16 Jul 2015

Baca Cerpen Sasterawan Negara

Nama Aktiviti
Baca Cerpen Sasterawan Negara

Penganjur

Sempena
Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2015

Tarikh
20 September 2015 (Ahad)

Masa
8:00 – 11:00 pagi [Waktu Kavyan]

Tempat
Rumah Kavyan, Taman Sri Muda, Shah Alam
[Waze – Jalan Hikmat Dua 25/82B, Taman Sri Muda, Shah Alam]

Latar Belakang
Program Baca Cerpen Kavyan pada 2003 mencatatkan rekod dalam The Malaysia Book of Records berikutan pembacaan 384 cerpen secara berterusan oleh 166 peserta pelbagai kaum selama 96 jam 32 minit di Pentas Terbuka Galeri Shah Alam. Baca Cerpen Kavyan menjadi asas bagi memulakan tradisi mempersembahkan bacaan cerpen dan novel di khalayak. Masyarakat juga semakin berminat untuk mendengar serta mengambil bahagian dalam acara seumpama ini. Sempena sedekad kejayaan acara Baca Cerpen Kavyan, Kavyan, DBP dan Galeri Shah Alam menganjurkan acara Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian di lokasi sama pada 2013 bagi mengimbas kejayaan acara berkenaan. DBP dan Kavyan juga menganjurkan  Baca Cerpen Kavyan (3 November 2012), Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian (1 September 2013), Baca Cerpen Dr Othman Puteh (30 November 2013) dan Baca Novel Hanuman (20 September 2014) sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Maka, tradisi baca cerpen ini wajar diteruskan dan diperhebatkan; khususnya dengan mengangkat karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh para Sasterawan Negara yang menerima pengiktirafan tertinggi menerusi Anugerah Sastera Negara.

Objektif
1 Memberikan penghormatan kepada para Sasterawan Negara yang menjadi ikon penting dalam perkembangan sastera kebangsaan.
2 Memupuk minat membaca dan menghayati cerpen karya Sasterawan Negara dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; membudayakan baca cerpen.
3 Meneruskan tradisi mempersembahkan bacaan cerpen yang dimulakan melalui program Baca Cerpen Kavyan; memasyarakatkan sastera.
4 Membuka peluang kepada peminat sastera mempersembahkan bacaan naskhah cerpen karya para Sasterawan Negara.
5 Memartabatkan Bahasa Malaysia serta memupuk semangat cinta akan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Jumlah Cerpen
Sebanyak 20 cerpen Bahasa Malaysia karya Sasterawan Negara dijadikan teks bacaan; berdasarkan “Kriteria Pemilihan Cerpen” yang diterangkan di bawah. Setiap peserta perlu mempersembahkan (bukan setakat membaca”) petikan sekitar 5-10 minit sahaja. Teks cerpen perlu dipilih dan dimaklumkan lebih awal semasa mendaftar secara dalam talian.


Kriteria Pemilihan Cerpen
Cerpen-cerpen Bahasa Malaysia yang dipilih untuk dijadikan teks persembahan mestilah karya salah seorang Sasterawan Negara. Cerpen yang dipilih mestilah sesuai untuk dipersembahkan kepada umum di tempat terbuka. Petikan karya selain cerpen tidak dibenarkan. Senarai Sasterawan Negara adalah seperti berikut:

1. Allahyarham Haji Kamaludin bin Muhammad (Keris Mas)
2. Datuk Haji Shahnon bin Ahmad
3. Allahyarham Datuk Dr Usman Awang (Tongkat Warrant)
4. Datuk Abdul Samad bin Muhammed Said (A. Samad Said)
5. Allahyarham Muhammad Dahlan bin Abdul Biang (Arena Wati)
6. Dr Muhammad Haji Salleh
7. Datuk Noordin bin Hassan
8. Allahyarham Datuk Haji Abdullah bin Hussain
9. Allahyarham Syed Othman bin Syed Omar (S. Othman Kelantan)
10. Datuk Dr Anwar bin Haji Rethwan (Anwar Ridhwan)
11. Datuk Dr Haji Ahmad Kamal bin Abdullah (Kemala)
12. Datuk Haji Baharuddin bin Zainal (Baha Zain)

Penyelarasan
Program ini diselaraskan dan dikendalikan sepenuhnya oleh wakil Kavyan berdasarkan pengalaman menyelaras dan mengendalikan Baca Cerpen Kavyan; serta siri baca cerpen/novel sejak 2003. Kavyan berhak menghalang mana-mana individu/peserta yang didapati melanggar syarat dan peraturan acara.

