jawatan Setiausaha sementara Kughan Nadarajah menjadi AJK Khas.
6.2 Mesyuarat membincangkan mengenai cara mengumpul dana bagi tabung Kavyan. Perzeus James mencadangkan penjualan pelekat kereta (car sticker) yang memuatkan petikan kata-kata Pak Samad. Kughan Nadarajah mencadangkan penjualan buku-buku Pak Samad yang ada dalam simpanan Uthaya Sankar SB di mana keuntungan boleh dimasukkan ke tabung Kavyan. Perzeus James mencadangkan kaunter jualan buku-buku Pak Samad dan Uthaya Sankar SB dibuka semasa aktiviti Kavyan dan pelbagai pihak lain. Bendahari diminta mengusahakan segera kutipan yuran tahunan (RM10) bagi tahun 2014. Kesemua cadangan dan usul dipersetujui selepas dibincangkan dalam mesyuarat. Individu terbabit diminta melaporkan perkembangan dari semasa ke semasa.
6.3 Gotong-royong akan diadakan pada 15 Mac 2014 bagi membersihkan tingkat bawah rumah Uthaya Sankar SB supaya boleh dijadikan tempat aktiviti Kavyan. Shahrul Nizam Abd Hamid, Perzeus James dan Uthaya Sankar SB sudah menyatakan persetujuan dan komitmen untuk terlibat.
6.4 Mesyuarat membincangkan nama yang sesuai diberikan selepas tingkat bawah rumah sudah sedia dijadikan tempat aktiviti Kavyan. Antara cadangan yang dikemukakan adalah Rumah Kavyan, Sanggar Kavyan, Galeri Kavyan, Pejabat Kavyan, Ruang Kavyan, Laman Kavyan, Pusat Gerakan Kavyan dan Sekretariat Kavyan. Dua nama yang disenarai pendek adalah “Rumah Kavyan” dan “Laman Kavyan”. Selepas dibincangkan secara mendalam dari pelbagai sudut, keputusan diambil untuk menggunakan nama “Rumah Kavyan”.
 
7. Penetapan Tarikh Mesyuarat 02/2014
AJK memutuskan tarikh dan masa bagi Mesyuarat AJK akan datang adalah pada 18 Mei 2014 (Ahad), 10:00 pagi di Rumah Kavyan. Penetapan awal ini antara lain bagi memudahkan setiap AJK memaklumkan keluarga/kekasih/rakan mengenai komiten menghadiri mesyuarat, serta persiapan menghadiri mesyuarat.
 
8. Mesyuarat Ditangguhkan
Mesyuarat ditangguhkan pada 11:30 pagi.