Wednesday, 19 April 2017

Baca Karya Penulis Malaysia II


Acara
Baca Karya Penulis Malaysia II

Anjuran
Pusat Kebudayaan India (NSCBICC)
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)

Tarikh
11 Jun 2017 (Ahad)

Masa
9:00 – 11:00 pagi

Tempat
Dewan Netaji Subhash Chandra Bose, Pusat Kebudayaan India (NSCBICC), Tingkat 17, Sentral Vista, Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, Kuala Lumpur – Terletak tidak jauh dari KL Sentral, NU Sentral, Stesen Monorel Tun Sambanthan dan Kompleks MAB Brickfields. (Rujuk peta)

WazeMenara Sentral Vista

Pengenalan
Pertemuan Penulis Kaum India Malaysia berlangsung pada 1 November 2015 bagi mempertemukan para penulis kaum India yang menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris. Susulan daripada itu, Baca Karya Penulis Malaysia diadakan pada 20 Disember 2015 bagi memberi peluang kepada penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya pelbagai bahasa bergabung dengan peserta pelbagai kaum untuk membacakan petikan karya Bahasa Malaysia, Tamil, Inggeris dan Mandarin. Acara Baca Karya Penulis Malaysia II dijangka mendapat sambutan lebih hebat daripada para penulis dan khalayak pelbagai kaum yang menulis atau meminati karya pelbagai bahasa.


Definisi
Istilah “penulis Malaysia” yang digunakan dalam konteks acara ini merujuk khusus kepada warganegara Malaysia; tidak termasuk pemastautin tetap (PR). Aspek agama, kaum, keturunan, etnik, kepercayaan, ideologi politik, bahasa ibunda dan sebagainya tidak diambil kira.

Karya
Karya yang dimaksudkan untuk tujuan acara ini termasuk fiksyen (puisi, cerpen, novel, cerita rakyat dan seumpamanya) dan bukan fiksyen (memoir, makalah, rencana, kritikan dan seumpamanya) yang ditulis secara asli dalam Bahasa Malaysia, Tamil, Inggeris, Mandarin atau bahasa-bahasa lain. Karya terjemahan tidak dibenarkan; melainkan dibaca dalam versi bahasa asal. Karya mestilah sudah pernah diterbitkan atau tersiar di media.


Peserta
Penyertaan terbuka kepada sesiapa sahaja – sama ada penulis atau pembaca – yang berminat membaca petikan karya penulis Malaysia di pentas. Setiap peserta wajib mendaftar lebih awal untuk layak mengambil bahagian. Sebelum membaca petikan karya di pentas, setiap peserta diberi peluang memperkenalkan diri secara ringkas. Peserta DILARANG berucap panjang-lebar melebihi satu minit!

Tempoh Persembahan
Setiap peserta diberikan masa lima (5) minit sahaja untuk membaca petikan karya di pentas. Tempoh 5 minit ini termasuk masa yang digunakan untuk memperkenalkan diri. Sebaik tamat tempoh 6 minit, peserta akan diminta berhenti dan turun dari pentas.

Gaya Persembahan
Para peserta diminta supaya membaca karya dengan gaya, suara, intonasi dan pembacaan yang mampu menarik perhatian para hadirin. Peserta tidak perlu menghafaz teks, sebaliknya boleh memegang teks di pentas. Sila KLIK DI SINI untuk sedikit panduan mengenai sebutan, kelancaran, pemahaman, intonasi, nada, gaya, suara dan keyakinan diri apabila membaca teks di pentas. Peserta diminta memilih teks/karya yang sesuai untuk dipersembahkan di pentas.


Pakaian Peserta
Para peserta digalakkan memakai pakaian tradisional, atau pakaian rasmi organisasi/persatuan/sekolah diwakili. Pakaian yang mempromosikan jenama barangan atau syarikat/perniagaan adalah dilarang sama sekali.

Tarikh Tutup
Pendaftaran peserta ditutup pada 31 Mei 2017, pukul 6:00 petang. Pendaftaran lewat tidak dilayan.

Borang Penyertaan
Setiap individu yang mahu menjadi peserta wajib mengisi maklumat pada Borang Penyertaan. Bagi setiap borang penyertaan yang selamat diterima, penganjur akan mengirimkan pengesahan dalam masa 48 jam.

Rangka Atur Cara
Berikut rangka atur cara sebagai panduan kepada para penulis, peserta dan penonton:

9:00 pagi
Pendaftaran peserta dan penonton
Sarapan ringan disediakan
(Individu yang berpuasa boleh masuk terus ke dewan acara)

9:15 pagi
Acara Baca Karya Penulis Malaysia II bermula
Urutan membaca mengikut urutan pendaftaran
(Permintaan untuk membaca lebih awal tidak dilayan)

10:45 pagi
Sesi fotografi berkumpulan
Bersurai

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan
Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my atau 016-3288142 selewat-lewatnya pada 31 Mei 2017.