Tuesday, 27 October 2009

Baca Cerpen Dr Othman Puteh di RTM

Berikut skrip bagi liputan acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” untuk siaran slot ‘Peristiwa’ di TV1 pada 27 Oktober 2009, sekitar pukul 8:45 malam:

Dr Othman Puteh, seorang sasterawan yang amat sinonim dengan dunia sastera tanah air, khususnya sastera remaja. Tidak hairanlah beliau digelar “Raja Novel Remaja”.

Penulis kelahiran Kampuang Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka ini meninggal dunia pada 19 Oktober 2003.

Namun, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Allahyarham Dr Othman Puteh pula meninggalkan begitu banyak karya sastera kanak-kanak, remaja dan dewasa untuk dibaca dan dihayati zaman-berzaman.

Acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” dianjurkan pada 24 Oktober 2009 di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam bagi memberi peluang kepada khalayak pelbagai kaum dan generasi menghayati cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh Allahyarham.

Program berkenaan adalah anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sempena “Bulan Bahasa Kebangsaan”.

Peserta terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18, pelajar Sekolah Menengah Agama Tinggi Tengku Ampuan Jemaah Seksyen 11, wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan, wakil Perpustakaan Raja Tun Uda, serta peminat sastera.

Petikan cerpen-cerpen daripada buku “Ario”, “Matra, Tasik dan Laut” serta “Kalut” dibacakan bagi mengimbau kehebatan Allahyarham Dr Othman Puteh sebagai seorang pengarang yang terus aktif hingga ke akhir hayat.

No comments: