Sunday, 4 November 2018

Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan


Program
Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan

Tarikh
15, 16 dan 17 Disember 2018 (Sabtu, Ahad dan Isnin)

Tempat Program
Shah Alam, Selangor

Pengenalan
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sentiasa berusaha membimbing dan melahirkan penulis baharu pelbagai kaum, dengan tumpuan khusus kepada golongan penulis kaum India. Istilah “Sasterawan Kavyan” yang digunakan sejak tahun 2004 merujuk kepada penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut melaksanakan pelbagai program dan bengkel bagi melahirkan penulis pelbagai kaum. Jumlah Sasterawan Kavyan tidak ramai dan usaha drastik perlu diambil segera bagi melahirkan lebih ramai penulis kelompok ini. Dalam pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dr Mohamed Hatta Shaharom pada 29 September 2018 [BACA DI SINI], pelbagai isu, cabaran, rintangan dan cadangan dibincangkan. Beberapa topik berkaitan turut dikemukakan oleh wakil Kavyan pada mesyuarat Dasar Buku Negara di DBP pada 30 Oktober 2018. Kavyan berusaha menggalakkan para Sasterawan Kavyan menyumbang lebih banyak karya bermutu untuk siaran majalah-majalah terbitan DBP.


Rasional
Rata-rata Sasterawan Kavyan berdepan dengan komitmen kerja hakiki dan tanggungjawab keluarga. Maka, Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan dilaksanakan supaya para penulis berkenaan boleh memberikan komitmen penuh selama dua hari untuk menghasilkan karya secara terancang. Sekiranya ruang ini tidak disediakan, agak mustahil untuk mengharapkan kelahiran lebih ramai Sasterawan Kavyan dan lebih banyak karya bermutu daripada kelompok penulis ini. Hal ini pasti merugikan dunia penulisan tanah air.

Keunikan
Para Sasterawan Kavyan yang menyertai program ini akan terlibat bersama-sama dalam perbincangan, perkongsian pengalaman, sumbang saran (brainstorming), penulisan, bedah karya, semakan manuskrip dan sebagainya menggunakan konsep “rakan sebaya” tanpa campur tangan pihak luar yang mungkin menyebabkan wujud jurang komunikasi dan tiada keterbukaan.


Objektif
● Memberi pendedahan dan panduan lengkap mengenai format, syarat dan teknik penulisan puisi, cerpen dan rencana bagi majalah-majalah DBP.
● Memberi peluang Sasterawan Kavyan berbincang, mengadakan sesi sumbang saran, perkongsian idea, bedah karya dan semakan manuskrip secara berkumpulan mengikut konsep “rakan sebaya”.
● Memastikan setiap peserta menghasilkan sekurang-kurangnya dua karya pada akhir program.
● Menyalurkan karya bermutu ke majalah-majalah DBP.
● Memperkaya sastera kebangsaan menerusi karya Sasterawan Kavyan.


Peserta
Sekumpulan Sasterawan Kavyan yang sudah ada pengalaman menulis dan berminat untuk menghasilkan karya secara lebih prolifik dan konsisten bersetuju untuk menyertai program ini. (Termasuk penulis yang “lahir” menerusi Kavyan.) Peluang juga dibuka kepada penulis “Bukan Melayu” yang berminat.

Pembimbing
Uthaya Sankar SB mencipta nama selepas menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1991. Beliau berpengalaman mengendalikan pelbagai bengkel dan program bahasa/sastera di seluruh negara sejak tahun 1994.

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan
Jika ada sebarang pertanyaan, hubungi infokavyan@yahoo.com.my atau WhatsApp 011-11411952. Layari Blog Kavyan untuk maklumat program semasa.

Penutup dan Harapan
Program pada skala kecil ini diyakini mampu melahirkan sejumlah karya (sajak, cerpen, rencana) oleh Sasterawan Kavyan untuk disalurkan ke majalah-majalah DBP sebagaimana ditetapkan pada objektif program.