31 Aug 2010

Kavyan Teruskan Agenda

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mula dikenali umum pada Ogos 2003 sempena acara “Baca Cerpen Kavyan” yang mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records berikutan pembacaan cerpen-cerpen Bahasa Malaysia secara berterusan selama 96 jam 32 minit di Galeri Shah Alam.
.

Kavyan turut menerima Anugerah Budayawan Selangor daripada kerajaan negeri pada 2005 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dalam memperkaya aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) juga memberi sijil pengiktirafan sebagai menghargai usaha Kavyan menganjurkan pelbagai aktiviti galakan membaca sepanjang 2009.

.

Sebenarnya, sejarah Kavyan bermula pada Ogos 1999 apabila sekumpulan penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia bertemu dan mencapai kata putus untuk menjadikan kewujudan golongan penulis itu lebih menonjol dan dikenali umum. [BACA DI SINI]

.

Sambil berpegang teguh pada moto “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”, Kavyan aktif bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara.

.

Pada Julai 2004, Kavyan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mula menggunakan istilah “Sastera Kavyan” untuk merujuk pada karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan penulis kaum India di Malaysia. Istilah “Sasterawan Kavyan” pula merujuk pada kumpulan penulis berkenaan. [BACA DI SINI]

.

Aktiviti Kavyan termasuk Apresiasi Sastera Kanak-kanak di sekolah rendah, Apresiasi Sastera Remaja di sekolah menengah dan kolej, Bengkel Cerpen Kavyan untuk membimbing penulis muda, Bengkel Cereka UPSR untuk memupuk bakat penulisan kreatif dalam kalangan kanak-kanak, Diskusi Sastera Kavyan untuk membincangkan karya secara ilmiah serta Kunjungan Sastera Kavyan ke estet dan kawasan luar bandar.

.

Siri “baca cerpen” dan “baca novel” juga diadakan hampir setiap bulan sebagai kesinambungan kepada “Baca Cerpen Kavyan” yang mencetuskan fenomena baru dalam acara membaca cerpen secara berterusan di pentas pada 2003.

.

Jawatankuasa Kavyan terdiri daripada penulis dan aktivis kaum India tetapi kesemua aktiviti anjuran persatuan ini terbuka kepada seluruh Bangsa Malaysia tanpa batas kaum.

.

Sebagai persatuan yang tidak berciri perkauman, Kavyan melantik Sasterawan Negara Datuk A Samad Said sebagai Penasihat Agung manakala Allahyarham Dr Othman Puteh pernah dilantik sebagai Penasihat Kehormat semasa hayat beliau.

.

Pada 2009, Kavyan memulakan kempen “Jom Bergaya dengan Buku!” yang bertujuan menggalakkan orang ramai – khususnya remaja dan kanak-kanak – berasa seronok, megah dan bergaya apabila berada di tempat awam bersama bahan bacaan (khususnya buku).

.

Wakil Kavyan juga sering diundang menyertai acara deklamasi sajak, dialog, diskusi, forum dan persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

.

Selain daripada menghasilkan karya secara asli dalam Bahasa Malaysia, kelompok penulis yang menganggotai Kavyan juga menulis karya Bahasa Inggeris dan Tamil. Malah, karya Bahasa Malaysia oleh kelompok ini sering diterjemah ke Bahasa Tamil untuk disiarkan di akhbar dan radio.

.

Kekuatan Kavyan terletak pada penglibatan jawatankuasa yang komited dan proaktif dalam merancang serta melaksanakan pelbagai aktiviti secara konsisten dan berterusan.

.

Kavyan juga sering menjadi tempat rujukan pelbagai pihak yang memerlukan maklumat berkaitan bahasa, sastera, seni dan budaya kaum India.

.

Perkembangan mutakhir aktiviti Kavyan boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com dan alamat e-mel rasmi Kavyan adalah infokavyan@yahoo.com.my

.

(Prabhawathy Govindarajoo, Mutiara Minda, Ogos-Oktober 2010)

No comments: