Monday, 4 February 2013

Baca Cerpen Kavyan 2012

KUALA LUMPUR – Bersempena dengan sambutan  Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 (BBK 2012), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan acara “Baca Cerpen Kavyan” pada 3 November 2012 di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP.
 
Petikan cerpen yang ditulis oleh penulis kaum India (Sasterawan Kavyan) dijadikan teks bacaan dalam acara ini. Karya penulis yang terbabit ialah Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB, Prabhawathy Govindarajoo dan Bathmavathi Krishnan.
 
Encik E Pian Pro Poul, Pegawai Perancang Bahasa DBP memuji usaha Kavyan menganjurkan acara ini yang melibatkan sekitar 20 peserta pelbagai kaum dan umur. Peserta yang mengambil bahagian menerima sijil khas, cenderamata berupa buku cerpen dan cakera padat audio rakaman pembacaan cerpen.
 
“Program ini diadakan khusus untuk menunjukkan dan membuktikan penglibatan penulis dan khalayak kaum India dalam menyemarakkan sastera bahasa kebangsaan di negara ini,” kata E Pian yang juga merupakan penulis keturunan Siam.
 
Menurut penyelaras program, Kughan Nadarajah, antara objektif “Baca Cerpen Kavyan” termasuklah memupuk minat membaca dan menghayati karya yang dihasilkan oleh penulis kaum India, serta memartabatkan cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
 
Pada tahun 2003, Kavyan menganjurkan program “Baca Cerpen Kavyan” di Shah Alam selama 96 jam 32 minit. Sebanyak 384 cerpen dibaca secara berterusan oleh 166 peserta dari seluruh negara. Acara itu berjaya mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records. [MAKLUMAT LANJUT DI SINI]
 
Kavyan diasaskan pada 22 Ogos 1999 dan kumpulan ini mengendalikan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara. Kumpulan ini pernah menerima “Anugerah Budayawan Selangor 2005” dan anugerah penghargaan “Program Galakan Membaca Perpustakaan Negara Malaysia 2009”. Maklumat lanjut mengenai pelbagai aktiviti Kavyan boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com atau e-mel infokavyan@yahoo.com.my.
 
(Disiarkan di Tunas Cipta, Januari 2013)

No comments: