Jaminan yang diberikan oleh Ketua Menteri
Melaka kepada penduduk Kampung Chetti nampaknya hanya “janji Melayu” atau
“janji dicapati”.
Menurut laporan akhbar The Star (1 Januari 2014), Datuk Seri Idris Haron sudah mengarahkan
siasatan dibuat bagi mengenal pasti siapa yang meluluskan projek pembinaan di
atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan perkampungan warisan itu.
Idris yang menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka dilaporkan
mahu menyelesaikan isu itu dengan segera dan sudah mengarahkan projek
dihentikan sehingga menanti siasatan selesai. [BACA DI SINI]
Laporan Malaysia
Gazette (2 Januari 2014) pula mengesahkan Idris “mengarahkan siasatan dilakukan bagi
mengetahui dalang yang bertanggungjawab meluluskan permohonan pembinaan projek
kondominium dan hotel di tengah Kampung Chetti”.
Idris
juga “mengeluarkan arahan siasatan segera bagi mencari punca kepada masalah
tersebut. … Idris mahu siasatan lebih mendalam dilakukan pada kadar segera bagi
mengenalpasti pihak bertanggungjawab yang memberi kelulusan serta membenarkan
projek itu dibina”. [BACA DI SINI]
Dalam
kenyataannya kepada Bernama (8
Januari 2014) pula, Pengerusi MIC Melaka, MS Mahadevan memberikan jaminan
bahawa parti komponen BN itu akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara
sebagai warisan sejarah negara. [BACA DI SINI]
Janji-janji manis politikus itu juga dilaporkan di akhbar The Star
(10 Januari 2014) dan memberikan gambaran seolah-olah MIC sudah pun tampil
membela nasib kaum Chetti. [BACA DI SINI]
Bagaimanapun, tinjauan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke
Kampung Chetti pada 14 Januari 2014 sempena sambutan “ponggol” (pesta menuai) mendapati hal
yang sebaliknya sedang berlaku.
Kerja-kerja pembinaan berjalan seperti biasa dan ternyata tidak ada tanda-tanda
ada arahan daripada ketua menteri supaya projek dihentikan sementara siasatan
dibuat. Kavyan membuat rakaman video dan foto sebagai bukti. [TONTON VIDEO DI SINI]
Rata-rata
penduduk kaum Chetti yang ditemui mengesahkan bahawa tidak ada sebarang kerja
dihentikan di “Lot 93” seperti dilaporkan akhbar arus perdana sejak awal tahun.
Sebaliknya, kerja-kerja pembinaan berjalan dari awal pagi hingga lewat malam,
termasuk pada hari cuti umum. [TONTON VIDEO DI SINI]
Isu projek di “Lot 93” mendapat perhatian
ramai selepas didedahkan secara berterusan oleh Kavyan menerusi portal berita
dalam talian dan laman rangkaian sosial Facebook
berikutan Kunjungan Perpaduan Kavyan (15 Disember
2013) dan Solidariti Kampung Chetti (29 Disember
2013).
Semasa sambutan “ponggol” pada sebelah pagi
14 Januari 2014 di Kuil Sivan – VIDEO DI SINI – tidak ada wakil MIC, Hindraf, mana-mana parti politik atau
wakil kerajaan negeri yang hadir walaupun kenyataan-kenyataan yang disiarkan di
media arus perdana memberikan gambaran seolah-olah mereka amat prihatin dan
berjuang demi nasib kaum Chetti.
Perkembangan yang dapat diperhatikan secara
nyata sejak dua minggu lalu membuatkan penduduk Kampung Chetti sedar bahawa
mereka sekali lagi menjadi mangsa penipuan, manipulasi politik dan diperalatkan
golongan politikus, kuasawan dan kapitalis demi kepentingan peribadi.
Kavyan menyeru wakil media dan Bangsa Malaysia yang priharin supaya
terus memberikan tekanan dan desakan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat
supaya menghentikan segera projek pembinaan di “Lot 93” yang secara
terang-terangan melanggar pelbagai peraturan, undang-undang dan enekmen sedia
ada.
Kavyan akan terus memuatkan berita dan
perkembangan terbaru di www.kampungchetti.blogspot.com untuk memudahkan
orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat tepat, benar dan terkini mengenai
keadaan di kampung warisan berkenaan.
[* Kenyataan media ini dikeluarkan
oleh Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB di Shah Alam,
Selangor pada 14 Januari 2014. Berita disiarkan di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider pada 15 Januari
2014 serta di akhbar Tamil Malar dan Malaysiakini pada 16 Januari 2014.]