Nama Aktiviti
Baca Cerpen Siru Kambam II
Penganjur Bersama
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Kedai Buku dan Muzik Merdekarya (Merdekarya)
Tarikh
23 Mac 2013 (Sabtu)
Masa
Bermula 9:00 malam [Waktu Kavyan]
Tempat
Merdekarya, 352, Tingkat 1, Jalan 5/57, Taman Petaling, Seksyen 5, Petaling
Jaya [JANGAN gunakan GPS kerana anda dijamin akan sesat! Sila
RUJUK
PANDUAN MUDAH DI SINI]. Harap
maklum bahawa Merdekarya dilengkapi bar
yang turut menjual minuman beralkohol. Makanan/minuman luar tidak
dibenarkan.
Latar Belakang
Acara Baca Cerpen Siru Kambam di Perpustakaan
Raja Tun Uda, Shah Alam diadakan dalam skala kecil pada 10 Mac 2013 sempena
pelancaran kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013). Program
Baca Cerpen Kavyan anjuran
bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor dan Kavyan pada 29
Ogos-2 September 2003 pula berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of
Records berikutan pembacaan 384 cerpen secara berterusan oleh 166 peserta
selama 96 jam 32 minit. Baca Cerpen Kavyan menjadi asas bagi memulakan
tradisi membaca cerpen dan novel di khalayak anjuran Kavyan dengan kerjasama
pelbagai pihak. Kavyan sering bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menganjurkan
acara membaca cerpen di pentas. Masyarakat juga semakin berminat untuk mendengar
serta mengambil bahagian dalam acara seumpama ini. Maka tradisi ini wajar
diteruskan dan diperhebatkan; khususnya dengan mengangkat karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan sendiri.
Objektif
1 Membuka peluang kepada peminat sastera
membaca naskhah cerpen karya Sasterawan Kavyan (penulis kaum India).
2 Memupuk minat membaca dan menghayati
karya cerpen dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; membudayakan baca cerpen.
3 Meneruskan tradisi baca cerpen yang
dimulakan melalui program Baca Cerpen Kavyan; memasyarakatkan sastera.
4 Memartabatkan Bahasa Malaysia serta memupuk
semangat cinta akan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
5 Pengisian program kerjasama antara Merdekarya
dan Kavyan.
Jumlah Cerpen
Sebanyak 10 daripada 20 cerpen Bahasa Malaysia karya Uthaya
Sankar SB yang termuat dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013) dijadikan
teks bacaan. Setiap peserta hanya mempersembahkan (ulang: mempersembahkan)
petikan beberapa halaman. Teks cerpen perlu dipilih dan dimaklumkan lebih awal
kepada penganjur. Peserta juga perlu berlatih dan membuat persediaan sebelum
membuat persembahan. Persembahan secara berkumpulan juga dibenarkan.
Penyelarasan
Program pembacaan cerpen diselaraskan dan dikendalikan oleh wakil Kavyan
secara terancang, sistematik dan profesional berdasarkan pengalaman menyelaras
dan mengendalikan Baca Cerpen Kavyan (29 Ogos – 2 September 2003); serta
siri baca cerpen/novel sebelum ini.
Jumlah Peserta/Pembaca (*)
Sepuluh (10) individu pelbagai kaum yang menawarkan diri
secara sukarela. [SENARAI NAMA PESERTA DIPAPARKAN DI SINI] Penyertaan terbuka kepada sesiapa yang berminat dan mampu
membaca naskhah cerpen Bahasa Malaysia dengan gaya persembahan yang mantap dan sesuai untuk persembahan di
khalayak. Ingat: Bukan sekadar membaca petikan cerpen secara biasa dan
membosankan, tetapi membuat persembahan yang mampu memukau penonton/pendengar. Persembahan
secara berkumpulan juga dibenarkan. Penggunaan alat muzik dan sebagainya juga
digelakkan. [SEDIKIT PANDUAN MEMBACA CERPEN DI PENTAS]
Pendaftaran dan Pemilihan Peserta (*)
Bagi tujuan Baca Cerpen Siru Kambam II, orang ramai yang berminat
perlu mendaftar lebih awal kerana jumlah peserta adalah terhad kepada 10 orang. Pendaftaran peserta diuruskan
hanya oleh pihak Kavyan. Pendaftaran dilakukan melalui kaedah ”yang dahulu
didahulukan”. Hubungi infokavyan@yahoo.com.my atau www.facebook.com/uthaya
untuk pendaftaran peserta.
Cenderamata Peserta (*)
Kesemua 10 peserta akan menerima
cenderamata berupa bahan bacaan sumbangan Kavyan; buku karya Datuk A. Samad Said iaitu Penasihat Agung Kavyan. Cenderamata ini
secara tidak langsung membantu menggalakkan minat membaca dalam kalangan
masyarakat; serta mempromosi kempen galakan membaca.
(*) Syarat Peserta/Pembaca
”Peserta” dan ”pembaca” merujuk kepada individu yang mendaftar awal untuk
mendapatkan teks cerpen; mendaftar di Merdekarya
sebelum pukul 9:00 malam pada tarikh acara; membaca teks cerpen (mempersembahkan
teks) di pentas mengikut giliran yang ditetapkan; menyertai acara sepenuhnya dari
mula hingga akhir; dan tidak meninggalkan acara lebih awal.
Penonton
Orang ramai – khususnya peminat sastera, wakil media, siswa-siswi, pelajar,
guru, penulis, penganggur dan ahli Kavyan – dipelawa menghadiri acara Baca Cerpen Siru Kambam II sebagai
penonton. Ibu
bapa dinasihatkan supaya tidak membawa kanak-kanak (bawah 7 tahun) dan bayi ke acara ini.
Jika bayi atau kanak-kanak mengganggu majlis, maka akan diarah keluar.
Wakil Media
Wartawan dan wakil media (termasuk blogger
dan pengamal media alternatif) yang berminat membuat liputan acara ini amat
dialu-alukan.
Rangka Atur Cara
8:45 malam
·
Meja jualan buku dan pendaftaran peserta
·
Nota: Makan-minum TIDAK disediakan tetapi hadirin boleh
membeli makanan/minuman di Merdekarya. Makanan/minuman dari luar tidak
dibenarkan.
9:15 malam [Waktu Kavyan]
·
Ucapan Brian Gomez, pemilik Merdekarya
·
Baca Cerpen Siru Kambam II bermula
10:30 malam [Anggaran]
·
Penyampaian cenderamata kepada peserta
·
Sesi fotografi berkumpulan (peserta/penonton)
·
Nota: Makan-minum TIDAK disediakan tetapi hadirin boleh
membeli makanan/minuman di Merdekarya. Makanan/minuman dari luar tidak
dibenarkan.
Penutup
Acara Baca Cerpen Siru Kambam II dipercayai
mampu dilaksanakan secara sederhana tetapi melibatkan penyertaan khalayak
pelbagai kaum berkat kerjasama padu daripada Merdekarya, Kavyan dan para
sukarelawan. Acara ini juga sebagai usaha ”memasyarakatkan” Merdekarya
dengan membawa orang ramai ke kedai buku, muzik dan aktiviti urban
ini.
Disediakan oleh Jawatankuasa
Kavyan pada 14 Mac
2013