29 Sept 2024

Projek Komuniti Kavyan di Lorong B, Aulong Lama


Pengenalan

Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama, Taiping, Perak dimulakan pada tahun 2016 dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Masyarakat India, Aulong Lama (Sangam). Sila [klik di sini] untuk senarai program yang dijalankan. Projek terhenti susulan penularan Covid-19 pada awal tahun 2020. Selepas itu, cubaan dilakukan beberapa kali untuk menyambung Projek Komuniti Kavyan di Sangam tetapi kurang mendapat sambutan pemimpin komuniti dan masyarakat setempat. Maka, projek cuba dikendalikan pula di Kuil Sri Maha Sivalayam, Lorong 9, Aulong Baru – [baca di sini] – tetapi juga kurang mendapat sambutan penduduk sekitar.

 

Lorong B, Aulong Lama

Di bawah projek Kenangan Lorong B, Aulong Lama, saya [Uthaya Sankar SB] mengunjungi beberapa penduduk asal Lorong B pada 27 September 2024. Hasil perbualan dengan pihak pengurusan Kuil Om Sri Bathra Kaliamman, keputusan dicapai untuk memulakan Projek Komuniti Kavyan di kuil berkenaan pada Oktober 2024. Untuk makluman, rumah asal keluarga saya terletak di 176, Lorong B (kini milik orang lain) manakala kuil pula terletak di 179, Lorong B.


Pengisian Projek Komuniti

Peserta terdiri daripada kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa yang tinggal di Lorong B dan kawasan sekitar Aulong Lama. Antara aktiviti yang dirancang (sebagai permulaan) ialah kelas Thevaram, sesi melukis dan mewarna, membaca buku cerita, sesi bercerita, permainan tradisional, dan gotong-royong. Aktiviti akan ditambah dan diubah suai dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian dan keperluan. Skala program bergantung kepada dana (wang) yang ada dan sambutan peserta.


Penyelarasan dan Pengurusan

Aktiviti mingguan (Sabtu/Ahad) diuruskan oleh Puan Moganabal @ Mogana mewakili pihak pengurusan Kuil Om Sri Bathra Kaliamman. Saya pula mewakili Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) dan akan menyelaras program bulanan (atau dua bulan sekali) serta urusan mencari sumbangan dan tajaan daripada orang ramai bagi menampung sebahagian kos.


Sumbangan Orang Ramai

Sumbangan ikhlas daripada orang ramai amat diperlukan, diharapkan, dan dialu-alukan. Sumbangan RM10 juga amat besar nilainya bagi kami. Berdasarkan rekod Kavyan mengendalikan pelbagai program sejak tahun 1999, para penyumbang pasti yakin bahawa segala sumbangan (wang/barangan) digunakan secara penuh integriti. Surat pengesahan rasmi akan diberi bagi setiap sumbangan yang diterima.


Pertanyaan dan Maklumat Lanjut

Bagi penduduk sekitar Aulong Lama dan Aulong Baru, boleh berkunjung terus ke Kuil Om Sri Bathra Kaliamman, 179 Lorong B dan bertemu Puan Moganabal untuk mendapatkan maklumat lanjut. Orang ramai juga boleh menghubungi saya menerusi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952.