11 Oct 2012

Baca Cerpen Kavyan 2012

Sebagai salah satu pengisian Program Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan acara Baca Cerpen Kavyan. Maklumat adalah seperti berikut:
 
Nama Aktiviti
Baca Cerpen Kavyan
 
Sempena
Program Bulan Bahasa Kebangsaan 2012
 
Penganjur Bersama
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
 
Tarikh
3 November 2012 (Sabtu)
 
Masa
9:00 pagi – 12:00 tengah hari
 
Tempat
Sanggar Tun Sri Lanang, Aras 31, Menara DBP, Kuala Lumpur
 
Latar Belakang Baca Cerpen Kavyan
Program Baca Cerpen Kavyan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor dan Kavyan pada 29 Ogos-2 September 2003 berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records berikutan pembacaan 384 cerpen secara berterusan oleh 166 peserta pelbagai kaum selama 96 jam 32 minit. Baca Cerpen Kavyan menjadi asas bagi memulakan tradisi membaca cerpen dan novel di khalayak anjuran Kavyan dengan kerjasama pelbagai pihak. Kavyan sering bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menganjurkan acara membaca cerpen di pentas. Masyarakat juga semakin berminat untuk mendengar serta mengambil bahagian dalam acara seumpama ini. Maka tradisi ini wajar diteruskan dan diperhebatkan; khususnya dengan mengangkat karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan sendiri.
 
Objektif Baca Cerpen Kavyan
1 Memberi penghormatan kepada golongan penulis karya sastera; khususnya cerpenis kaum India
2 Memupuk minat membaca dan menghayati karya cerpen dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; membudayakan baca cerpen
3 Meneruskan tradisi baca cerpen yang dimulakan melalui program Baca Cerpen Kavyan; memasyarakatkan sastera
4 Membuka peluang kepada peminat sastera membaca naskhah cerpen karya Sasterawan Kavyan (penulis kaum India)
5 Memartabatkan Bahasa Malaysia serta memupuk semangat cinta akan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum
 
Jumlah Cerpen
Sebanyak 20 cerpen Bahasa Malaysia karya Sasterawan Kavyan (penulis kaum India) dijadikan teks bacaan. [SENARAI CERPENIS] Setiap peserta hanya perlu membaca petikan beberapa halaman. Peserta perlu memilih sendiri teks cerpen Sasterawan Kavyan yang mahu dibaca. Bersedia untuk membaca 2-3 halaman sahaja; bukan keseluruhan cerpen. Sebelum membacakan petikan cerpen di pentas, peserta perlu menyebut judul cerpen dan nama pengarang. JANGAN BERI CERAMAH/UCAPAN!
 
Penyelarasan
Program pembacaan cerpen akan diselaraskan dan dikendalikan oleh wakil Kavyan secara terancang, sistematik dan profesional berdasarkan pengalaman menyelaras dan mengendalikan Baca Cerpen Kavyan (29 Ogos – 2 September 2003); serta siri baca cerpen/novel sebelum ini. Peserta boleh menghubungi Jawatankuasa Kavyan (infokavyan@yahoo.com.my) jika ada sebarang kemusykilan.
 
Jumlah Peserta/Pembaca Teks (*)
Dua puluh (20) individu pelbagai kaum, berumur minimum 10 tahun, yang menawarkan diri secara sukarela. Penyertaan terbuka kepada sesiapa yang berminat dan mampu membaca naskhah cerpen Bahasa Malaysia dengan gaya persembahan yang  mantap dan sesuai untuk persembahan di khalayak. [SEDIKIT PANDUAN DI SINI]
 
Pendaftaran dan Pemilihan Peserta (*)
Bagi tujuan Baca Cerpen Kavyan 2012, orang ramai yang berminat perlu mendaftar lebih awal kerana jumlah peserta adalah terhad kepada 20 orang. Pendaftaran peserta diuruskan oleh Jawatankuasa Kavyan. Pendaftaran dilakukan melalui kaedah ”yang dahulu didahulukan”. Sila isi BORANG DALAM TALIAN jika berminat.
 
