30 Jul 2009

Kenyataan Media: Jom Bergaya dengan Buku!

Golongan remaja khususnya sentiasa mahu tampil bergaya. Pakaian, aksesori, gaya rambut, telefon bimbit, beg tangan, solekan (dan sebagainya) menjadi tumpuan dalam melengkapkan penampilan bergaya.

Sedar atau tidak, bahan bacaan berupa buku yang berkualiti juga mampu menyerlah gaya dan penampilan seseorang individu.

Menyedari hakikat itu, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Kumpulan One Nusantara, Citra Kurnia Enterprise dan Ridz Marketing menganjurkan kempen “Jom Bergaya dengan Buku” dalam usaha mengalakkan anggota masyarakat, khususnya kanak-kanak dan remaja, menjadikan buku sebagai teman setia di mana-mana.

“Kavyan, Kumpulan One Nusantara, Citra Kurnia Enterprise dan Ridz Marketing mempunyai pandangan dan hasrat yang sama untuk melihat kelahiran Bangsa Malaysia yang gemar membaca serta menjadikan buku sebagai teman setia,” kata Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan.

Kalau golongan remaja merasakan tabiat membaca buku di tempat awam belum menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia, mengapa mereka perlu menjadi “pengikut”?

Kavyan, Kumpulan One Nusantara, Citra Kurnia Enterprise dan Ridz Marketing menggalakkan golongan kanak-kanak, remaja dan belia menjadi trend-setter. Biarlah golongan berkenaan tampil bergaya membaca bahan bacaan bermutu di tempat awam: stesen bas, gerai mamak, di dalam Komuter dan di mana-mana.

“Golongan muda perlu berani menyerlahkan gaya dan identiti intelektual secara terbuka di tempat awam dengan menjadikan buku teman setia,” kata Uthaya yang merupakan seorang sasterawan prolifik dan pencinta buku.

Bagi orang ramai yang berazam “memulakan” budaya membaca secara serius dan berani bergaya dengan buku di tempat awam, mereka diundang menyertai pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan, Kumpulan One Nusantara, Citra Kurnia Enterprise dan Ridz Marketing.

“Soalnya: beranikah anda tampil bergaya di tempat awam dengan buku di tangan?” Tanya Uthaya dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena pelancaran kempen “Jom Bergaya dengan Buku”.

Kavyan berpengalaman mengendalikan aktiviti “baca cerpen” dan “baca novel” sejak tahun 2003; bermula dengan acara “Baca Cerpen Kavyan” selama 96 jam 32 minit yang tercatat dalam The Malaysia Book of Records.

Citra Kurnia Enterprise adalah penerbitan yang dimiliki oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, sasterawan terkenal tanah air yang menerima SEA Write Award pada tahun 2000. Beliau menguruskan syarikat itu bersama-sama isterinya, Selina S.F. Lee yang juga merupakan seorang pengarang.

Pengarah Urusan Kumpulan One Nusantara, Encik Koh Yok Hwa pula mempunyai pengalaman luas dalam penerbitan bahan bacaan untuk kanak-kanak dan remaja dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.

Muhamad Ridzuan DM selaku Pengarah Ridz Marketing pula merupakan anak muda yang mahu sama-sama menyumbang ke arah merealisasikan konsep “Satu Malaysia” dengan menjalankan aktiviti yang mampu memupuk persefahaman dan semangat perpaduan.

Dalam perkembangan terbaru, Kavyan, Kumpulan One Nusantara, Citra Kurnia Enterprise dan Ridz Marketing bekerjasama menganjurkan aktiviti serampang dua mata; iaitu mendaulatkan Bahasa Malaysia dan melahirkan Bangsa Malaysia yang gemar membaca.

Majlis pelancaran kempen “Jom Bergaya dengan Buku” diadakan selepas acara “Baca Cerpen Rudra Avatara (II)” sempena Pesta Buku Negeri Selangor di Kompleks PKNS Shah Alam pada 1 Ogos 2009.
.
Maklumat aktiviti “Jom Bergaya dengan Buku” boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com atau hubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk keterangan lanjut.

No comments: