8 Jan 2016

Program MBM di SJKT Taman Permata

Seramai 30 murid Tahun 4-6 dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Permata, Dengkil, Selangor menyertai Program Memartabatkan Bahasa Malaysia anjuran DHRRA Malaysia dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di dewan sekolah berkenaan pada 6 Januari 2016.

Walaupun sesi sekolah baru sahaja bermula, murid-murid bersemangat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang memerlukan mereka mengolah cerita yang diberikan menjadi skrip drama pendek.

Cerita yang diberikan adalah berdasarkan kes dokumen pengenalan yang diuruskan oleh DHRRA Malaysia. Selepas membuat latihan secara berkumpulan, murid-murid membuat persembahan drama masing-masing.

Guru besar, Puan A. Pamavalli melahirkan rasa gembira kerana para murid berpeluang mengasah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) serta membuat persembahan menggunakan bahasa kebangsaan.

Pamavalli menjadi guru besar di sekolah ini sejak 2011. Terdapat 157 murid dan 18 guru di sekolah ini. Sekitar 60 peratus murid adalah anak-anak yang tinggal di Flats Taman Permata, Dengkil. Mereka merupakan keluarga yang dipindahkan apabila estet-estet dibangunkan menjadi Putrajaya.

Peserta dibimbing oleh presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB yang berpengalaman mengendalikan program bahasa dan sastera di seluruh negara sejak 1994.

Penolong Kanan Kurikulum, Puan Kogilavani mengaku bahawa program seperti ini mampu menaikkan semangat dan keyakinan murid-murid SJKT Taman Permata terhadap kepentingan menggunakan bahasa kebangsaan untuk meluahkan perasaan dan pandangan.

Murid-murid yang menyertai program ini menerima sijil penyertaan dan majalah sumbangan DHRRA Malaysia.

DHRRA Malaysia dan Kavyan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengendalikan program serupa di SJKT seluruh negara. Sekolah yang berminat boleh mendapatkan MAKLUMAT LANJUT DI SINI dengan segera.