31 Oct 2009

Baca Puisi Dr Lim Swee Tin di Radio24

Orang ramai perlu prihatin dan bersikap proaktif dalam usaha memelihara kemurnian Bahasa Malaysia daripada dicemari oleh mana-mana pihak yang kurang bertanggungjawab.

Sekiranya ada pihak yang melakukan kesalahan bahasa – secara lisan atau bertulis – maka masyarakat perlu tampil memberi teguran dan membetulkan kesilapan itu.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Lim Swee Tin berkata, tanggungjawab itu perlu dipikul bersama tanpa mengira kaum dan usia.

Beliau yang merupakan penyair terkenal tanah air berkata demikian pada akhir acara “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.

Program sastera anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor itu menyaksikan pembacaan puisi-puisi karya Dr Lim Swee Tin oleh sekumpulan pelajar, penulis dan peminat sastera pelbagai kaum.

Turut dilancarkan “Kempen Pencalonan Dr Lim Swee Tin Bagi Anugerah Sastera Negara” oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Pada tahun 2000, penyair kelahiran Kelantan itu dianugerahi “S.E.A. Write Award” oleh Kerajaan Thailand; di samping 25 hadiah kesusasteraan di Malaysia.

Dr Lim Swee Tin menghasilkan lebih 50 buah buku kreatif dan non-kreatif sepanjang penglibatannya, dan karya-karya Bahasa Malaysia beliau terkumpul dalam lebih 100 buah antologi bersama.

Beliau menegaskan bahawa Bahasa Malaysia adalah milik setiap warganegara dan bahasa kebangsaan ini menjadi wahana utama dalam memupuk perpaduan ke arah merealisasikan konsep “Satu Malaysia”.

No comments: