30 Apr 2012

Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan 02/2012

Tarikh              : 29 April 2012 (Ahad)
Masa              : 10:15 pagi (Waktu Kavyan)
Tempat          : Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13, Shah Alam

1. Ucapan Pengerusi Mesyuarat

1.1 Uthaya Sankar SB yang mempengerusikan mesyuarat memulakan mesyuarat dan menerangkan bahawa tujuan utama mesyuarat kali ini adalah untuk merancang aktiviti pada Mei dan Jun 2012 serta membincangkan beberapa isu berkaitan perkembangan bahasa dan sastera.

1.2 Uthaya Sankar SB turut mengucapkan terima kasih kepada Kughan Nadarajah yang menguruskan borang pendaftaran dalam talian (online) bagi memudahkan pendaftaran peserta untuk aktiviti Kavyan.


2. Pembentangan Minit Mesyuarat Lalu

2.1 Prabhawathy Govindarajoo selaku Setiausaha membentangkan Minit Mesyuarat AJK 01/2012 (19 Februari 2012). Muniswaran Errisson dan Magaenthiran Periaswamy mengesahkannya.

2.2 Uthaya Sankar SB mengingatkan bahawa minit mesyuarat dan maklumat lain biasanya dikirim menerusi e-mel. Maka, setiap AJK diminta membalas e-mel sebagai pengesahan sudah menerima, sudah membaca dan sudah memahami kandungan setiap e-mel berkenaan.


3. Laporan Aktiviti & Isu Penting (20 Februari – 28 April 2012)

3.1 Jawatankuasa terbabit membentangkan laporan aktiviti yang dikendalikan atau disertainya.

3.2 Bengkel Penulisan Cerpen Remaja di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 26 Februari 2012 disertai tujuh peserta dan mereka terus berminat mengikuti aktiviti-aktiviti lain anjuran Kavyan.

3.3 Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT Bukit Darah pada 3 Mac 2012 ada dilaporkan di majalah e-baca, April 2012.

3.4 Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di Rumah Keluarga Kami, Kajang pada 10 Mac 2012 ada dilaporkan di akhbar Sinar Harian pada 13 Mac 2012.

3.5 Lawatan Uthaya Sankar SB ke Kota Bharu, Kelantan pada 11-14 Mac 2012 turut “mendedahkan” bahawa pelbagai pihak (dari luar Kelantan) yang bersikap anti-Kavyan cuba memutar-belitkan fakta mengenai Interlok Edisi Murid dan menyebarkan fitnah kononnya Kavyan mendesak novel Interlok diharamkan. Uthaya Sankar SB sudah memberi taklimat dan penjelasan kepada kelompok penulis dan orang ramai yang sempat ditemuinya. Beliau turut menulis lapan artikel mengenai pengalaman di Kota Bharu untuk siaran Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider sepanjang April 2012.

3.6 Muzakarah bersama Ketua Pengarah DBP, Dr Haji Awang Sariyan pada 15 Mac 2012 dihadiri oleh Uthaya Sankar SB mewakili Kavyan.

3.7 Majlis Anugerah Sastera Negara Ke-11 pada 20 Mac 2012 dihadiri oleh Uthaya Sankar SB mewakili Kavyan.

3.8 Kem Nilam di SMK USJ4 pada 24 Mac 2012 ada dilaporkan di akhbar Sinar Harian pada 5 April 2012 dan majalah Tunas Cipta, Mei 2012.

3.9 Program Nilam di SK Taman Sri Muda 2 pada 26 Mac 2012 dirasmikan oleh Uthaya Sankar SB mewakili Kavyan.

3.10 Perbincangan Aktiviti Bersama Pengarah Penerbitan DBP pada 29 Mac 2012 dihadiri oleh Uthaya Sankar SB mewakili Kavyan. Beberapa aktiviti akan dijalankan secara kerjasama kedua-dua pihak.

3.11 Bengkel Cereka UPSR di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 21 April 2012 disertai oleh 39 murid Tahun 4, 5 dan 6.

3.12 Bengkel Penulisan Cerpen di Tawau, Sabah pada 24-26 April 2012 sempena Perkampungan NILAM anjuran Pusat Kegiatan Guru Tawau disertai 44 murid/pelajar dan 31 guru. Uthaya Sankar SB diundang mengendalikan bengkel.

3.13 Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa Isu Royalti Komsas masih berlanjutan. Katanya, pada 5 Mac 2012, pendedahan dilakukan mengenai surat izin palsu manakala pada 27 Mac 2012, beberapa penulis terbabit dihubungi wakil Menteri Pelajaran untuk membincangkan isu berkenaan. Pada 3 April 2012, salah seorang penulis bertemu peguam dan pada 25 April 2012, para penulis menghadiri mesyuarat khas yang diatur Bahagian Buku Teks di Putrajaya. Bagaimanapun, tiada sebarang perkembangan positif.


4. Aktiviti Akan Datang (Mei – Disember 2012)

4.1 Mesyuarat membincangkan mengenai beberapa aktiviti yang sudah dirancang; khususnya pada Mei dan Jun 2012.

4.2 Pembahagian tugas turut dilakukan bagi melancarkan perjalanan aktiviti yang dirancang.

4.3 Perbincangan mengenai cara-cara mendapatkan peserta bagi pelbagai aktiviti yang dikendalikan. Kavyan akan meningkatkan kerjasama dengan sekolah, kolej, universiti, persatuan penulis, pertubuhan bukan kerajaan dan pelbagai pihak yang sama-sama berminat mengendalikan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.

4.4 Mesyuarat mengakui bahawa penggunaan borang pendaftaran dalam talian (online) memudahkan urusan pendaftaran peserta. Maka, cara itu akan terus digunakan dan dikemas kini oleh Kughan Nadarajah.

4.5 Pelancaran Travelog Beijing sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 2 Mei 2012. Jawatankuasa Kavyan tidak dapat hadir kerana bekerja. Setiap AJK yang menghadiri mesyuarat pada hari ini diberikan senaskhah buku berkenaan sebagai cenderamata.

4.6 Bengkel Penulisaan Cerpen di SJKT Sungai Renggam yang sepatutnya diadakan pada 28 April 2012 ditangguhkan ke tarikh lain atas permintaan pihak sekolah. Thiruselvam akan memaklumkan tarikh baru.

4.7 Magaenthiran Periaswamy memaklumkan bahawa Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di Teluk Intan, Perak yang dicadangkan pada 22 April 2012 ditunda ke tarikh lain.

4.8 Bengkel Penulisan Makalah Budaya akan berlangsung di Menara DBP pada 19 Mei 2012. Pendaftaran peserta amat menggalakkan berikutan promosi yang dilakukan Jawatankuasa Kavyan sejak 29 Mac 2012. Pendaftaran ditutup pada 30 April 2012.

4.9 Uthaya Sankar SB diundang mewakili Kavyan untuk mengendalikan Bengkel Penulisan dan Galakan Membaca sempena Festival Penulis Antarabangsa di Makassar, Sulawesi pada 14-17 Jun 2012.

4.10 Dialog “Dari Salina ke Salina” bersama Datuk A. Samad Said akan diadakan sempena Pesta Buku Negeri Selangor (29 Jun – 9 Julai 2012).

4.11 Bengkel Moral SPM akan diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 11 Ogos 2012 untuk membimbing calon SPM mengenai kepentingan mata pelajaran Pendidikan Moral.

4.12 Diskusi Karya Sasterawan Kavyan sedang dirancang bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada awal September 2012. Perbincangan sudah diadakan bersama Pengarah Penerbitan DBP pada 29 Mac 2012.

4.13 Baca Cerpen Kavyan akan diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada Oktober 2012.

4.14 Teater “Tok Jogho Ripin” karya Rohani Deraman akan dipersembahkan dengan kerjasama Kavyan. Perbincangan masih dijalankan.


5. Karya di Akhbar/Majalah

5.1 Bahan tulisan Ramakrishnan Ramasamy dan Uthaya Sankar SB disiarkan di majalah Tunas Cipta, April 2012. Mesyuarat berharap lebih banyak karya dapat dihasilkan dan disiarkan pada mas akan datang.

5.2 Salma Dhineswary menterjemah cerpen “Bapaku Sasterawan” ke Bahasa Tamil dan disiarkan di Vallinam pada April 2012. Usaha penterjemahan ini akan diteruskan.


6. Hal-hal Lain

6.1 Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa Hemantha Kumar Nagappan melepaskan jawatan Penolong Setiausaha kerana komitmen kerja dan keluarga. Mesyuarat memutuskan supaya Kughan Nadarajah memangku jawatan sehingga keputusan lanjut pada mesyuarat akan datang.


7. Penangguhan Mesyuarat

7.1 Mesyuarat Jawatankuasa seterusnya diputuskan untuk diadakan pada 24 Jun 2012 (Ahad), pukul 10:15 pagi.
7.2 Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 11:45 pagi, diikuti makan tengah hari di kafe perpustakaan.