3 Jun 2013

Dialog Perpaduan Kavyan

Aktiviti
Dialog Perpaduan Kavyan
 
Tema
“Perpaduan Melalui Bahasa dan Sastera”
“Pupuk Perpaduan, Tolak Perkauman, Raikan Kepelbagaian”
 
Anjuran
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
 
Kerjasama
Galeri Shah Alam, Yayasan Seni Selangor
 
Tarikh
16 Jun 2013 (Ahad)
 
Masa
3:30 – 6:00 petang [Waktu Kavyan]
 
Tempat
Ruang Pentas, Galeri Shah Alam, Persiaran Tasik, Shah Alam [PETA]
 
Pengenalan
Perpaduan menjadi asas pembinaan Bangsa Malaysia yang saling memahami, menghormati, mengenali dan hidup dalam suasana muhibah. Ke arah itu, ruang interaksi yang sihat perlu diwujudkan agar masyarakat pelbagai kaum berpeluang untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dalam suasana santai. Sebagai pihak yang berpengalaman mengendalikan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara sejak Ogos 1999, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mencadangkan “Dialog Perpaduan Kavyan” sebagai usaha murni ke arah memupuk perpaduan yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama, kepercayaan dan latar belakang. [Baca jugaPerlunya Dialog Antara AgamaKavyan Tolak Perkauman, Pupuk PerpaduanTolak Perkauman, Pupuk Perpaduan]
 
Objektif
1. Membuka ruang komunikasi antara peserta pelbagai kaum
2. Memupuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar
3. Memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan
4. Meraikan kepelbagaian serta membina Bangsa Malaysia
5. Memupuk minat membaca karya sastera perpaduan
 
Kandungan Sesi Dialog
Kavyan berpegang pada konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” iaitu menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa komunikasi,  bahasa perpaduan dan identiti bagi Bangsa Malaysia. Kavyan juga menggunakan bahan penulisan dan sastera sebagai asas bagi aktiviti. Dengan itu, bagi tujuan “Dialog Perpaduan Kavyan”, karya-karya sastera (sajak, cerpen dan novel) serta makalah (rencana) Bahasa Malaysia akan dijadikan bahan rujukan dalam sesi dialog. Aktiviti membaca cerpen, deklamasi sajak, nyanyian lagu dan sebagainya yang bertema perpaduan mungkin diselitkan mengikut kesesuaian.
 
Pembimbing
Sesi dialog akan dikendalikan, diuruskan dan diselaraskan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kavyan yang mempunyai pengalaman mengendalikan akiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara sejak 1999. Sukarelawan pelbagai kaum (Ahli Berdaftar Kavyan) akan turut terlibat dalam mengendalikan program ini mengikut kesesuaian.
 
Bahasa
Selaras dengan perjuangan Kavyan memartabatkan Bahasa Malaysia, maka bahasa kebangsaan akan dijadikan bahasa komunikasi dalam aktiviti ini yang disertai peserta pelbagai kaum. Bahan-bahan bacaan juga adalah dalam Bahasa Malaysia. Individu yang tidak tahu bercakap Bahasa Malaysia diminta jangan menjadi peserta.
 
Peserta
Penyertaan dibuka kepada maksimum 20 peserta pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang berumur minimum 16 tahun. Khalayak pelajar, remaja, mahasiswa, belia, politikus, aktivis, pendakwah dan masyarakat umum dipelawa menjadi peserta. Kepelbagaian ini adalah penting sebagai usaha membuka ruang komunikasi dan interaksi, selaras dengan objektif program.
 
Cenderamata Peserta
Setiap peserta yang sudah mendaftar dan menyertai program ini sepenuhnya (dari 3:30 petang hingga 6:00 petang) akan menerima cenderamata berupa bahan bacaan (bernilai minimum RM20.00) dan cenderamata lain (jika ada). Peserta yang tiba selepas 3:30 petang dan/atau pulang sebelum 6:00 petang dan/atau menghilangkan diri pada pertengahan program (atas apa alasan sekali pun) tidak layak menerima cenderamata ini.
 
Tarikh Tutup Penyertaan
Pendaftaran peserta ditutup secara muktamad pada 14 Jun 2013 (Jumaat). Mana-mana individu yang gagal mendaftar sebelum tarikh tutup tidak dibenarkan menyertai sesi dialog. Sebarang alasan bagi mewajarkan kelewatan atau kegagalan mendaftar tidak akan dilayan.
 
Yuran Penyertaan
Percuma – bagi Ahli Berdaftar Kavyan yang sudah menjelaskan yuran tahunan (RM10.00) bagi tahun 2013.
RM10.00 – bagi Ahli Berdaftar Kavyan yang belum menjelaskan yuran tahunan (RM10.00) bagi tahun 2013.
RM10.00 – bagi individu Bukan Ahli Kavyan (atau belum menjadi Ahli Kavyan).
 
Cara Pembayaran
Yuran penyertaan (jika berkenaan) perlu dibayar menerusi deposit tunai ke akaun CIMB bernombor 1222-0000-876-10-9 (Sasterawan Kavyan) sebelum mengisi borang penyertaan. Yuran penyertaan tidak akan dikembalikan.
 
Borang Penyertaan
Penyertaan hanya dianggap sah apabila peserta sudah membuat bayaran (jika berkenaan) dan mengisi BORANG PENYERTAAN AKTIVITI KAVYAN selewat-lewatnya pada 14 Jun 2013 (Jumaat). Setiap borang yang diisi dengan lengkap dan betul serta selamat diterima akan dijawab sebelum 15 Jun 2013. Yuran akan dikembalikan jika permohonan ditolak oleh penganjur tetapi penganjur tidak perlu memberikan alasan mengapa permohonan ditolak.
 
Barangan Perlu Dibawa
Alat tulis, buku nota, pensel warna dan minuman. Barangan/peralatan lain mengikut keperluan masing-masing.
 
Rangka Atur Cara
3:00 petang – Meja pengesahan pendaftaran dibuka di Galeri Shah Alam. Para peserta yang sudah mendaftar secara dalam talian (online) dan pendaftarannya sudah diluluskan perlu mengesahkan kehadiran di kaunter pendaftaran.
3:30 petang – Meja pengesahan pendaftaran ditutup. Peserta yang datang “lewat bergaya” serta tidak patuh pada “Waktu Kavyan” dicadangkan supaya pergi berkelah di Taman Tasik Shah Alam (atau mana-mana tempat lain) tanpa mengganggu acara di Galeri Shah Alam.
3:35 petang – Sesi memperkenalkan diri (satu minit SAHAJA untuk setiap peserta) dan pembahagian kumpulan (dalam masa lima minit sahaja).
4:00 petang – Aktiviti berkumpulan.
4:30 petang – Rehat/Solat. Makanan ringan sahaja disediakan.
5:00 petang – Pembentangan berkumpulan (sepuluh minit sahaja bagi setiap kumpulan) dan sesi dialog.
6:00 petang – Sesi fotografi berkumpulan sebelum bersurai.
 
Syarat, Peraturan dan Disiplin Umum
1. Penyertaan hanya bagi individu yang sudah mendaftar dan pendaftarannya sudah diluluskan. Kavyan berhak menghalang sesiapa yang tidak mendaftar (atau pendaftarannya ditolak), tetapi tiba-tiba muncul di tempat acara pada tarikh berkenaan.
2. Individu yang hanya mahu hadir sebagai “pemerhati” atau “pemantau” juga wajib mendaftar dan membayar yuran.
3. Individu yang sudah mendaftar tetapi gagal hadir, tidak dibenarkan menyertai mana-mana aktiviti Kavyan selama setahun.
4. Acara akan berlangsung mengikut Waktu Kavyan. Peserta yang suka hadir “lewat bergaya” dinasihatkan supaya pergi berpesta di tempat lain.
5. Peserta perlu terlibat secara aktif dalam aktiviti dan dialog yang diadakan. Kalau mahu sekadar menonton atau mendengar, lebih baik duduk di rumah dan menonton televisyen atau mendengar radio.
6. Walau secanggih mana pun telefon bimbit atau peralatan elektronik yang dimiliki, peserta diingatkan supaya tidak membiarkan peralatan itu mengganggu perjalanan acara. Kalau mahu “berkasih” dengan telefon bimbit atau peralatan elektronik, sila pergi ke tempat lain yang lebih sesuai.
7. Peserta wajib berpakaian sopan.
8. Peserta wajib mematuhi peraturan Galeri Shah Alam serta menjaga kebersihan tempat acara berlangsung.
9. Peserta perlu mengetahui lokasi Galeri Shah Alam [RUJUK PETA] kerana sebarang panggilan telefon untuk meminta panduan jalan pada tarikh aktiviti tidak akan dilayan.
10. Peserta (ibu bapa) boleh membawa anak-anak berumur 10-15 tahun sebagai pengiring tetapi peserta (ibu bapa) wajib memastikan anak-anak terbabit tidak menjadi “pengacau” majlis. Tiada yuran penyertaan dan tiada cenderamata bagi pengiring ini.
11. Peserta tidak dibenarkan sama sekali membawa kanak-kanak berumur 9 tahun dan ke bawah ke program ini.
12. Peserta dilarang sama sekali menggunakan sesi dialog ini untuk menghina/memperlekeh mana-mana kaum/agama/budaya atau melakukan dakwah/penyebaran mana-mana agama kepada mana-mana peserta lain. Ini adalah dialog perpaduan, bukan sesi menghina/menukar agama orang!
13. Puak etnosentrik, ultra kiasu, fanatik, rasis dan pengamal politik perkauman dinasihatkan supaya menjauhi dialog ini demi kebaikan bersama.
 
Maklumat Lanjut
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my [jangan lupa .my] selewat-lewatnya pada 14 Jun 2013. Setiap e-mel yang dihantar ke alamat yang betul dan selamat diterima pasti akan dijawab. Sebarang pertanyaan menerusi SMS tidak akan dibalas.
 
Penutup
Acara “Dialog Perpaduan Kavyan” pasti dapat dikendalikan dengan kos minimum tetapi memberikan hasil yang maksimum jika mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terbabit. Semoga acara ini diberkati dan mampu pula memberikan sumbangan kecil ke arah memupuk perpaduan dan pembinaan Bangsa Malaysia yang diimpikan.
 
[Disediakan oleh Jawatankuasa Kavyan pada 30 Mei 2013 – Baca juga makalah bertajuk “Tolak Perkauman, Pupuk Perpaduan” mengenai program ini di Free Malaysia Today, 3 Jun 2013.]