2 Nov 2009

Kursus Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar di Beaufort, Sabah

Perpustakaan Negeri Sabah menganjurkan Kursus Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar (KMSP) pada 4 November 2009 di Hotel Jasaria, Beaufort, Sabah bagi memberi peluang kepada orang ramai yang berminat menjadi Mentor KMSP yang dikendalikan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Wong Vui Yin dalam kenyataannya di Kota Kinabalu berkata, para peserta akan dibimbing oleh Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Uthaya Sankar SB yang merupakan sasterawan prolifik, aktivis bahasa dan Fasilitator KMSP.

Kelab berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 2 Julai 2008.

Objektif KMSP adalah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja; ke arah melahirkan Bangsa Malaysia yang gemar membaca.

Menurut Wong Vui Yin, Majlis Perasmian KMSP Peringkat Daerah Beaufort akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah pada 5 November 2009 di Dewan Pa Musa, Beaufort.

Uthaya Sankar SB akan turut memberi ceramah motivasi, panduan penulisan dan galakan membaca kepada sekumpulan pelajar pada 5 November 2009.

Orang ramai, khususnya penduduk sekitar Beaufort, boleh menghubungi Urus Setia Jawatankuasa Kerja Pemandu KMSP Sabah, Puan Esther V. Mobilik di talian 088-231623 (sambungan 218) atau e-mel Esther.VincentMobilik@sabah.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai program yang diatur.

No comments: