30 Dec 2013

Selamatkan Legenda yang Hidup!

[Kenyataan media ini dikeluarkan di Shah Alam, Selangor oleh Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB pada 30 Disember 2013 serta sudah diedarkan kepada wakil beberapa media berwibawa. Wakil media boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk mendapatkan foto berkaitan jika berminat.]
 
Selamatkan Legenda yang Hidup!
 
Pada 16 Disember 2013, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengeluarkan kenyataan media bertajuk “Jangan Hapuskan Kampung Chetti” dan mendesak campur tangan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) bagi memastikan perkampungan warisan ini tidak menjadi mangsa akibat pembinaan dua blok kondominium 22 tingkat, sebuah hotel 12 tingkat dan sebuah tempat letak kereta 6 tingkat di “Lot 93” yang terletak di tengah-tengah Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka.
 
Pada 29 Disember 2013, Kavyan menjayakan “Solidariti Kampung Chetti” di Kampung Chetti dengan mengendalikan bengkel penulisan makalah, bengkel komunikasi media, bengkel fotografi dan bengkel dokumentari. Kesemuanya bertujuan memberikan “kuasa” (power) dan “ilmu” (knowledge) kepada para penduduk minoriti kaum Chetti sendiri untuk memperjuangkan hak mereka menerusi saluran yang betul dan dengan cara yang betul.
 
Berikut pula gesaan Kavyan menerusi kenyataan media bertarikh 30 Disember 2013 sebagai tambahan kepada pendirian sebelum ini:
 
Hasil taklimat, perbualan, wawancara, tinjauan dan penelitian pada 29 Disember 2013, Kavyan membuat kesimpulan bahawa para penduduk Kampung Chetti tidak menentang pembangunan. Sebaliknya kaum minoriti itu tidak merelakan pembangunan di “Lot 93” atau mana-mana kawasan berhampiran menjejaskan perkampungan warisan itu. Kavyan menyokong penuh pendirian penduduk Kampung Chetti dalam hal ini.
 
Ada pandangan yang mengatakan bahawa projek Jalan Pelanduk Putih tidak akan dijalankan. Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang jaminan bertulis daripada mana-mana pihak. Maka, Kavyan sebagai pencinta bahasa, sastera, seni dan budaya menyeru Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan pemaju memberikan jaminan bertulis bahawa Jalan Pelanduk Putih atau mana-mana jalan lain tidak akan dibina sehingga menjelaskan Kampung Chetti.
 
Kerajaan Barisan Nasional (BN) selaku Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka perlu memberikan jaminan rasmi dan secara bertulis bahawa Kampung Chetti yang diwartakan sebagai perkampungan warisan (warisan dunia) akan dilindungi buat selama-lamanya sebagai warisan budaya negara.
 
Kavyan mahu menegaskan bahawa penduduk Kampung Chetti dan warga prihatin berhak untuk menuntut supaya tidak ada sebarang projek pembangunan dibuat pada jarak sekitar 100 meter dari kawasan yang digazetkan sebagai tapak warisan. Segala peraturan dan syarat ditetapkan Unesco perlulah dipatuhi.
 
Kavya juga mengingatkan semua pihak terbabit bahawa mengikut syarat dan peraturan Unesco, sebarang bangunan baru yang dibina berhampiran tapak warisan (perkampungan warisan) tidak boleh melebihi 4 tingkat. Maka, pembangunan di “Lot 93” ternyata melanggar syarat ditetapkan badan antarabangsa.
 
Kavyan mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak bahawa sekiranya berlaku sebarang kemusnahan terhadap Kampung Chetti berikutan pembangunan di “Lot 93” atau kawasan sekitarnya, maka kesan negatif bukan hanya diterima oleh penduduk kampung itu.
 
Sebaliknya, Malaysia akan kehilangan status warisan dunia yang diberikan oleh Unesco. Hal ini pasti memberikan imej negatif dan buruk kepada negara dan kerajaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014.
 
Kavyan suka mengingatkan bahawa status warisan dunia yang diberikan oleh Unesco adalah bagi negara Malaysia; bukan secara berasingan bagi negeri-negeri tertentu (seperti Melaka dan Pulau Pinang) atau kawasan-kawasan tertentu (seperti Georgetown dan Kampung Chetti).
 
Menyedari hakikat ini, Kavyan berharap isu Kampung Chetti tidak hanya diserahkan bulat-bulat kepada Kerajaan Negeri Melaka. Sebaliknya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu tampil menyatakan pendirian dalam isu ini.
 
Hasil kunjungan wakil Kavyan ke Georgetown pada 23-25 Oktober 2013, terbukti Kerajaan Negeri Pulau Pinang memelihara sepenuhnya kawasan yang diiktiraf sebagai warisan dunia.
 
[Sila rujuk makalah “Meraikan Kepelbagaian di Pitt Street” dan “Dari Kubur Yahudi ke Gurdwara” untuk membaca catatan berkaitan.]
 
Walau bagaimanapun, sekiranya Kampung Chetti di Melaka musnah dan hilang status perkampungan warisan, Unesco berhak menarik balik status warisan dunia yang diberikan kepada Georgetown.
 
Kavyan berharap serta menyeru seluruh Bangsa Malaysia supaya bangkit mempertahankan Kampung Chetti yang kini benar-benar berdepan dengan masalah yang amat nyata. Jangan biarkan sejarah hitam Lembah Bujang berulang.
 
Kavyan menggelarkan Kampung Chetti serta minoriti kaum Chetti di perkampungan warisan itu sebagai “legenda yang hidup” dan perlu dilindungi bersama daripada sebarang kemusnahan.
 
Maklumat tambahan berupa makalah, foto dan video “Solidariti Kampung Chetti” boleh didapati di www.kampungchetti.blogspot.com yang diusahakan oleh Kavyan. [SILA KLIK DI SINI]
 
[Kenyataan media ini dikeluarkan di Shah Alam, Selangor oleh Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB pada 30 Disember 2013 serta sudah diedarkan kepada wakil beberapa media berwibawa. Berita disiarkan di Free Malaysia Today pada 31 Disember 2013, Tamil Nesan pada 1 Januari 2014 dan Tamil Malar pada 3 Januari 2014.]