7 Jan 2016

Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT

Aktiviti
Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT

Anjuran
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Dengan kerjasama

Pengenalan dan Rasional
Akhbar Utusan Malaysia (25 Oktober 2014) memetik “pendedahan” pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong, bahawa berdasarkan hasil kajian dalam kalangan 14,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di 79 kem seluruh negara pada 2010, sejumlah 604 pelatih kaum Cina dan India langsung tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia.

“Nampaknya puak 604 orang ini jauh lebih buruk daripada orang Bangladesh yang baru tiga bulan sudah boleh berbahasa Melayu. Selama ini pun banyak pihak sedar bahawa SJKC menjadi pemangkin melebarkan jurang kaum khususnya antara Cina dan kaum teras iaitu Melayu,” kata Ku Seman Ku Hussian di Mingguan Malaysia (26 Oktober 2014).

Susulan itu, Bernama (27 Oktober 2014) melaporkan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan pendedahan Kok Seong sebagai “perkara yang serius” kerana terdapat 604 pelajar Bukan Melayu yang tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia walaupun lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Maka, kata Idris, Kementerian Pendidikan bakal “mengkaji semula” peranan SJKC.

Semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA pada 12 Oktober 2014, pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata: “Tolong jangan bimbang tentang sekolah Cina kerana ia sudah dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara. Malah ia termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara.”

Sewaktu mengulas janji Perdana Menteri, sebuah rencana di Mingguan Malaysia (19 Oktober 2014) pula menyebut tentang “hakikatnya pada hari ini hampir semua murid SJKC didapati kurang fasih berbahasa Melayu.”

Menurut penulis rencana itu lagi: “Hakikatnya yang tidak boleh disembunyikan lagi ialah murid SJKC (mahupun SJKT) masih ramai ketinggalan dalam menguasai mata pelajaran Bahasa Malaysia.”

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA pada 11 Oktober 2015 menegaskan, walaupun ada pihak mencadangkan SJKC dan SJKT dimansuhkan dalam usaha mewujudkan sistem sekolah satu aliran, kerajaan tidak berhasrat memansuhkan sekolah vernakular kerana tindakan itu bukan dasar BN.

Baca maklumat lanjut dalam makalah “SJKT dan Penghayatan Bahasa Malaysia” (The Malaysian Insider, 5 Januari 2016).

Sambil mengambil kira segala perkembangan ini, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bercadang meningkatkan aktiviti Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT sepanjang 2016. Aspek lakonan pentas akan digunakan bagi mencapai objektif program.

Pengalaman: Program Memartabatkan Bahasa Malaysia
Kempen “Memartabatkan Bahasa Malaysia” (MBM) dimulakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam usaha murni menggalakkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid-murid dan pelajar di dalam dan di luar waktu pembelajaran mata pelajaran teras berkenaan.

Menyedari hakikat bahawa jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah vernakular adalah terhad serta peluang menggunakan bahasa berkenaan di luar bilik darjah juga terhad, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP serta Kavyan menjalankan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di beberapa SJKT dan SJKC sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 2014 dan 2015.

Sekolah terbabit adalah SJKT Nilai, Negeri Sembilan (2 April 2014), SJKT Ladang Selangor River, Kuala Selangor (5 April 2014), SJKT Pulau Carey Timur, Pulau Carey (9 Ogos 2014) dan SJKT Sungai Renggam, Shah Alam (17 Oktober 2014). Kavyan turut mengadakan aktiviti sama di SJKT Taman Melawati, Gombak (9 April 2014 dan 14 Mei 2014), SJKT Kajang, Selangor (11 November 2014) dan SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur (13 Januari 2014 dan 12 Februari 2014).

Bagi tahun 2015, program berjaya dijalankan di SJKT Kajang, Selangor (28 Februari 2015), SJKT Taman Melawati, Selangor (25 April 2015), SJKT Castlefield, Puchong (19 Jun 2015), SJKC Yak Chee, Puchong (28 Julai 2015) dan SJKT Sungai Renggam, Shah Alam (8 Ogos 2015).

Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang antara lain mengendalikan pelbagai aktiviti yang disasarkan kepada kelompok murid dan penduduk luar bandar; dengan tumpuan khusus kepada komuniti India. NGO ini mendapat sokongan padu Jabatan Perdana Menteri (JPM). Dengan itu, DHRRA Malaysia dan Kavyan bekerjasama dengan DBP untuk menjayakan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia yang dirangka khusus bagi murid-murid SJKT di seluruh negara.

Objektif
1. Membimbing murid SJKT mengenali asas lakonan pentas.
2. Menimbulkan minat dan kecintaan terhadap Bahasa Malaysia.
3. Menggalakkan murid SJKT menonjolkan bakat dalam lakonan pentas.
4. Membuka ruang kepada murid SJKT mengolah skrip mudah, membuat persiapan dan membuat persembahan drama pentas.
5. Mencungkil kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam kalangan murid.

Skop Program
Bagi tahun 2016, Kavyan dengan kerjasama DHRRA Malaysia meneruskan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan memberikan tumpuan kepada aspek lakonan. Sijil penyertaan dan bahan bengkel disediakan oleh DHRRA Malaysia.

Bagi SJKT di luar Selangor dan Kuala Lumpur, Kavyan dan DHRRA Malaysia bekerjasama dengan DBP. Sijil penyertaan dan majalah Dewan Pelajar disediakan oleh DBP.

Jumlah Peserta
Pihak sekolah perlu memilih 30 murid (Tahun 4, 5 dan 6) dari pelbagai latar sosio-ekonomi. Keutamaan diberi kepada murid-murid daripada keluarga yang memerlukan perhatian, supaya boleh disusuli oleh pihak DHRRA Malaysia dan Kavyan pada masa hadapan. Sekolah tidak perlu memilih murid-murid yang dijangka pasti mendapat 8A dalam UPSR. Sijil dan bahan disediakan untuk 30 murid sahaja. Maka, pihak sekolah diminta memilih 30 murid sahaja (tepat). Peserta perlu membawa alat tulis.

Bahasa
Bengkel akan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia, selaras objektif program serta usaha membina keyakinan diri dalam kalangan peserta (murid) yang menyertai bengkel ini. SJKT terbabit diminta memastikan peserta memahami syarat ini. Murid-murid tidak perlu menjadi pakar bahasa; tetapi mampu membaca, menulis dan bercakap Bahasa Malaysia.

Tempat
Program dikendalikan di dewan sekolah itu sendiri. Pihak sekolah diminta menyediakan dewan yang ada pentas bagi tujuan bengkel dan persembahan pentas. Hiasan tidak diperlukan.

Pengisian Program
Berikut adalah rangka atur cara. Program boleh dijalankan pada waktu pagi atau petang; mengikut pilihan sekolah. Program selama 4 jam. Pengisian dan pengendalian bengkel ini merangkumkan secara holistik visi, misi, strategi dan sasaran Program Memartabatkan Bahasa Malaysia. Wakil DBP hanya hadir bagi program SJKT di luar Selangor dan Kuala Lumpur.

12:30 tengah hari – 1:00 petang
Ketibaan wakil Kavyan, DHRRA Malaysia dan DBP
1:00 – 1:30 petang
Ucapan Guru Besar
Ucapan wakil DHRRA Malaysia/DBP
1:30 – 2:30 petang
Menghayati cerita pendek (cerpen) atau teks cerita
2:30 – 3:00 petang
Bimbingan mengolah skrip sketsa lakonan pendek
Latihan lakonan dengan bimbingan Kavyan
3:00 – 4:00 petang
Persembahan lakonan oleh peserta
Penyampaian sijil penyertaan
(Ibu bapa, penjaga, guru dan murid hadir sebagai penonton)

Pembimbing Utama
Uthaya Sankar SB mempunyai pengalaman luas dalam bidang media konvensional dan alternatif sejak 1992. Graduan Universiti Malaya dalam jurusan Pengajian Media (BA Hons) ini antara lain pernah bertugas sebagai Penyunting Berita Bahasa Malaysia di RTM (TV1), Penyunting Kandungan Berita di Bernama Radio24 dan Penolong Editor akhbar Sinar Harian serta penyelia Unit Bencana RTM. Cerpen-cerpennya tersiar di hampir semua akhbar dan majalah arus perdana sejak 1992 serta mendapat pelbagai pengiktirafan dan anugerah. Kumpulan cerita rakyat India berjudul Nari! Nari! ditulis khusus untuk memupuk minat membaca kanak-kanak. [Baca Biodata Penuh]

Pembantu Pembimbing
Beberapa wakil Kavyan dan DHRRA Malaysia akan bertugas sebagai pembantu kepada Uthaya Sankar SB sepanjang bengkel. Guru di setiap SJKT juga digalakkan hadir sebagai pembantu; selain memahami kandungan program.

Senarai Sekolah dan Tarikh Aktiviti
Program dijalankan mulai Januari 2016 dengan memilih sekurang-kurangnya sebuah sekolah setiap bulan; tidak semestinya SJKT. Berikut senarai sekolah yang sudah menunjukkan minat. Masih ada ruang bagi sekolah yang berminat. Harap maklum bahawa DBP hanya terlibat dalam program di luar Selangor dan Kuala Lumpur.

6 Januari 2016SJKT Taman Permata, Dengkil, SELANGOR. PIBG memohon program dijalankan secara bulanan; tetapi menarik diri secara senyap-senyap. Kemungkinan alasan: [BACA DI SINI]

5 Februari 2016 - SJKT Taman Melawati, SELANGOR memohon untuk mengadakan program; tetapi menarik diri secara senyap-senyap. Kemungkinan alasan: [BACA DI SINI]

5 Februari 2016Sekolah Punjabi Guru Nanak, Sentul, KUALA LUMPUR

24 Februari 2016SJKT Nilai, Nilai, NEGERI SEMBILAN memohon untuk mengadakan program; tetapi menarik diri secara senyap-senyap. Kemungkinan alasan: [BACA DI SINI]

14-16 Mac 2016 – Program di SK Convent Aulong, Taiping, PERAK. Baca makalah “SK Convent Aulong Perlukan Perhatian” (The Malaysian Insider, 29 Disember 2015) untuk maklumat lanjut. [BACA MAKLUMAT ACARA]

30-31 Mei 2016 – Program di SK Guru Kalgidhar, Ipoh, PERAK. [BACA MAKLUMAT ACARA]

30 Jun 2016 – Bakat Seni dan Budaya Kaum India di SK Sri Langat, Banting, SELANGOR. [BACA DI SINI]

10-11 September 2016 – Program di SK Sri Langat, Banting, SELANGOR. [BACA MAKLUMAT ACARA]

Senarai sekolah akan dikemas kini dari semasa ke semasa berdasarkan permintaan sekolah yang menunjukkan minat. Konsep “yang dahulu didahulukan” digunakan dalam hal ini. Peluang dibuka kepada mana-mana sekolah yang berminat mengadakan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia pada Mac, Jun atau September 2017.

Jamuan dan Cenderamata
Pihak sekolah boleh berusaha mendapatkan tajaan (PIBG dan sebagainya) bagi menampung kos makan-minum untuk para peserta dan tetamu. Cenderamata bagi wakil DBP, DHRRA Malaysia dan Kavyan tidak diwajibkan, tetapi terpulang kepada pihak sekolah. Kavyan menyediakan cenderamata buku cerita untuk guru besar setiap SJKT terbabit.

Maklumat Lanjut dan Permohonan
Mana-mana SJKT seluruh negara yang mahu mengundang pihak DBP, DHRRA Malaysia dan Kavyan mengendalikan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di sekolah sila hubungi e-mel infokavyan@yahoo.com.my [jangan lupa .my] untuk mendaftar. Sila kemukakan tarikh dan masa cadangan. Program perlu dijalankan selama 4 jam untuk melayakkan murid-murid menerima sijil penyertaan.

Penutup dan Harapan
Program Memartabatkan Bahasa Malaysia ini dijangka menjadi pemangkin dan peneraju kepada usaha mencapai objektif yang diinginkan kerajaan. Kedudukan DBP sebagai agensi bahasa dan sastera; Kavyan sebagai penggiat bahasa dan sastera; serta DHRRA Malaysia sebagai NGO bagi pembangunan komuniti India pasti akan membawa hasil yang diharapkan. Usaha ini juga bagi memastikan generasi muda kaum India di SJKT mencintai serta menguasai Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) juga dapat ditingkatkan. Kavyan dan DHRRA Malaysia akan mengendalikan program susulan bersama-sama kumpulan murid ini bagi memberikan bimbingan berterusan; jika ada kerjasama sekolah dan PIBG.


Disediakan oleh Jawatankuasa Kavyan pada 30 Disember 2015