Sunday, 1 November 2015

Baca Karya Penulis Malaysia

Nama Acara
Baca Karya Penulis Malaysia

Tema
Raikan Kepelbagaian, Pupuk Perpaduan

Penganjur Bersama
Pusat Kebudayaan India (ICC), Brickfields

Tarikh
20 Disember 2015 (Ahad)

Masa
9:00 pagi – 1:00 petang

Tempat
Pusat Kebudayaan India (ICC), Tingkat 17, Sentral Vista, Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, Kuala Lumpur – Terletak tidak jauh dari KL Sentral, NU Sentral, Stesen Monorel Tun Sambanthan dan Kompleks MAB Brickfields.

Pengenalan
Pertemuan melibatkan kelompok penulis kaum India di Malaysia yang menghasilkan karya pelbagai bahasa berlangsung di Pusat Kebudayaan India (ICC) pada 1 November 2015 atas inisiatif Kumpulan Sasterawan Kavyan. Hasil daripada Pertemuan Penulis Kaum India Malaysia, maka Kumpulan Penulis Kaum India Malaysia dibentuk bagi merangka aktiviti susulan iaitu Baca Karya Penulis Malaysia. Acara ini bertujuan mengumpulkan para penulis pelbagai kaum (warganegara Malaysia) yang menghasilkan karya (fiksyen dan bukan fiksyen) pelbagai bahasa. Bahasa yang dimaksudkan tidak hanya terhad kepada Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin. Sebaliknya, turut merangkumi mana-mana bahasa yang digunakan oleh para penulis terbabit untuk berkarya. Syarat wajib adalah bahawa penulis terbabit mestilah warganegara Malaysia. [Baca juga: Sastera Kaum dan Bahasa yang Terpisah]

Definisi
Istilah “penulis Malaysia” yang digunakan dalam konteks program ini merujuk khusus kepada warganegara Malaysia; tidak termasuk pemastautin tetap. Aspek agama, kaum, keturunan, etnik, kepercayaan, ideologi politik, bahasa ibunda dan sebagainya tidak diambil kira semasa mendefinisikan “penulis Malaysia” dalam konteks ini. Karya termasuk fiksyen (puisi, cerpen, novel, cerita rakyat dan seumpamanya) dan bukan fiksyen (memoir, esei, rencana, kritikan dan seumpamanya).

Objektif
1 Mengumpulkan pembaca dan penulis Malaysia yang menghasilkan karya kreatif dan bukan kreatif
2 Mengumpulkan pembaca dan penulis Malaysia yang menghasilkan karya dalam pelbagai bahasa
3 Memupuk perpaduan dan mengeratkan silatulrahim dalam kalangan pembaca dan penulis pelbagai kaum di Malaysia
4 Menyediakan ruang bagi penulis Malaysia mempromosikan karya melalui sesi pembacaan karya di pentas
5 Memperkenalkan ICC dan aktivitinya kepada khalayak Malaysia

Sasaran Peserta
Sekitar 30 penulis Malaysia (warganegara) yang menghasilkan karya kreatif (fiksyen) dan bukan kreatif (non-fiksyen) dalam mana-mana bahasa. Para pembaca yang berminat untuk bertemu serta mendengar pembacaan teks oleh para penulis Malaysia juga diundang ke acara ini. Penulis yang membacakan karya di pentas wajib warganegara Malaysia. Pembaca atau peminat yang mendaftar sebagai penonton terbuka kepada sesiapa, tanpa mengira kewarganegaraan.

Biodata Penulis
Setiap penulis yang mengambil bahagian wajib mengemukakan biodata ringkas (maksimum 50 perkataan) semasa mengisi borang pendaftaran. Sila tulis biodata pada ruangan “BIODATA 50 PERKATAAN” di borang berkenaan. Biodata wajib menggunakan Bahasa Malaysia. Biodata ini mungkin dimuatkan di blog bagi tujuan promosi. Penonton tidak perlu mengemukakan biodata.

Pendaftaran
Para penulis yang berminat menyertai acara ini wajib mengisi BORANG PENDAFTARAN sebelum 16 Disember 2015. Penulis yang tidak mengisi borang tidak dibenarkan naik ke pentas untuk membaca petikan teks pada tarikh acara, serta tidak dibenarkan mempromosikan/menjual buku mereka pada acara ini. Hanya pembaca (penonton) yang mengisi borang pendaftaran sebelum 19 Disember 2015 boleh menyertai cabutan bertuah semasa acara ini.


