Peserta bengkel ini terdiri daripada murid Tahun Lima dan Enam yang berminat mempelajari teknik menghasilkan karangan tidak berformat (cereka) mengikut format Bahagian B, Kertas 2 (Penulisan) subjek Bahasa Malaysia peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Bengkel akan dikendalikan di sekolah itu sendiri selama minimum empat jam supaya ilmu penulisan cereka dapat disampaikan secara berkesan kepada peserta. Pihak sekolah perlu menyediakan tempat (dewan/bilik), kerusi dan meja peserta, makanan untuk peserta dan kemudahan projektor LCD bagi kegunaan bengkel.
Peserta akan dibimbing oleh wakil dari Kavyan, khususnya Uthaya Sankar SB yang merupakan sasterawan prolifik dan penulis ruangan “Cereka UPSR” di majalah e-baca (Mei 2010 - April 2011).
Bengkel berupa bimbingan penulisan bagi kanak-kanak dikendalikan oleh Kavyan sejak tahun 2000 di pelbagai lokasi di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak.
Apa yang menarik, Bengkel Cereka UPSR bukan sekadar bertujuan membimbing peserta mengenai teknik menghasilkan karangan bagi tujuan peperiksaan. Sebaliknya, membuka laluan ke arah menghasilkan cereka bermutu yang layak disiarkan di majalah untuk tatapan umum. Secara langsung, memupuk minat membaca, mengembangkan kreativiti, mengasah minda dan menanam kecintaan terhadap Bahasa Malaysia dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum.
Sepanjang bengkel, peserta akan dibimbing untuk menulis karangan yang akan dinilai dan dikomen oleh wakil Kavyan. Sebagai galakan, peserta yang mampu menghasilkan karangan yang baik akan diberi hadiah berupa bahan bacaan.
Kavyan juga amat menggalakkan kehadiran guru-guru pengiring untuk sama-sama menghadiri dan terlibat secara aktif (dan berdisiplin) dalam bengkel ini supaya mereka juga boleh menimba ilmu serta berkongsi pengalaman demi kebaikan murid-murid.
Kerjasama guru, murid, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai diperlukan bagi menyebarkan maklumat mengenai Bengkel Cereka UPSR demi kebaikan dan manfaat generasi muda.
Sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk merancang dan menetapkan tarikh bengkel; sementara belum terlewat untuk membimbing generasi muda menuju kecemerlangan!
No comments:
Post a Comment