Wednesday, 12 September 2018

Pertemuan dan Bicara Karya Penulis Kaum India


Dalam pertemuan Uthaya Sankar SB dengan Timbalan Ketua Pengarah Dewan bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran (kanan), dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Haji Razali Che Mat (kiri) di Menara DBP pada 12 September 2018, dibincangkan secara khusus keperluan menarik minat kelompok penulis dan anggota masyarakat kaum India terhadap bahasa dan sastera kebangsaan; bukan hanya khalayak di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tetapi juga khalayak umum.


Hasil perbincangan yang turut melibatkan beberapa pegawai DBP, keputusan diambil untuk mengadakan sesi pertemuan dan bicara karya penulis kaum India. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) meminta supaya kedua-dua program berkenaan tidak hanya menumpukan kepada kelompok Sasterawan Kavyan (penulis karya Bahasa Malaysia), tetapi turut melibatkan penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Tamil dan Inggeris.

Dua program berkenaan adalah seperti berikut:

Sesi Pertemuan

Sesi pertemuan penulis kaum India (pelbagai bahasa) dengan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dr Mohamed Hatta Shahrom. Pertemuan akan diadakan di Menara DBP pada pagi suatu hari Sabtu, bulan Oktober 2018.. Tarikh belum ditentukan.

[Nota: Mesej peribadi turut dikirim kepada para penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris pada 12 September 2018. Pengesahan tarikh pertemuan diperoleh pada 20 September 2018 dan sudah dimaklumkan kepada para penulis yang menyatakan minat untuk hadir.]

Penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris diundang menyertai pertemuan ini untuk berkongsi pandangan dan cadangan melibatkan kelompok penulis kaum India. Kerjasama dalam bentuk program bahasa dan sastera juga akan dibincangkan pada pertemuan ini. Perbincangan dalam Bahasa Malaysia.

[Kemas kini: Pertemuan berlangsung pada 29 September 2018 -- LIHAT DI SINI]


Kavyan sentiasa menggalakkan serta mengusahakan pertemuan seperti ini. Misalnya: Pertemuan Penulis Kaum India Malaysia (1 November 2015), Baca Karya Penulis Malaysia (20 Disember 2015), dan Baca Karya Penulis Malaysia II (11 Jun 2017).

Sila hubungi e-mel infokavyan@yahoo.com.my atau WhatsApp 011-11411952 jika anda merupakan penulis kaum India (Bahasa Malaysia, Tamil, Inggeris) serta berminat untuk terlibat dalam sesi pertemuan ini.

Bicara Karya

Kavyan dan DBP bersetuju untuk mengatur suatu sesi bicara karya melibatkan penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris pada November 2018. Sesi ini merupakan semacam kesinambungan kepada Bicara Karya Penulis Malaysia (21 April 2018).


Peluang dibuka kepada tiga individu untuk memperkatakan tiga kategori karya, iaitu karya Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris yang dihasilkan oleh penulis kaum India. Sesi pembentangan dan perbincangan dalam Bahasa Malaysia, dan hadirin terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang.


Sila hubungi e-mel infokavyan@yahoo.com.my atau WhatsApp 011-11411952 jika anda merupakan penulis kaum India (Bahasa Malaysia, Tamil, Inggeris) serta berminat untuk terlibat dalam sesi bicara karya ini.