Meja Jualan
Meja akan disediakan di tempat acara untuk memudahkan para penulis (peserta berdaftar sahaja!) mempamerkan dan menjual buku masing-masing. Harap maklum bahawa penulis bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan jualan. Penganjur tidak menyediakan pembantu. Penulis yang berminat menjual buku digalakkan hadir seawal 9:00 pagi.

Cabutan Bertuah
Cabutan bertuah yang menawarkan hadiah buku akan dibuat sepanjang acara berlangsung. Penulis dan pembaca yang sudah mengisi borang pendaftaran sahaja layak mengambil bahagian dalam cabutan bertuah ini. Pada tarikh acara (20 Disember 2015), peserta (penulis dan pembaca) perlu berada di tempat acara selewat-lewatnya pukul 9:30 pagi untuk mengesahkan kehadiran serta menulis nama pada kertas undi. Jumlah cabutan bertuah bergantung kepada jumlah sumbangan buku yang berjaya dikumpul oleh penganjur.

Bahasa
Selaras usaha memartabatkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, acara akan dikendalikan oleh pengacara majlis menggunakan Bahasa Malaysia. Biodata peserta juga akan dibacakan dalam Bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun, para penulis dibenarkan menggunakan mana-mana bahasa semasa mempersembahkan (membacakan) karya di pentas.

Teks Bacaan dan Masa 5-10 Minit
Hanya penulis yang mengisi borang pendaftaran – berserta biodata ringkas – sebelum 16 Disember 2015 layak membaca teks di pentas pada acara ini. Karya mestilah karya sendiri. Setiap penulis diperuntukkan masa 5-10 minit sahaja di pentas. Masa 5-10 minit itu termasuk masa yang mahu dibazirkan oleh penulis untuk mengatur peralatan di pentas serta menyampaikan ucapan yang membosankan. Para penulis dinasihatkan TIDAK berucap atau mengulas karya atau menceritakan pengalaman menulis atau mengucapkan terima kasih kepada sesiapa. Biodata ringkas (yang disertakan semasa mengisi borang pendaftaran) akan dibacakan oleh pengacara sebelum mengundang penulis ke pentas. Penulis bebas memilih mana-mana karya sendiri untuk disampaikan. Harap maklum bahawa ada karya yang sesuai dipersembahkan (dibacakan) di pentas, dan ada karya yang hanya sesuai dibaca seorang diri secara senyap. Penulis diharap bijak memilih karya untuk dipersembahkan di pentas. Penulis bertanggungjawab sepenuhnya jika karya yang dibaca menyentuh sensitiviti, melanggar undang-undang dan sebagainya.

Atur Cara
Berikut adalah rangka atur cara bagi melicinkan perjalanan acara. Para penulis dan pembaca (peserta) diminta mematuhi Waktu Kavyan, iaitu masa sebagaimana dinyatakan dan bukannya sejam lewat!

9:00 pagi
Ketibaan dan pengesahan kehadiran di meja pendaftaran
Sarapan (layan diri) untuk peserta berdaftar
Meja jualan buku (diuruskan para penulis sendiri)
Meja pendaftaran ditutup secara muktamad pada 9:40 pagi

9:40 pagi [Waktu Kavyan]
Ucapan alu-aluan oleh pengacara majlis
Ucapan perasmian oleh Pengarah Pusat Kebudayaan India (ICC)
Ucapan sambutan oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said
Persembahan tarian/muzik oleh ICC (10 minit)

10:15 pagi
Acara Baca Karya Penulis Malaysia bermula
Urutan membaca adalah mengikut undian
Permintaan untuk menukar giliran tidak dilayan!
Setiap peserta hanya diperuntukkan 5-10 minit
Cabutan bertuah akan dikendalikan semasa acara

12:30 tengah hari
Makan tengah hari (untuk peserta berdaftar sahaja)

Pengacara: Nizha Periaswamy dan Salma Dhineswary

Penutup
Kerjasama daripada persatuan penulis, penggiat sastera, pencinta bahasa, wartawan, media, individu, penulis, peminat buku, penerbit, pengedar buku, kedai buku, masyarakat, pengamal media sosial, institusi pendidikan dan sebagainya pasti membantu menjayakan acara ini. Sekiranya mendapat sambutan hangat daripada pihak terbabit, Baca Karya Penulis Malaysia boleh dijadikan acara dwitahunan atau tahunan.

[Disediakan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan bagi pihak Kumpulan Penulis Kaum India Malaysia pada 1 November 2015]