11 Sept 2024

Temasya Bahasa: Bengkel Penulisan Cereka di SJKT

Pengenalan

Penguasaan Bahasa Malaysia iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah amat penting bagi setiap individu. Jumlah masa dan peluang bagi murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk terlibat dalam aktiviti Bahasa Malaysia mungkin kurang dan terhad. Dalam situasi ini, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) yang diasaskan pada tahun 1999 terlibat mengendalikan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT seluruh negara sejak tahun 2004 (Utusan Malaysia, 30 Mac 2024). Persatuan Kebajikan Idayakkani pula antara lain bermatlamat membantu kanak-kanak keluarga miskin dan susah (B40) dalam hal-hal berkaitan pendidikan.

Program

Idayakkani dan Kavyan merangka program Temasya Bahasa untuk membantu meningkatkan kecintaan dan penguasaan Bahasa Malaysia serta memupuk minat membaca dan menulis karya Bahasa Malaysia dalam kalangan murid dan guru SJKT. Program Temasya Bahasa bagi peringkat Daerah Larut, Matang dan Selama dari Mei hingga Julai 2024 melibatkan kesemua 17 buah SJKT berjaya dikendalikan dengan kebenaran Pejabat Pendidikan Daerah Larut, Matang dan Selama menerusi surat bertarikh 2 Mei 2024. Pendekatan didik hibur (edutainment) yang diguna pakai oleh Kavyan sejak tahun 2004 terus diterapkan dalam merangka dan melaksanakan program Temasya Bahasa pada peringkat negeri yang dikendalikan dengan kebenaran Jabatan Pendidikan Negeri Perak menerusi surat bertarikh 22 Ogos 2024. “Bengkel Penulisan Cereka” merupakan sebahagian daripada program Temasya Bahasa.

Penganjur Bersama

Persatuan Kebajikan Idayakkani

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan)

SJKT YMHA, Taiping

 

Tarikh

28 September 2024 (Sabtu Keempat)

 

Masa

8:00 pagi – 2:00 petang

 

Tempat

Dewan SJKT YMHA, Jalan Stesen Hulu, 34000 Taiping

 

Objektif

1. Memupuk minat membaca/menulis karya Bahasa Malaysia

2. Berkongsi panduan (tips) memilih bahan bacaan yang sesuai

3. Menggalakkan peserta menjadikan membaca/menulis sebagai hobi

4. Mengendalikan aktiviti didik hibur (edutainment) berasaskan buku

5. Mencungkil bakat terpendam dalam kalangan murid

Peserta

Setiap sesi program berbentuk bengkel penulisan cereka dihadkan kepada maksimum empat puluh (40) peserta. Sekolah yang mengesahkan penyertaan untuk program pada 28 September 2024 ialah SJKT YMHA (tuan rumah), SJKT Ladang Getah Taiping, SJKT Ladang Holyrood, SJKT Ladang Matang, SJKT Ladang Temerloh, dan SJKT St. Theresa’s Convent.

 

Pembimbing

Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1992. Karya tersiar di pelbagai akhbar, majalah, dan portal dalam talian selain termuat dalam puluhan antologi sejak tahun 1993. Kolumnis ruangan “Bicara Budaya” di akhbar Utusan Malaysia sejak Julai 2020. Antara buku persendirian ialah Orang Dimensi (1994), Kisah Dari Siru Kambam (2013), Ikan Patin dan Beruang Besar (2017), Bhagavad Gita (2021), The Painted Cat (2023), dan Dewi Pertiwi (2024). Anugerah yang diterima termasuk Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat (1992), Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993, 1996), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97, 1998/99), Anugerah Duta Keamanan (Korea Selatan, 2008), dan Anugerah Tokoh Saraswati (India, 2023). Uthaya turut mengendalikan bengkel penulisan, kempen galakan membaca, dan projek komuniti di seluruh negara sejak 1994. [biodata penuh]

Rangka Atur Cara

Harap maklum bahawa semua program yang melibatkan Kavyan dijalankan mengikut “Waktu Kavyan” iaitu masa sepertimana dinyatakan pada jadual. (Nota: Atur cara lengkap dikirim kepada pihak sekolah.)

 

8:00 pagi

Ketibaan peserta dan penyerahan bahan bengkel

Ucapan Guru Besar SJKT YMHA, Puan Kalaivani Perumal

Ucapan Pengerusi Idayakkani, Encik Sivasankar Narayanan

8:30 pagi

Bengkel bermula

10:00 pagi

Sarapan

10:30 pagi

Bengkel diteruskan

1:00 tengah hari

Penyampaian sijil penyertaan

Bersurai

[Klik di sini untuk video rangkuman program]

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan

SJKT di negeri Perak yang berminat menyertai program Temasya Bahasa sila hubungi Pengerusi Idayakkani, Sivasankar a/l Narayanan (016-2706867) atau Timbalan Pengerusi Idayakkani, Manimaran a/l P. Manikam (016-2392764) untuk perbincangan lanjut.