Monday, 28 December 2015

Perbahasan Malaiur Manikam

Acara

Perbahasan Malaiur Manikam dan SJKT

Tarikh
30 Januari 2016 (Sabtu)
[Pendaftaran peserta ditutup pada 28 Januari 2016, jam 9:00 malam]

Masa
3:00 petang [Waktu Kavyan]

Tempat
Rumah Kavyan, Shah Alam 
[RUJUK PETA]
27 Jalan Hikmat Dua 25/82B
Taman Sri Muda, Shah Alam

Penganjur

Pengenalan
Kumpulan esei Malaiur Manikam (2015) terbitan DuBook Press memuatkan 25 esei (makalah) tulisan Uthaya Sankar SB. [RUJUK KANDUNGAN DI SINI] Sebaik terbit, terdapat pihak yang menyelar buku berkenaan kerana kononnya berciri anti-Melayu dan memutarbelitkan sejarah Melayu. Malah, sekumpulan orang yang berkongsi pandangan di laman The Patriots mendesak supaya buku ini diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Uthaya Sankar SB diambil tindakan undang-undang – MAKLUMAT DI SINI. Umum mengetahui Uthaya Sankar SB penulis yang berani bersuara mewakili kelompok minoriti terpinggir dan tertindas dalam masyarakat. Kesemua makalah di dalam buku ini pula secara terang-terangan meneliti pelbagai isu yang mungkin dianggap menyentuh sensitiviti kaum/agama dan mengganggu keamanan/keharmonian masyarakat. Memandangkan buku ini sudah berada dalam pasaran sejak 21 November 2015, tentu ramai yang sudah berpeluang membaca kandungan Malaiur Manikam sepenuhnya serta bersedia untuk berbahas, berdialog dan memperkatakan kandungan buku ini dalam suatu majlis ilmu yang dianjurkan khusus bagi tujuan perbahasan. Isu mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pula menjadi hangat selepas beberapa kekurangan didedahkan oleh Uthaya Sankar SB menerusi sebuah makalah pada 12 Januari 2016 - BACA DI SINI. Isu SJKT akan turut dibahaskan pada majlis ilmu ini.

Definisi
Konsep “bahas” dalam konteks majlis ilmu ini merujuk kepada aktiviti mengupas, membincangkan, bertukar-tukar fikiran, berkongsi pandangan, berhujah, menyokong atau membantah, berdebat, berdialog, mengkritik dan seumpamanya yang dijalankan dalam suasana terkawal, harmoni dan ilmiah. Serangan peribadi dan perbuatan menghina mana-mana individu tidak dibenarkan. Setiap peserta (yang mengisi borang penyertaan sahaja) berhak mengemukakan pandangan secara bebas dalam Perbahasan Malaiur Manikam. Pandangan yang dikemukakan para peserta mungkin dipetik untuk dimuatkan dalam laporan, berita atau makalah susulan.

Peserta
Penyertaan Perbahasan Malaiur Manikam terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk terlibat dalam sesi perbahasan, dialog dan perbincangan berkaitan esei-esei yang termuat dalam buku Malaiur Manikam. Peserta pelbagai kaum, pelbagai latar belakang dan pelbagai profesion diundang menyertai majlis ilmu ini. Orang ramai yang sudah membaca Malaiur Manikam dialu-alukan menyertai acara ini. Orang ramai yang belum berpeluang membaca buku ini juga diundang mendaftar sebagai peserta. Setiap individu yang berminat diwajibkan mengisi borang penyertaan selewat-lewatnya pada 28 Januari 2016, jam 9:00 malam. Tiada bayaran dikenakan tetapi majlis ilmu ini adalah acara tertutup untuk para peserta berdaftar sahaja. Hanya peserta berdaftar boleh terlibat dalam cabutan bertuah (maklumat di bawah).

Wartawan dan Wakil Media
Wartawan dan wakil media konvensional dan alternatif diundang hadir membuat liputan Perbahasan Malaiur Manikam. Wakil media digalakkan mengisi borang penyertaan untuk tujuan rekod dan cabutan bertuah. Setiap wartawan dan wakil media yang hadir membuat liputan majlis ilmu ini akan menerima cenderamata buku Malaiur Manikam; dengan syarat tiba dan mendaftar di Rumah Kavyan sebelum jam 3:30 petang pada 30 Januari 2016. Tiada bayaran dikenakan.

Bahasa
Majlis ilmu ini dikendalikan dalam Bahasa Malaysia. Penggunaan Bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin dibenarkan mengikut keperluan. Sesiapa yang berpura-pura tidak tahu berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia diingatkan supaya tidak menghadiri Perbahasan Malaiur Manikam.

Pakaian
Para hadirin (peserta, wartawan dan wakil media) diingatkan supaya memakai pakaian yang sopan dan sesuai dengan majlis ilmu yang diadakan di Rumah Kavyan.

Cabutan Bertuah
Hanya para peserta, wartawan dan wakil media yang mengisi borang penyertaan selewat-lewatnya pada 28 Januari 2016, jam 9:00 malam, serta tiba dan mendaftar di Rumah Kavyan sebelum jam 3:30 petang pada 30 Januari 2016 layak mengambil bahagian dalam cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berupa bahan bacaan.

Atur Cara
Berikut rangka perjalanan majlis Perbahasan Malaiur Manikam:

3:00 petang
Ketibaan peserta (yang sudah mengisi borang penyertaan)
Ketibaan wartawan dan wakil media (digalakkan mengisi borang penyertaan)
Minum petang (layan diri)

3:30 petang [Waktu Kavyan]
Pendaftaran ditutup (untuk cabutan bertuah)
Ucapan wakil DuBook Press Sdn Bhd
Ucapan wakil Kavyan @ moderator (Shahrulnizam Abd Hamid)
Sesi Perbahasan Malaiur Manikam
(Cabutan bertuah dibuat semasa sesi perbahasan)

5:30 petang
Fotografi berkumpulan
Sesi penulis/penerbit bersama wartawan dan wakil media
Bersurai

Maklumat Lanjut
Sekiranya orang ramai memerlukan maklumat lanjut, atau jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my selewat-lewatnya pada 29 Januari 2016, jam 5:00 petang. Sebarang panggilan telefon, mesej, SMS, pesanan WhatsApp dan sebagainya pada 30 Januari 2016 tidak akan dilayan.


[Disediakan oleh Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya pada 28 Disember 2015]