17 Feb 2011

Interlok: Panel bebas syor pindaan dalam sebulan

PUTRAJAYA, 16 Feb 2011 — Panel bebas mengkaji pindaan novel Interlok, menjangkakan untuk mengemukakan perakuan kepada kerajaan mengenai bentuk pindaan terhadap novel itu dalam tempoh sebulan dari sekarang.
.

Pengerusi panel bebas itu, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, pihaknya akan mengadakan satu atau dua lagi mesyuarat sebelum mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada lapan anggota panel berkenaan mengenai perkara itu.

.

“Tiada tempoh yang ditetapkan tetapi kita mahu cepat kerana perkara ini tidak boleh lama sangat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama panel bebas itu di Kementerian Pelajaran, di sini, hari ini.

.

Pada 27 Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, mengumumkan bahawa novel Interlok edisi murid akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera (Komsas) bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan, walaupun terdapat bantahan mengenai beberapa istilah dalam buku itu.

.

Kerajaan bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu.

.

Selain Shamsul Amri yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), panel itu turut dianggotai isteri penulis novel berkenaan, Datin Siti Saroja Basri.

.

Yang lain termasuk Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz; Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Datuk Zainal Abidin Borhan; Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM); Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr NS Rajendran; bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G. Krishnabahawan dan penulis, Uthaya Sankar SB.

.

Mengenai mesyuarat itu, Shamsul Amri berkata, kesemua anggota panel bebas itu sebulat suara bersetuju bahawa tidak timbul sebarang buruk sangka terhadap penulis novel berkenaan.

.

Beliau berkata, panel itu bersetuju bahawa penulis novel itu perlu dihormati dan integritinya dipertahankan.

.

“Perbincangan hari ini berjalan dengan baik dengan semangat serta muhibah untuk mencari penyelesaian dan kejernihan terhadap isu ini,” katanya. — Bernama
.
[Laporan New Straits Times DI SINI dan laporan Utusan Malaysia DI SINI]

No comments: