31 Aug 2010

Kavyan Teruskan Agenda

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mula dikenali umum pada Ogos 2003 sempena acara “Baca Cerpen Kavyan” yang mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records berikutan pembacaan cerpen-cerpen Bahasa Malaysia secara berterusan selama 96 jam 32 minit di Galeri Shah Alam.
.

Kavyan turut menerima Anugerah Budayawan Selangor daripada kerajaan negeri pada 2005 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dalam memperkaya aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) juga memberi sijil pengiktirafan sebagai menghargai usaha Kavyan menganjurkan pelbagai aktiviti galakan membaca sepanjang 2009.

.

Sebenarnya, sejarah Kavyan bermula pada Ogos 1999 apabila sekumpulan penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia bertemu dan mencapai kata putus untuk menjadikan kewujudan golongan penulis itu lebih menonjol dan dikenali umum. [BACA DI SINI]

.

Sambil berpegang teguh pada moto “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”, Kavyan aktif bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara.

.

Pada Julai 2004, Kavyan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mula menggunakan istilah “Sastera Kavyan” untuk merujuk pada karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan penulis kaum India di Malaysia. Istilah “Sasterawan Kavyan” pula merujuk pada kumpulan penulis berkenaan. [BACA DI SINI]

.

Aktiviti Kavyan termasuk Apresiasi Sastera Kanak-kanak di sekolah rendah, Apresiasi Sastera Remaja di sekolah menengah dan kolej, Bengkel Cerpen Kavyan untuk membimbing penulis muda, Bengkel Cereka UPSR untuk memupuk bakat penulisan kreatif dalam kalangan kanak-kanak, Diskusi Sastera Kavyan untuk membincangkan karya secara ilmiah serta Kunjungan Sastera Kavyan ke estet dan kawasan luar bandar.

.

Siri “baca cerpen” dan “baca novel” juga diadakan hampir setiap bulan sebagai kesinambungan kepada “Baca Cerpen Kavyan” yang mencetuskan fenomena baru dalam acara membaca cerpen secara berterusan di pentas pada 2003.

.

Jawatankuasa Kavyan terdiri daripada penulis dan aktivis kaum India tetapi kesemua aktiviti anjuran persatuan ini terbuka kepada seluruh Bangsa Malaysia tanpa batas kaum.

.

Sebagai persatuan yang tidak berciri perkauman, Kavyan melantik Sasterawan Negara Datuk A Samad Said sebagai Penasihat Agung manakala Allahyarham Dr Othman Puteh pernah dilantik sebagai Penasihat Kehormat semasa hayat beliau.

.

Pada 2009, Kavyan memulakan kempen “Jom Bergaya dengan Buku!” yang bertujuan menggalakkan orang ramai – khususnya remaja dan kanak-kanak – berasa seronok, megah dan bergaya apabila berada di tempat awam bersama bahan bacaan (khususnya buku).

.

Wakil Kavyan juga sering diundang menyertai acara deklamasi sajak, dialog, diskusi, forum dan persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

.

Selain daripada menghasilkan karya secara asli dalam Bahasa Malaysia, kelompok penulis yang menganggotai Kavyan juga menulis karya Bahasa Inggeris dan Tamil. Malah, karya Bahasa Malaysia oleh kelompok ini sering diterjemah ke Bahasa Tamil untuk disiarkan di akhbar dan radio.

.

Kekuatan Kavyan terletak pada penglibatan jawatankuasa yang komited dan proaktif dalam merancang serta melaksanakan pelbagai aktiviti secara konsisten dan berterusan.

.

Kavyan juga sering menjadi tempat rujukan pelbagai pihak yang memerlukan maklumat berkaitan bahasa, sastera, seni dan budaya kaum India.

.

Perkembangan mutakhir aktiviti Kavyan boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com dan alamat e-mel rasmi Kavyan adalah infokavyan@yahoo.com.my

.

(Prabhawathy Govindarajoo, Mutiara Minda, Ogos-Oktober 2010)

29 Aug 2010

Bengkel Cereka PMR

Aktiviti Bengkel Cereka UPSR yang dianjurkan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan majalah e-baca (Kumpulan Media Karangkraf) mendapat sambutan menggalakkan daripada murid dan kanak-kanak.
.

Selain mendapatkan panduan menulis karangan cereka (cerita rekaan) bagi tujuan Bahagian B, Kertas 2 (Penulisan) subjek Bahasa Malaysia UPSR, murid Tahun 5 dan 6 juga dibimbing menghasilkan cerpen (cerita pendek) bermutu.

.

Bermula Januari 2011, Kavyan bercadang mengembangkan modul bengkel penulisan cereka kepada pelajar Tingkatan 2 dan 3 melalui Bengkel Cereka PMR dengan kerjasama majalah e@siswa (Kumpulan Media Karangkraf).

.

Peserta akan dibimbing oleh wakil Kavyan mengenai cara-cara menghasilkan karangan tidak berformat seperti pengalaman, keperihalan, cereka dan peribahasa mengikut format Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi Bahagian C, Kertas 2 subjek Bahasa Malaysia.

.

Secara tidak langsung, Bengkel Cereka PMR juga bertujuan membimbing pelajar dan remaja menghasilkan cerpen bermutu untuk disiarkan di majalah.

.

Sepuluh sekolah menengah (Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan) sekitar Lembah Kelang akan dipilih untuk tujuan bengkel penulisan cereka ini.

.

Pengetua, guru atau mana-mana wakil sekolah yang berminat boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my dengan kadar segera untuk mendapatkan kertas cadangan lengkap berhubung Bengkel Cereka PMR.

18 Aug 2010

Taklimat Budaya Kaum India

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengirim surat kepada Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putera, Kulai Jaya, Johor pada 18 Ogos 2010 dan menawarkan untuk menganjurkan taklimat berkaitan budaya kaum India di sekolah berkenaan.
.

Langkah proaktif ini adalah berikutan laporan media – dan laporan polis – bahawa Pengetua berkenaan menganggap kaum India dan kaum Cina di Malaysia sebagai “penumpang” (“pendatang” dan “bangsa asing”).

.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca kandungan surat berkenaan.

2 Aug 2010

Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan

Tarikh: 1 Ogos 2010 (Ahad)
Masa: 10:15 pagi
Tempat: Taman Sri Muda, Shah Alam
.

Kehadiran:

Uthaya Sankar SB
Prakash Suriyamurthy
Prabhawathy Govindarajoo
Muniswaran Errisson
Magaenthiran Periaswamy
.

1. Ucapan Pengerusi Mesyuarat

.

1.1 Uthaya Sankar SB selaku pengerusi mesyuarat mengingatkan betapa penting persediaan secara mental sebelum Jawatankuasa Kavyan menghadiri mesyuarat. Begitu juga menyentuh mengenai tumpuan dan disiplin asas semasa mesyuarat, serta komitmen dan komunikasi selepas mesyuarat.

.

1.2 Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen Jawatankuasa, sijil akan disediakan dan ditandatangani Penasihat Agung Kavyan, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

.

2. Pengesahan Minit Mesyuarat Lalu

.

2.1 Setiausaha, Prabhawathy Govindarajoo membentangkan Minit Mesyuarat (30 Mei 2010) dan pengesahan dilakukan Muniswaran Errisson.

.

3. Penyata Kewangan

.

3.1 Bendarahari, Muniswaran Errisson membentangkan kedudukan kewangan dan pengesahan dilakukan Prabhawathy.

.

4. Aktiviti 31 Mei 2010 – 31 Julai 2010

.

4.1 Jawatankuasa meneliti senarai aktiviti lalu dan membincangkannya secara ringkas.

.

31 Mei 2010 (Isnin)

Penyerahan borang pencalonan Anugerah Sastera Negara. Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa pencalonan sudah dilakukan dan kini perlu menunggu keputusan.
.

1 Jun 2010 (Selasa)

Bengkel Penulisan Cerpen di SM Tsun Jin, Kuala Lumpur dianjurkan Unit Akademik Karangkraf dan Uthaya Sankar SB diundang menyampaikan ceramah mengenai teknik menulis cerpen.
.

7 Jun 2010 (Isnin)

Muniswaran Errisson menyifatkan lawatan ke Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd sebagai suatu aktiviti yang menarik dan mencapai matlamat.
.

13 Jun 2010 (Sabtu)

Bengkel Sehari Penulisan Cerpen yang sepatutnya diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.
.

19 Jun 2010 (Sabtu)

Simposium Lim Lian Geok dan Usman Awang telah disertai Uthaya Sankar SB yang diundang menyampaikan kertas kerja.
.

26 Jun 2010 (Sabtu)

Program Gerakan Membaca Perdana. Wakil Kavyan yang mengambil bahagian akan menerima sijil penyertaan selepas nama mereka dicetak pada sijil yang sudah diberi oleh penganjur.
.

27 Jun 2010 (Ahad)

Prabhawathy Govindarajoo menjelaskan mengenai Baca Cerpen Kavyan sempena Pesta Buku Selangor. Pada mulanya dirancang sebagai sebuah pertandingan tetapi kerana kurang penyertaan, dijadikan acara bacaan biasa. Sambutan yang diterima daripada arang ramai (pengunjung) dan wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) amat menggalakkan.
.

1 Julai 2010

Uthaya Sankar SB menjelaskan bahawa hadiah buku Kathakali bagi e@siswa diberi mulai Julai 2010 kepada dua pembaca/pelajar yang mengirim bahan bagi ruangan “Minda Pembaca”.
.

Hadiah buku Rudra Avatara bagi dua pembaca/remaja yang mengirim bahan bagi ruangan “Esei Pembaca” dalam majalah Fokus SPM bermulai Ogos 2010.

.

Hadiah buku bagi e-baca pula akan dimulakan pada Oktober 2010 bagi karangan yang dihantar bagi ruangan “Cereka UPSR”.

.

5 Julai 2010 (Isnin)

Mesyuarat Dasar Buku Negara di Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Cyberjaya dihadiri oleh Uthaya Sankar SB.
.

8 Julai 2010 (Khamis)

Syarahan Tokoh DBP oleh Dato’ S K Devamany. Uthaya Sankar SB menyifatkan program itu kurang mencapai sasaran sebenar.
.

10 Julai 2010 (Sabtu)

Bengkel Cereka UPSR di SK Taman Sri Muda (2), Taman Sri Muda telah dihadiri sekitar 120 murid Tahun Enam. Wartawan e-baca, Noor Nabila Abdul Rahman hadir membuat liputan mengenai sekolah dan dijangka disiarkan dalam keluaran September atau Oktober 2010.
.

5. Aktiviti Akan Datang

.

5.1 Jawatankuasa membincangkan perancangan beberapa aktiviti akan datang.

.

4 Ogos 2010 (Rabu)

Pelancaran Sudut Sasterawan Negara di SMK Bandar Utama Damansara (4) melibatkan kerjasama pelbagai pihak dan merupakan aktiviti sulung seumpamanya.
.

Januari-Julai 2011

Uthaya Sankar SB menerangkan mengenai cadangan menganjurkan Bengkel Cereka UPSR di hampir 40 SJKC Selangor dan Kuala Lumpur dengan kerjasama One Nusantara sdn Bhd. Jawatankuasa menyatakan bahawa program itu paling sesuai diadakan pada hari Sabtu supaya mudah untuk menyertainya.
.

Bengkel pembimbing Bengkel Cereka UPSR dijangka diadakan pada Disember 2010 untuk membimbing sekumpulan Jawatankuasa Kavyan, wakil One Nusantara Sdn Bhd dan sukarelawan yang berminat menjadi pembimbing.

.

6. Hal-hal berbangkit

.

6.1 Jawatankuasa Kavyan mengemukakan perkara-perkara yang perlu dibincangkan segera pada mesyuarat ini.

.

6.2 Uthaya Sankar SB mencadangkan semua Jawatankuasa Kavyan menjadi ahli Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY). Cadangan itu mendapat sokongan sebulat suara dan yuran keahlian akan diambil dari tabung Kavyan.

.

6.3 Prabhawathy Govindarajoo mencadangkan Bengkel Moral SPM diadakan untuk membimbing pelajar menjelang SPM. Jawatankuasa bersetuju dan perancangan akan dibuat.

.

6.4 Prabhawathy Govindarajoo juga mencadangkan Bengkel Cereka UPSR yang dikendalikan turut diadakan bagi murid Tahap Satu (Tahun 1-3) untuk memupuk minat menulis karangan cereka. Jawatankuasa bersetuju dan perancangan akan dibuat.

.

7. Mesyuarat AJK Akan Datang

.

7.1 Jawatankuasa bersetuju untuk mengadakan mesyuarat akan datang pada 3 Oktober 2010 (Ahad), pukul 10:00 pagi di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

.

8. Penangguhan Mesyuarat


8.1 Mesyuarat ditangguh pada pukul 11:15 pagi; diikuti jamuan ringan di restoran KFC, Taman Sri Muda.