5 Jul 2013

Jerayawara Kavyan

Acara akan datang: 24 Ogos 2013 (Sabtu) di Shah Alam; dan 14-15 September 2013 (Sabtu-Ahad) di Melaka. - MAKLUMAT LANJUT DI SINI

Seperti dinyatakan dalam makalah bertajuk “Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian” (The Malay Mail Online, 5 Julai 2013), Lawatan Penulisan Kavyan” (29-30 Jun 2013) menyaksikan sesi persembahan cerpen di Restoran Nachi’s Indian Cuisine, Ipoh; Taman Tasik Taiping dan Zammaz Nur Villa, Permatang Pauh dalam skala kecil tetapi penuh bermakna.
 
Acara yang dinamakan “Jerayawara Kavyan” (Kavyan’s Roadshow) pula sedang dirancang untuk diadakan di Shah Alam, Kuala Selangor, Melaka, Seremban dan beberapa tempat lain bagi memasyarakatkan sastera serta membudayakan baca cerpen di tempat awam.
 
Aktiviti “baca cerpen” yang dimaksudkan bukanlah sekadar memegang buku/kertas dan membaca. Sebaliknya, mempersembahkan cerita dengan penuh gaya mengikut beberapa panduan yang disediakan oleh Kavyan. Panduan dan kriteria berkenaan boleh dirujuk di blog Kavyan. [BACA MAKALAH PENUH DI SINI]
 
Dalam makalah bertajuk “Perpaduan Menerusi Baca Cerpen” (Projek Dialog, 4 Julai 2013) dinyatakan bahawa selepas kejayaan “Lawatan Penulisan Kavyan”, aktiviti bulanan yang dirancang adalah “Jerayawara Kavyan” (Kavyan’s Roadshow) di mana wakil kumpulan ini akan membuat persembahan cerpen dan puisi di tempat-tempat awam.
 
Dua lokasi yang menjadi pilihan awal bagi jerayawara adalah Dataran Shah Alam di Persiaran Sultan, Shah Alam (24 Ogos 2013) dan Porta de Santiago iaitu tinggalan Kota A Famosa di Melaka (14 September 2013). [MAKLUMAT DI SINI] Tempat-tempat lain akan dipilih mengikut cadangan dan permintaan. [KEMUKAKAN CADANGAN DI SINI]
 
Seperti biasa, Kavyan memastikan bahawa keseluruhan acara dikendalikan dalam Bahasa Malaysia dan karya-karya yang dipersembahkan semasa jerayawara adalah Sastera Kavyan, iaitu cerpen/puisi Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India.
 
Perlu dinyatakan bahawa idea bagi “Jerayawara Kavyan” dicetuskan oleh Shahrulnizam Abd Hamid yang menyelaraskan sesi persembahan cerpen semasa “Lawatan Penulisan Kavyan”. Usaha yang dilakukan oleh sekumpulan anak muda menerusi “Buku Jalanan” di seluruh negara juga menjadi perangsang.
 
Seterusnya, pada 1 September 2013 akan berlangsung acara “Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian” di Galeri Shah Alam sebagai mengimbas kenangan kejayaan acara yang diadakan sepuluh tahun dahulu. [BACA MAKALAH PENUH DI SINI]
 
Dapatkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa di blog ini – atau terus ke laman Jerayawara Kavyan di Facebook. [MAKLUMAT JERAYAWARA KAVYAN DI MELAKA] Sumbangan bahan bacaan untuk diedarkan kepada penonton dan hadirin amat diharapkan dan dihargai.