Saturday, 31 December 2011

Kavyan Buka Keahlian kepada Umum

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada Ogos 1999 kini membuka penyertaan kepada masyarakat pelbagai kaum.

Keputusan membenarkan warganegara Malaysia daripada golongan “Bukan Kaum India” menyertai Kavyan diputuskan semasa Perjumpaan  Tahunan Kavyan pada 6 November 2011.

Mesyuarat berkenaan membincangkan usul supaya penyertaan Kavyan dibuka kepada semua rakyat Malaysia (tanpa mengira kaum); dengan syarat bahawa individu terbabit mestilah berminat membaca Sastera Kavyan.

Selepas dibahas dan dibincangkan, semua yang hadir sebulat suara bersetuju bahawa individu “Bukan Kaum India” hanya boleh menjadi Ahli Kehormat iaitu tidak ada kuasa mengundi dalam Kavyan.

Mesyuarat juga menerima sebulat suara usul bahawa pemilihan sebagai Jawatankuasa Kavyan secara eksklusif hanya daripada kalangan “Kaum India” selaras Perlembagaan Kavyan dan Objektif Kavyan.

Mesyuarat menerima dan memperakukan bahawa terdapat amalan inklusif (terangkum) bagi perkara tertentu sambil mengekalkan amalan eksklusif (unik, elit) bagi perkara tertentu; selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Kavyan.

Perjumpaan  Tahunan Kavyan pada 6 November 2011 bersetuju supaya Ahli Perdana (Kaum India) dan Ahli Kehormat (Bukan Kaum India) yang sudah menjelaskan yuran tahunan diberi potongan bayaran atau dikecualikan bayaran apabila menyertai mana-mana aktiviti (bengkel, kursus) anjuran Kavyan pada sepanjang tahun berkenaan.

Hasil kutipan yuran tahunan akan digunakan untuk menampung kos mengendalikan aktiviti Kavyan.

Orang ramai yang berminat menjadi Ahli Perdana atau Ahli Kehormat Kavyan sila KLIK DI SINI untuk mengisi borang secara dalam talian.

Dalam pada itu, mesyuarat pada 6 November 2011 turut menerima dan meluluskan usul membenarkan Ahli Perdana dan Ahli Kehormat menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan sebagai pemerhati.

Bagaimanapun, kedatangan mereka adalah sepenuhnya atas tanggungan sendiri dan mereka perlu akur pada Etika Mesyuarat Kavyan, termasuk patuh pada Waktu Kavyan.

Ahli Perdana dan Ahli Kehormat yang hadir sebagai pemerhati pada Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan boleh terlibat dalam perbincangan tetapi tidak ada kuasa membuat sebarang keputusan dalam mesyuarat itu.

Borang permohonan penyertaan yang diterima akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan untuk kelulusan.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca pelbagai maklumat mengenai Kavyan sejak diasaskan pada 22 Ogos 1999.