Friday, 28 September 2012

Kavyan Sokong Selaraskan Bahasa Malaysia di SK, SJK

Ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Festival Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 September 2012, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan bercadang melaksanakan kurikulum Bahasa Malaysia yang sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014.
 
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 menyokong penuh langkah ini ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; termasuk di sekolah beraliran bahasa ibunda.
 
Kavyan berpendapat bahawa belum terlewat untuk menyelaraskan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Hal ini memandangkan jurang antara ketiga-tiga aliran itu perlu dikurangkan dan cara paling mudah adalah dengan menyamakan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia.
 
Buat masa ini, UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia juga dilaksanakan dalam tiga tahap berbeza bagi murid SK, SJKC dan SJKT. Kavyan berpendapat bahawa amalan itu perlu dihentikan kerana secara tidak langsung, hak kanak-kanak pelbagai kaum di sekolah berlainan aliran untuk menguasai Bahasa Malaysia seperti dinafikan menerusi sistem pendidikan yang berbeza.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan oleh Bernama berkata, dengan peningkatan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid SJKC dan SJKT, dijangkakan kelas-kelas peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara akan dapat dimansuh menjelang 2017.
 
Kavyan juga sangat mengalu-alukan dan sangat menyokong pemansuhan kelas peralihan secara sepenuhnya. Pada pendapat Kavyan, tidak ada alasan mengapa murid yang belajar di Malaysia perlu memberi – atau diberi – alasan belum menguasai Bahasa Malaysia dan perlu mengikuti kelas peralihan selama setahun sebelum masuk ke Tingkatan Satu di SMK.
 
Kavyan juga bersetuju dengan cadangan Menteri Pelajaran iaitu  murid-murid SJKC dan SJKT yang mempunyai masalah dalam pembelajaran Bahasa Malaysia diberi sokongan yang secukupnya melalui kelas-kelas pemulihan yang diadakan sehingga lima jam seminggu.
 
Sejak 1999, Kavyan terlibat dalam mengendalikan pelbagai acara ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Berdasarkan pengalaman itu, Kavyan bersedia membantu Kementerian Pelajaran bagi menjayakan hasrat meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid-murid pelbagai kaum di SK, SJKC dan SJKT.
 
Kavyan juga berharap, guru-guru Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT diberikan latihan tambahan sebagai persediaan untuk membolehkan mereka mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara benar-benar berkesan, selaras hasrat kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia di sekolah beraliran bahasa ibunda.
 
Ke arah itu, Kavyan juga bersedia mengendalikan latihan berupa program Latihan Dalam Perkhidmatan bagi para guru terbabit di seluruh negara. Kavyan bersedia berkongsi pengalaman, ilmu dan panduan menjadikan P&P lebih menarik dan berkesan; khususnya di SKJC dan SJKT.
 
Kavyan yang menggunakan slogan “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” terdiri daripada sekumpulan penulis dan peminat sastera Bahasa Malaysia dalam kalangan kaum India. Sejak November 2011, keahlian Kavyan terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum sebagai usaha mendaulatkan Bahasa Malaysia ke arah pembinaan Bangsa Malaysia menerusi karya sastera kebangsaan.
 
[Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB di Shah Alam, Selangor pada 28 September 2012. Maklumat lanjut: 016-3288142 - uthayasb@yahoo.com.my - www.kavyan.blogspot.com ... Kenyataan media ini disiarkan sepenuhnya di Sinar Harian Online pada 28 September 2012 – BACA DI SINI. Kenyataan ini turut disiarkan sebagai ulasan di Malaysiakini pada 29 September 2012 - BACA DI SINI. Berita yang ditulis oleh Pragalath pula disiarkan di Free Malaysia Today pada tarikh sama - BACA DI SINI.]

No comments: