Peserta juga diingatkan supaya berpakaian sopan, kemas dan sesuai dengan suasana rumah-rumah ibadat yang dikunjungi. Peserta wanita yang tidak bertudung dinasihatkan membawa kain selendang atau seumpamanya untuk dipakai semasa kunjungan ke masjid. Pengikat kepala bagi peserta lelaki dan wanita disediakan di gurdwara.
Berikut rangka aktiviti. Sila maklum bahawa peserta wajib berada di lokasi pertama (kuil) selewat-lewatnya pada jam 10:00 pagi Waktu Kavyan. Ada tempat letak kereta di dalam perkarangan kuil itu. Untuk perjalanan dari lokasi pertama, digalakkan berkongsi kereta.
Sila pastikan setiap peserta tahu lokasi kuil ini. [LIHAT PETA] Gunakan Google Map jika perlu untuk mengesan lokasi itu lebih awal. Cari “Sekolah Kebangsaan Sri Dhandayuthapani” kerana kuil terletak di sebelah sekolah berkenaan. Hubungi Uthaya Sankar SB (016-3288142) sebelum 10:00 pagi, 2 Mei 2011 sekiranya memerlukan panduan jalan.
Peserta konvoi dijangka meluangkan masa sekitar 30 minit di setiap lokasi/rumah ibadat. Jangan lupa membawa kamera untuk merakamkan pengalaman yang amat bermakna ini!
Lokasi Pertama: Kuil Subramaniam Chettiar di Jalan Ipoh. Peserta dinasihatkan datang awal supaya tidak “menjejaskan” perjalanan program.
Lokasi Kedua: Gurdwara Sahib di Jalan Sentul. Pengikat kepada disediakan tetapi peserta wanita yang tidak bertudung digalakkan membawa selendang.
Lokasi Ketiga: Gereja Katolik St Joseph di Jalan Sentul. Mungkin ada peserta konvoi beragama Kristian yang boleh membantu memberi penerangan.
Lokasi Keempat: Tokong Dewa Pengawal di Jalan Sentul. Mungkin ada peserta konvoi daripada kalangan kaum Cina boleh mmebantu memberi penerangan kerana biasanya tidak ada orang di sana untuk menjadi “pemandu pelancong”.
Lokasi Kelima: Masjid Al-Hidayah di Jalan Sentul. Peluang untuk kita sama-sama lebih mengenali agama rasmi Malaysia.
Lokasi Keenam: Wat Buddha Sri Lanka di Sentul. Biasanya ada sami di sana yang sedia memberikan penerangan. Malah, makanan/minuman juga mungkin disajikan kepada sesiapa yang mahu merasainya.
Selepas tamat kunjungan ke lokasi keenam, konvoi akan kembali ke lokasi pertama (kuil) sebelum bersurai. Konvoi II Ke Rumah Ibadat hanya dilakukan pada skala kecil tetapi masih memberi sumbangan besar ke arah memupuk perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia.
Semoga Konvoi II Ke Rumah Ibadat diberkati-Nya.