4 Jan 2014

Protes Depan Gereja: Jangan Buli Minoriti

Sejak tahun 2010, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan “Konvoi Rumah Ibadat” dalam usaha memupuk perpaduan, persefahaman dan rasa saling menghormati antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
 
Maka berita mengenai cadangan puak tertentu (tidak perlulah membazir ruang menyenaraikan nama-nama pertubuhan itu di sini) mahu mengadakan protes di hadapan atau berdekatan beberapa buah gereja di negeri Selangor amat mengecewakan, memeranjatkan dan menakutkan – [BACA DI SINI]
 
Kavyan mahu menarik perhatian penganjur protes haram itu kepada Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Awam 2012 yang secara terang-terangan melarang perhimpunan di rumah-rumah ibadat.
 
Amalan mengadakan protes dan perhimpunan haram selepas solat Jumaat mungkin sudah menjadi budaya puak pelampau tertentu; tetapi apabila ada pihak mahu mengadakan protes di hadapan atau berdekatan rumah ibadat Bukan Islam, maka perbuatan itu sudah melampaui batas tolerasi.
 
Kavyan bimbang bahawa protes yang kononnya aman ini akan bertukar ganas dan membahayakan keselamatan umat Kristian yang pergi bersembahyang di gereja pada pagi Ahad. [Pensyarah Buat Laporan Polis]
 
Sekali gus, protes haram ini sudah pun menanam rasa takut, gentar, bimbang dan tidak selesa dalam kalangan orang ramai, khususnya orang Kristian yang merupakan minoriti di negara bertuah ini.
 
Penganjur protes haram mungkin memberikan alasan bahawa perhimpunan diadakan bukan di dalam kawasan gereja atau di hadapan gereja; sebaliknya berhampiran gereja. Dalam hal ini, mereka masih mengancam keselamatan pengunjung gereja dan orang awam (bukan Kristian) yang berada di sekitar kawasan berkenaan.
 
Dalam pada itu, Kavyan amat terkejut dengan sikap yang ditunjukkan oleh “bakal” Presiden Umno, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Kenyataannya kepada pemberita pada 2 Januari 2014 seolah-olah memberikan restu serta mengalu-alukan protes yang diterajui oleh Umno Selangor – [BACA DI SINI]
 
Sementara itu, agak menghairankan mengapa “bakal bekas” Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini sibuk melaung-laungkan slogan muluk “1Malaysia” dan “Kami Mendengar” seolah-olah masih menunggu “wahyu” turun sebelum bersuara.
 
Liputan mengenai Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan disiarkan menerusi BBC News pada 22 Oktober 2013; serta masih tersimpan sebagai dokumentasi di ruang siber – BACA DI SINI. Ia antara lain memuji usaha memupuk persefahaman yang dilakukan secara kecil-kecilan dan berterusan.
 
Malangnya, siri insiden yang berlaku di Malaysia sejak belakangan ini membuktikan bahawa segala aura positif yang disebarkan Kavyan menerusi kempen “tolak perkauman, pupuk perpaduan, raikan kepelbagaian” dimusnahkan puak pelampau tertentu yang bermotif jahat.
 
Kavyan meminta Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama mengecam sebarang bentuk protes haram anjuran mana-mana pihak di hadapan, di dalam atau di sekitar mana-mana rumah ibadat; khususnya apabila rumah ibadat itu bukan bagi agama peserta perhimpunan haram terbabit.
 
Najib juga perlu segera membuka mulut dan melakukan sesuatu sebagai bukti bahawa dia masih Perdana Menteri yang berkuasa dan berniat murni menegakkan slogan “1Malaysia” serta benar-benar “mendengar” suara rakyat; khususnya minoriti.
 
[Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB di Shah Alam pada 4 Januari 2014 dan berita disiarkan di Free Malaysia Today pada 4 Januari 2014. Maklumat tambahan: Protes Dibatalkan tapi Umno Selangor Beri Amaran.]