5 Aug 2013

Jerayawara Kavyan di Melaka

 Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang terdiri daripada sekumpulan pencinta Bahasa Malaysia dan karya Sasterawan Kavyan akan mengadakan program Jerayawara Kavyan (Kavyan’s Roadshow) di tiga lokasi terpilih di Melaka Bandaraya Bersejarah pada [akan dimaklumkan].
 
Orang ramai yang berminat menyertai acara ini diminta mendaftar menggunakan borang yang dinyatakan di bawah. Sila baca kesemua maklumat dengan teliti sebelum mendaftar.
 
Acara persembahan puisi, cerpen dan muzik berbentuk persembahan jalanan (busking) di Melaka Bandaraya Bersejarah menerusi acara Jerayawara Kavyan menjelang Hari Malaysia dijadualkan seperti berikut:
 
Tarikh             : [akan dimaklumkan]
Masa             : 3.00 – 4:00 petang
Tempat         : Di hadapan Porta de Santiago (A Famosa)
 
Tarikh             : [akan dimaklumkan]
Masa             : 9.00 – 10.00 malam
Tempat         : Di belakang Kompleks Muzium Maritim Melaka
                          (berhadapan Melaka River Cruise)
 
Tarikh             : [akan dimaklumkan]
Masa             : 2.00 – 3.00 petang
Tempat         : Di hadapan The Stadhuys, Jalan Gereja
 
Acara Jerayawara Kavyan ini dianjurkan sebagai usaha memupuk minat membaca dan menghayati karya sastera (puisi, lagu, cerpen) dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
 
Acara akan dijalankan dalam bentuk persembahan jalanan (busking) dan tidak memerlukan pentas atau ruang persembahan khas. Cara ini lebih santai dan dijangka mampu menarik orang ramai yang lalu-lalang di tempat acara.
 
Kebenaran rasmi daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah diperoleh pada 23 Julai 2013 menerusi usaha Penyelaras Persembahan Jerayawara Kavyan di Melaka, Shahrulnizam Abd Hamid. Maka, ini suatu acara yang sah dan melibatkan permit/kelulusan pihak berkuasa (polis).
 
Ingin Menjadi Peserta Jerayawara Kavyan ke Melaka?
 
Masyarakat pelbagai kaum dipelawa menyertai Jerayawara Kavyan di Melaka. Penyertaan sebagai penonton terbuka kepada umum tetapi individu yang mahu mengambil bahagian (membuat persembahan) atau menyertai konvoi dari Shah Alam, Selangor WAJIB mendaftar selewat-lewatnya pada 8 September 2013 (Ahad).
 
Jumlah peserta yang bergerak dari Shah Alam ke Melaka secara konvoi adalah terhad. Peserta konvoi dikenakan bayaran RM50.00 seorang bagi menampung sebahagian kos petrol, tol dan penginapan.
 
Bayaran RM50.00 ini wajib dibayar SEBELUM mengisi borang penyertaan. Tarikh tutup muktamad adalah 8 September 2013 (Ahad).
 
Bagi peserta (dari Melaka atau luar Melaka) yang menguruskan sendiri perjalanan dan penginapan, tiada bayaran dikenakan. Bagaimanapun, mereka juga WAJIB mengisi borang penyertaan selewat-lewatnya pada 1 September 2013 (Ahad).
 
Sesiapa yang tidak mengisi borang dan/atau tidak membuat bayaran selewat-lewatnya pada 8 September 2013 TIDAK dibenarkan menyertai acara Jerayawara Kavyan di Melaka; sebagai peserta atau untuk membuat persembahan.
 
Setiap peserta yang menyertai konvoi dari Shah Alam wajib terlibat dalam persembahan (puisi, cerpen, muzik) di ketiga-tiga lokasi di Melaka.
 
Segala kos makan-minum dan perbelanjaan tambahan ditanggung sendiri oleh masing-masing peserta.
 
Bayaran yuran penyertaan RM50.00 tidak akan dikembalikan jika peserta memutuskan untuk menarik diri; atas apa-apa alasan sekali pun. Hal ini kerana kos petrol, tol dan penginapan masih sama.
 
Para peserta yang menyertai konvoi dari Shah Alam, Selangor diingatkan supaya tidak membawa beg yang terlalu besar. Hanya satu beg pakaian bagi setiap peserta. Harap maklum bahawa barangan Kavyan juga perlu dibawa di dalam kenderaan yang sama.
 
Lokasi pertemuan bagi peserta yang berkonvoi dari Shah Alam adalah di Restoran Sri Mayuri, Taman Sri Muda – RUJUK PETA. Konvoi akan bertolak pada pukul 8:00 pagi [Waktu Kavyan]. Peserta yang lewat perlu mengusahakan alternatif sendiri.
 
Karya untuk Persembahan Jalanan
 
Cerpen atau puisi yang dipersembahkan semasa Jerayawara Kavyan mestilah memenuhi kriteria yang dinyatakan di bawah.
 
1. Semua karya mestinya dalam Bahasa Malaysia. Karya-karya yang “membunuh” Bahasa Malaysia tidak dibenarkan.
 
2. Karya-karya yang berbaur politik dan/atau menyentuh sensitiviti kaum/agama dan/atau ada unsur lucah adalah dilarang sama sekali.
 
3. Peserta boleh mempersembahkan karya sendiri dengan syarat bahawa karya itu sudah pernah diterbitkan di akhbar, buku atau majalah; serta memenuhi kriteria.
 
4. Peserta boleh memilih karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh mana-mana Sasterawan Kavyan. Rujuk senarai nama DI SINI.
 
5. Peserta boleh memilih karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Penasihat Agung Kavyan, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said atau mantan Penasihat Kehormat Kavyan, Allahyarham Dr Othman Puteh.
 
6. Bagi cerpen, peserta perlu mempersembahkan petikan sahaja kerana masa bagi setiap peserta hanya sekitar 5 minit.
 
Penyelaras Jerayawara Kavyan di Melaka, Uthaya Sankar SB, dan Penyelaras Persembahan, Shahrulnizam Abd Hamid, bertugas meneliti setiap karya sebelum peserta dibenarkan membuat persembahan.
 
Sedikit panduan membuat persembahan cerpen boleh dirujuk DI SINI.
 
Borang Penyertaan Dalam Talian
 
Sesiapa yang berminat menyertai Jerayawara Kavyan di Melaka diwajibkan mengisi borang penyertaan [KLIK DI SINI] selewat-lewatnya pada 8 September 2013 (Ahad).
 
Bagi peserta yang menyertai konvoi dari Shah Alam, bayaran penyertaan sebanyak RM50.00 perlu dibereskan dahulu SEBELUM mengisi borang penyertaan. Borang yang diisi sebelum bayaran dibuat tidak akan dilayan sama sekali!
 
Setiap borang yang lengkap dan selamat diterima akan dibalas dalam masa sekitar 24 jam. Borang yang tidak memenuhi syarat pula tidak akan dilayan dan tidak akan dibalas.
 
Kavyan berhak sepenuhnya menolak permohonan mana-mana individu yang dipercayai tidak layak; dan tiada alasan akan diberikan.
 
Maklumat Lanjut
 
Sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my jika ada sebarang pertanyaan. Bagaimanapun, jika jawapan bagi pertanyaan itu sudah termuat dalam paparan di atas, maka e-mel berkenaan tidak akan dibalas; sebaliknya diabaikan terus. Pertanyaan menerusi SMS tidak dilayan sama sekali.