Cenderamata Peserta/Pembaca (*)
Kesemua 20 peserta akan menerima cenderamata berupa kumpulan cerpen dan novel karya Sasterawan Kavyan bernilai RM40. Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diminta bagi menyediakan sijil penyertaan dan cenderamata (majalah) bagi kesemua 20 peserta. Cenderamata ini secara tidak langsung membantu menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat; serta mempromosi kempen galakan membaca.
 
(*) Syarat Peserta/Pembaca Teks
Peserta” dan pembaca” merujuk kepada individu yang mendaftar awal [BORANG DI SINI]; mendaftar di Menara DBP sebelum pukul 9:30 pagi pada tarikh acara; membaca teks cerpen di pentas mengikut giliran yang ditetapkan; menyertai acara dari mula hingga akhir; dan tidak meninggalkan acara lebih awal.
 
Penonton Acara Baca Cerpen Kavyan
Orang ramai – khususnya peminat sastera, siswa-siswi, pelajar, guru, penulis dan ahli Kavyan – dipelawa menghadiri acara Baca Cerpen Kavyan sebagai penonton. Penonton berumur minimum 10 tahun perlu mengisi BORANG DALAM TALIAN dan kemudian mendaftar di Menara DBP sebelum pukul 9:30 pagi pada tarikh acara untuk membolehkan mereka layak menerima cenderamata dan sijil kehadiran.
 
Cenderamata Penonton
Kesemua 40 penonton yang sudah mendaftar awal [BORANG DI SINI] akan turut menerima cenderamata buku karya Sasterawan Kavyan bernilai RM20 serta sijil kehadiran; dengan syarat mereka turut mendaftar di Menara DBP sebelum pukul 9:30 pagi pada tarikh acara.
 
Pakaian Peserta dan Penonton
Para hadirin dinasihatkan supaya berpakaian sopan dan sesuai dengan majlis yang diadakan di Menara DBP. Pakaian tradisional digalakkan.
 
Disiplin
Sebagai tambahan pada syarat dan peraturan Baca Cerpen Kavyan yang dipaparkan di sini, para hadirin (peserta dan penonton) diminta supaya patuh pada semua peraturan yang ditetapkan di Menara DBP.
 
Rangka Atur Cara
Berikut rangka atur cara. Semua pihak diminta patuh pada jadual yang disusun bagi memastikan acara dapat dimulakan tepat pada masa.
 
9:00 pagi
Meja pendaftaran peserta dan penonton dibuka di Sanggar Tun Sri Lanang, Aras 31, Menara DBP, Kuala Lumpur.
Ketibaan tetamu, wartawan, peserta dan penonton.
Minum pagi dan ramah-mesra.
Taklimat ringkas kepada peserta/pembaca teks.
 
9:30 pagi (Waktu Kavyan)
Pendaftaran peserta/pembaca dan penonton ditutup. (Tiada cenderamata dan sijil bagi mereka yang datang lewat atas apa-apa alasan sekali pun. Alasan lapuk jalan sesak” atau tak tau tempat” dan sebagainya sudah tidak logik.)
Acara Baca Cerpen Kavyan bermula
 
11:30 pagi (jangkaan)
Ucapan Ketua Pengarah DBP (atau wakil).
Penyampaian cenderamata & sijil oleh Ketua Pengarah DBP (atau wakil) kepada peserta dan penonton (yang mendaftar sahaja).
Sesi fotografi berkumpulan.
 
Penutup
Acara Baca Cerpen Kavyan” sempena Program Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 diharap dapat dilaksanakan dengan kos yang minimum tetapi melibatkan penyertaan khalayak pelbagai kaum berkat kerjasama padu daripada semua pihak. Acara ini juga sebagai usaha memasyarakatkan” DBP dengan membawa masyarakat pelbagai kaum ke Menara DBP.
 
[Disediakan oleh Jawatankuasa Kavyan pada 22 Mac 2012. Dikemas kini pada 10 Oktober 2012 sebelum dimuatkan di blog.]