Jumlah Peserta/Pembaca (*)
Dua puluh (20) individu pelbagai kaum, berumur minimum 12 tahun, yang menawarkan diri secara sukarela. Penyertaan terbuka kepada sesiapa yang berminat dan mampu mempersembahkan naskhah cerpen Bahasa Malaysia dengan gaya persembahan yang  mantap dan sesuai untuk persembahan kepada khalayak – BACA PANDUAN. Jawatankuasa Kavyan berhak menolak penyertaan mana-mana peserta yang tidak memenuhi kriteria. Keutamaan diberikan kepada Ahli Kavyan dan mereka yang sering menyertai aktiviti Kavyan.

Pendaftaran dan Pemilihan Peserta (*)
Bagi tujuan Baca Cerpen Sasterawan Negara, orang ramai yang berminat perlu mendaftar lebih awal kerana jumlah peserta adalah terhad kepada 20 orang. Pendaftaran peserta diuruskan oleh Jawatankuasa Kavyan. Pendaftaran dilakukan melalui kaedah yang dahulu didahulukan” menerusi BORANG PENDAFTARAN DALAM TALIAN. Borang yang tidak lengkap akan ditolak. Pendaftaran lewat tidak akan dilayan.

Cenderamata Peserta (*)
Kesemua 20 peserta akan menerima cenderamata berupa kumpulan cerpen atau novel. Cenderamata ini secara tidak langsung mampu membantu menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat; serta mempromosi kempen galakan membaca.

(*) Syarat Peserta/Pembaca
Peserta” dan pembaca” merujuk kepada individu yang mendaftar awal menggunakan borang pendaftaran dalam talian yang disediakan oleh Jawatankuasa Kavyan; mendaftar di Rumah Kavyan sebelum pukul 8:45 pagi [Waktu Kavyan] pada tarikh acara; mempersembahkan teks cerpen di pentas mengikut giliran yang ditetapkan; menyertai acara dari mula hingga akhir; dan tidak meninggalkan acara lebih awal. Para peserta wajib berpakaian sopan apabila menyertai mana-mana aktiviti Kavyan.

Penonton
Orang ramai – khususnya peminat sastera, siswa-siswi, pelajar, guru, penulis dan ahli Kavyan – dipelawa menghadiri acara Baca Cerpen Sasterawan Negara sebagai penonton. Penonton dinasihatkan mengesahkan kehadiran di Rumah Kavyan sebelum pukul 8:45 pagi [Waktu Kavyan] pada tarikh acara. Penonton dinasihatkan menyertai acara dari mula hingga akhir; dan tidak meninggalkan acara lebih awal. Para penonton wajib berpakaian sopan apabila menghadiri mana-mana aktiviti Kavyan.

Cenderamata Penonton
Sekiranya ada sumbangan daripada DBP, ITBM atau pihak lain, barulah cenderamata akan diberikan kepada hadirin/penonton. Cenderamata akan diberikan kepada 10 peserta yang mendaftar paling awal.

Rangka Atur Cara
Jadual perjalanan aktiviti adalah seperti berikut:

8:00 pagi
Meja pendaftaran peserta dan penonton dibuka di Rumah Kavyan
Ketibaan tetamu, wartawan, peserta dan penonton
Ketibaan wakil DBP dan wakil ITBM
Sarapan (layan diri)

9:00 pagi [Waktu Kavyan]
Pendaftaran peserta dan penonton ditutup secara muktamad
Ucapan wakil DBP & wakil ITBM
Baca Cerpen Sasterawan Negara bermula
(Giliran membaca adalah mengikut undian)
Penyampaian cenderamata & sijil penyertaan
Sesi fotografi berkumpulan

11:00 pagi [anggaran]

Penutup
Acara Baca Cerpen Sasterawan Negara boleh dilaksanakan dengan kos yang minimum tetapi melibatkan penyertaan khalayak pelbagai kaum berkat kerjasama padu daripada DBP, ITBM dan Kavyan. Acara ini juga sebagai usaha ”memasyarakatkan” Sasterawan Negara serta memupuk minat membaca dan mencintai bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Pertanyaan
Sila hubungi e-mel infokavyan@yahoo.com.my jika anda memerlukan maklumat tambahan. Harap maklum bahawa pertanyaan menerusi SMS tidak akan dilayan sama sekali.

[Disediakan oleh Jawatankuasa Kavyan pada 23 Jun 2015 dan mendapat kelulusan DBP pada 15 Julai 2015.]