Sunday, 25 October 2009

Baca Puisi Dr Lim Swee Tin

Sempena program “Bulan Bahasa Kebangsaan” (BBK) Peringkat Negeri Selangor, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” pada Sabtu, 31 Oktober 2009, bermula pukul 8:30 pagi di Perpustakaan Raja Tun Uda, Persiaran Bandar Raya, Shah Alam.

Penyertaan dibuka kepada khalayak pelbagai kaum yang berminat tampil membaca puisi-puisi karya Prof Madya Dr Lim Swee Tin.

Peserta boleh sama ada memilih mana-mana puisi Dr Lim Swee Tin yang diminati atau mendapatkan teks puisi yang disediakan oleh pihak Kavyan.

Memandangkan penyertaan adalah terhad kepada 15 orang sahaja, sesiapa yang berminat menjadi peserta (pembaca puisi) wajib mendaftar lebih awal dengan mengirim e-mel ke infokavyan@yahoo.com.my atau SMS maklumat diri ke nombor 012-3368142 (Uthaya Sankar SB).

Orang ramai juga diundang hadir mendengar pembacaan puisi pada acara berkenaan. Hadirin yang datang awal (8:30 pagi) akan diberi cenderamata kenang-kenangan.

Para peserta pula akan menerima cenderamata, sijil dan hadiah-hadiah lain yang disediakan oleh penganjur. Cenderamata khas berupa buku-buku puisi Dr Lim Swee Tin juga akan diberikan kepada peserta yang tampil membaca puisi.

Prof Madya Dr Lim Swee Tin lahir di Kelantan pada tahun 1952. Pada 1988-1992, Lim melanjutkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama. Beliau meneruskan perkhidmatannya di Negeri Sembilan dan Selangor selama 10 tahun lagi sebagai guru. Dalam tahun 1996-1999 melanjutkan pengajian bagi memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (M.A) – Kesusasteraan Melayu, dan 2000-2005 di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) - Kesusasteraan Melayu. Sejak 1 Disember 2000, Dr Lim berkhidmat pula di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

Selain melibatkan diri dengan bersungguh-sungguh dalam lapangan kesusasteraan, Dr Lim juga merupakan pembimbing dan penceramah Bahasa Malaysia sejak tahun 1980. Beliau mengendalikan kursus seperti penulisan, KOMSAS dan memberi motivasi kepada pelajar, pelatih guru dan guru-guru di sekolah, di Malaysia dan di Singapura. Beliau turut menulis lebih daripada 10 buku panduan Bahasa Malaysia untuk pelajar PMR dan STPM. Pada tahun 2000, beliau dianugerahi S.E.A. Write Award oleh Kerajaan Diraja Thailand di samping 25 hadiah kesusasteraan di Malaysia. Beliau menghasilkan lebih 50 buah buku kreatif dan nonkreatif sepanjang penglibatannya, dan karya-karya beliau terkumpul dalam 100 buah antologi bersama.

Usaha sedang dilakukan untuk mencalonkan Dr Lim Swee Tin sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang akan memungkinkan beliau diiktiraf sebagai Sasterawan Negara ke-11.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan pada 22 Ogos 1999 oleh sekumpulan penulis dan peminat karya sastera Bahasa Malaysia daripada kalangan kaum India. Kavyan berpegang teguh pada konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” dalam mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya. Kesemua aktiviti Kavyan terbuka kepada umum tanpa batas kaum dan agama. Acara “Baca Cerpen Kavyan” selama 96 jam 32 minit pada tahun 2003 berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records. Kavyan juga merupakan penerima Anugerah Budayawan Selangor 2005. Kavyan sering mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak yang sama-sama mencintai bahasa dan sastera kebangsaan.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com

No comments: