Sejak diasaskan pada tahun 1999, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
terlibat dalam mengendalikan pelbagai acara berkaitan bahasa, sastera, seni dan
budaya di seluruh negara dengan melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum.
Salah satu aktiviti sedemikian adalah “Kunjungan
Perpaduan Kavyan” yang diadakan khusus untuk membuka ruang dan peluang bagi
golongan penulis dan peminat sastera berkunjung secara berkumpulan ke kampung,
estet dan kawasan pedalaman untuk berkenalan dan bergaul mesra dengan penduduk
tempatan.
Berbeza dengan “Konvoi Rumah Ibadat” yang membawa
peserta ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama, “Kunjungan Perpaduan Kavyan” pula
membawa peserta “masuk kampung” untuk menimba pengalaman unik yang pasti sahaja
amat berharga.
Kunjungan yang sedang diaturkan adalah
seperti berikut:
Tarikh: 14-15 Disember 2013
Tempat: Perkampungan Portugis dan Kampung Chetti, Melaka
Peserta: Terbuka kepada umum; dengan syarat mengisi borang penyertaan
Sasaran: Penulis, peminat sastera, pencinta perpaduan, belia,
mahasiswa, wakil media, pelajar, guru, masyarakat awam.
Pengisian: Bertemu penduduk setempat, aktiviti persembahan
(nyanyian, tarian, baca cerpen, sajak), permainan
tradisional, suai kenal, promosi Kavyan dan perkongsian pengalaman/sejarah.
Bayaran: Para peserta menanggung sendiri segala perbelanjaan
(seperti makan-minum, penginapan, kos perjalanan dan tiket).
Wakil Kavyan akan bergerak secara
berkumpulan (berkonvoi) dari Taman Sri Muda, Shah Alam pada pagi 14 Disember
2013. Peserta yang sudah mendaftar boleh juga pergi sendiri ke lokasi mengikut
jadual. Atur cara akan diberikan kepada para peserta berdaftar sahaja.
Setiap peserta diwajibkan terlibat dalam
menjayakan persembahan. Para peserta berdaftar sahaja akan menerima
cenderamata bahan bacaan (jumlah dan nilai buku bergantung kepada sumbangan
buku yang diterima daripada penyumbang).
Kavyan menegakkan pendirian “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” dan
bahasa kebangsaan akan menjadi asas kepada “Kunjungan Perpaduan Kavyan”.
Aktiviti ini juga antara lain selaras
dengan kempen “tolak perkauman, pupuk perpaduan, raikan kepelbagaian”
yang dianggap penting di tengah-tengah segala isu perkauman yang sering diungkitkan pihak
tertentu.
Harap maklum bahawa segala aktiviti Kavyan
tidak ada unsur politik, mahupun campur tangan politikus. Kavyan berhak menolak
mana-mana permohonan tanpa perlu memberikan
alasan.
Jika
ada sebarang pertanyaan, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my dengan kadar
segera. Setiap e-mel yang selamat diterima sebelum 12 Disember 2013 pasti akan
dijawab. Susulan: Jangan Hapuskan Kampung Chetti.