28 May 2012

Dialog Sastera: Dari Salina ke Salina

Program
Dialog Sastera: Dari Salina ke Salina

Tokoh
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said
Penasihat Agung Kavyan

Moderator
Presiden Kavyan

Penganjur Bersama
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
Wira Bukit Sdn Bhd

Tarikh
1 Julai 2012 (Ahad) Perhatian! Dialog Sastera “Dari Salina ke Salina” terpaksa dibatalkan kerana slot asal (tarikh/masa) yang sudah dipersetujui sejak awal “diambil” pihak lain tanpa kebenaran/izin kami. Sekian untuk makluman. (27 Jun 2012)

Masa
10:00 – 11:00 pagi (Waktu Kavyan)

Tempat
Pentas Aktiviti, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC)

Sempena
Pesta Buku Negeri Selangor (29 Jun – 9 Julai 2012)

Objektif
1. Memberi peluang kepada sasterawan terkemuka tanah air berkongsi pengalaman penulisan dan sastera bersama-sama orang ramai, khasnya generasi muda.
2. Memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu dan mendengar pandangan tokoh sastera terkemuka negara.
3. Membuka ruang untuk mengimbau pengalaman Datuk A. Samad Said dalam dunia sastera tanah air sejak novel sulung berjudul Salina (asalnya Gerhana) hingga kepada usaha terkini Wira Bukit Sdn Bhd menerbitkan semula novel Salina dalam edisi baru.

Khalayak Sasaran
Dialog sastera ini mensasarkan kepada khalayak pelbagai kaum dan pelbagai umur yang berminat mengikuti perkongsian pengalaman tokoh sasterawan terkemuka tanah air. Para penulis, wartawan, mahasiswa, pengkaji sastera, peminat sastera, pencinta buku, guru, pelajar, pihak berkuasa tempatan dan orang ramai diundang ke majlis ilmu ini. Hadirin diminta menjaga adab dan tata susila sepanjang program berlangsung.

Cara Pengendalian Program
Dalam sesi dialog ini, moderator akan meminta Datuk A. Samad Said berkongsi pengalaman seni dan sastera beliau dalam dunia penulisan, bermula dengan novel sulung, Gerhana [yang disiapkan pada 1957 dan terbit pada 1961 dengan judul Salina] hingga kepada cabaran terkini yang sedang dihadapi oleh Wira Bukit Sdn Bhd dalam usaha menerbitkan semula novel Salina edisi baru. Orang ramai juga boleh mengemukakan soalan/pertanyaan mengikut tatacara yang dijelaskan secara terperinci di bawah.

Soalan Daripada Hadirin
Hadirin boleh mengemukakan soalan bertulis yang disertakan maklumat diri (nama penuh, pekerjaan, nombor telefon). Soalan bertulis perlu diserahkan kepada urus setia (wakil penganjur) yang bertugas pada hari program. Keutamaan bagi soalan-soalan yang dikemukakan lebih awal secara dalam talian - BORANG DI SINI. Soalan-soalan ini akan disaring oleh urus setia dan moderator. Hanya soalan-soalan yang didapati sesuai dan wajar akan dikemukakan kepada tokoh untuk dijawab. Soalan-soalan yang terpilih itu pula hanya akan dibacakan sekiranya individu yang mengemukakan soalan itu berada di tempat acara (pentas aktiviti). Individu terbabit yang “muncul” kemudian dengan apa alasan sekali pun tidak akan dilayan.

Jumlah Soalan
Kertas-kertas soalan yang dikemukakan oleh hadirin akan dipilih secara undian terbuka semasa sesi dialog sedang berlangsung. Pengundian akan dihentikan sebaik tamat tempoh kerana program hanya selama sejam. Soalan boleh dikemukakan mulai sekarang secara dalam talian - ISI BORANG DI SINI.

Skop Sesi Dialog
Program ini secara khusus berkaitan pengalaman Datuk A. Samad Said dalam bidang penulisan, bahasa, penerbitan dan bidang yang berkaitan. Sebarang pertanyaan/soalan yang di luar lingkungan (skop) khusus ini tidak akan dilayan. Hadirin diminta menghormati perkara ini.

Cenderamata
Khalayak/hadirin yang soalannya terpilih dalam undian dan dikemukakan kepada Datuk A. Samad Said semasa sesi dialog, akan menerima cenderamata berupa bahan bacaan sumbangan penganjur. Cenderamata ini hanya akan diberi sekiranya individu yang mengemukakan soalan itu berada di tempat acara (pentas aktiviti) semasa soalannya dibacakan. Individu terbabit yang “muncul” kemudian dengan apa alasan sekali pun tidak akan dilayan.

Buku-buku Datuk A. Samad Said
Sepanjang Pesta Buku Negeri Selangor (29 Jun – 9 Julai 2012), buku-buku karya Datuk A. Samad Said yang diterbitkan oleh Wira Bukit Sdn Bhd boleh dibeli di gerai One Nusantara Sdn Bhd dengan harga istimewa. Buku-buku ini juga akan dijual di sekitar pentas aktiviti semasa sesi dialog berlangsung pada 1 Julai 2012. Bagaimanapun, stok adalah terhad. Pengunjung dinasihatkan membeli lebih awal di gerai One Nusantara Sdn Bhd supaya tidak terlepas peluang memiliki buku-buku berkenaan pada harga serendah RM10.00 senaskhah.

Sesi Tandatangan
Sebaik selesai sesi dialog, Datuk A. Samad Said akan beredar ke meja khas yang disediakan berdekatan pentas aktiviti untuk sesi tandatangan. Urus setia (wakil penganjur) akan menguruskan supaya orang ramai beratur untuk mendapatkan tandatangan beliau. Tandatangan hanya akan diturunkan pada buku-buku karya Datuk A. Samad Said; bukan pada cebisan kertas, buku nota, kemeja-T, buku pengarang lain dan sebagainya. Wakil penganjur berhak menghalang mana-mana individu yang melanggar peraturan ini.

Lawatan ke Gerai One Nusantara
Seterusnya, Datuk A. Samad Said dan wakil Wira Bukit Sdn Bhd akan diiringi wakil One Nusantara Sdn Bhd dan Kavyan ke gerai syarikat berkenaan untuk meninjau jualan buku-buku Pak Samad di sana.

Jamuan Makan
Selepas itu, Datuk A. Samad Said akan dibawa menikmati jamuan. Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan tidak mengganggu beliau pada waktu jamuan berlangsung untuk sesi tandatangan atau sesi fotografi. Wakil penganjur berhak menghalang usaha itu.

Maklumat Lanjut
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan program ini, sila hubungi Jawatankuasa Kavyan menerusi e-mel infokavyan@yahoo.com.my [jangan tertinggal .my pada alamat e-mel] atau Uthaya Sankar SB menerusi talian 016-3288142 [SMS akan dibaca tetapi tidak dibalas].