15 Mar 2013

Tahniah Baha Zain – dan isu-isu lain

Berikut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Uthaya Sankar SB, presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 15 Mac 2013, 11:30 pagi di Shah Alam, Selangor berkaitan Anugerah Sastera Negara, Man Asian Literary Prize dan SEA Write Award:
 
1. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-12.
 
2. Pengumuman anugerah yang membawa gelaran “Sasterawan Negara” itu dibuat Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya pada 15 Mac 2013.
 
3. Kavyan melalui presidennya, Uthaya Sankar SB, mencalonkan Lim Swee Tin bagi anugerah berprestij itu secara rasmi pada 31 Mei 2010 walaupun kempen sudah dimulakan pada 24 Jun 2009. Antaranya melalui kad nama khas yang digunakan sebagai bahan “kempen pencalonan” mulai 9 Julai 2009, wawancara “Straight from the Heart” di akhbar theSun pada 16 Julai 2009 dan acara “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” pada 31 Oktober 2009.
 
4. Pada 3 Mei 2011, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-11 manakala majlis penyampaian anugerah berlangsung pada 21 Mac 2012.
 
5. Jawatankuasa Kavyan yang bermesyuarat pada 19 Februari 2012 memutuskan untuk mengekalkan (tidak menarik balik) pencalonan Lim Swee Tin dengan harapan beliau akan didapati layak oleh panel penilai pada masa akan datang. Harapan itu masih dikekalkan. Kavyan berharap Lim Swee Tin akan berpeluang menjadi Sasterawan Negara pada masa hadapan, dengan izin Tuhan.
 
6. Semoga Warkah Penghormatan Negara berupa wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan pula akan merangsang Baha Zain untuk terus menulis.
 
7. Dalam pada itu, Kavyan turut merakamkan tahniah kepada Tan Twan Eng yang muncul sebagai pengarang Malaysia yang pertama menang Man Asian Literary Prize. Walaupun beliau semacam dilupakan dalam arus sastera kebangsaan, kejayaan Tan Twan Eng berjaya mengharumkan nama Malaysia pada peringkat Asia dan antarabangsa.
 
8. Sehubung itu, walaupun Malaysia (menerusi DBP) hanya memilih penulis karya Bahasa Malaysia bagi SEA Write Award, Kavyan mengusulkan supaya Tan Twan Eng dimasukkan dalam senarai pemenang. Hal ini tidak bertentangan dengan syarat ditetapkan kerajaan Thai.
 
9. Adalah amat merugikan bagi perkembangan sastera pelbagai bahasa di Malaysia jika hanya karya Bahasa Malaysia diberi perhatian oleh DBP dan kerajaan sedangkan salah satu tugas rasmi DBP termasuk membantu pengembangan sastera pelbagai bahasa.
 
10. Walaupun Kavyan secara khusus berusaha memartabatkan Bahasa Malaysia menerusi aktiviti sastera dan budaya, perkembangan sastera dalam bahasa-bahasa lain oleh pengarang pelbagai kaum turut disokong dan dialu-alukan oleh Kavyan.

[Kenyataan media ini disiarkan di Malaysiakini pada 15 Mac 2013.] [Sila KLIK DI SINI untuk membaca reaksi SN Datuk Shahnon Ahmad.] [Sila KLIK DI SINI untuk membaca reaksi Meor Yusof.]

No comments: