Aktiviti “Hadiah Buku Percuma” dianjurkan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sebagai salah satu usaha menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. .
[Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lengkap mengenai aktiviti berkenaan.]
.
Pemenang kategori “Dewasa” (18 tahun dan ke atas) menerima hadiah Rudra Avatara: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2008) manakala pemenang kategori “Remaja” (13-17 tahun) menerima hadiah Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2009).
.
Berikut senarai muktamad penerima hadiah selepas mengambil kira syarat dan peraturan yang ditetapkan:
.
.
A. Rudra Avatara (Dewasa) - Maklumat buku DI SINI
.
1. Wazirotil Adilah bt Darwis Harahap, Bandar Enstek, Negeri Sembilan
Banyak keistimewaan yang terdapat pada karya-karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan. Saya akui, saya tidaklah begitu arif tentang sastera dan masih belum banyak membaca hasil karya Sasterwan Kavyan. Akan tetapi, hasil bacaan saya setakat ini, dapat saya katakan bahawa karya-karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan membawa saya ke satu dunia baru dan membuka satu dimensi yang berbeza pada perspektif saya. Karya-karya yang dibaca oleh saya biasanya adalah ditulis oleh saudara Uthaya Sankar SB. Gaya penulisannya menarik perhatian dan membuatkan saya cuba untuk terus mencari hasil penulisannya dan juga Sasterawan Kavyan yang lain.
.
2. Abd Rahim bin Yahya, Gurun, Kedah Darul Aman
Kumpulan Sasterawan Kavyan merupakan salah satu organisasi yang ditubuhkan bertujuan untuk mengangkat martabat dan menjaga estetika Bahasa Malaysia. Uniknya, penulis-penulis dalam organisasi ini merupakan penulis yang bukan terdiri daripada kaum Melayu, tetapi terdiri daripada kaum India Malaysia yang begitu prihatin dengan Bahasa Malaysia. Antara keistimewaan yang terdapat dalam karya-karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan adalah bahasa yang diimplementasikan dalam karya mereka merentasi bahasa yang diaplikasi oleh kaum Melayu sendiri. Situasi ini menunjukkan bahawa penguasaan Bahasa Malaysia mereka adalah luas dan progresif. Hal ini begitu mengkagumkan saya sebagai pembaca dan penutur Bahasa Malaysia. Sekurang-kurangnya, saya dapat mengetahui serba sedikit mengenai kebudayaan kaum India dan secara tidak langsung, Kumpulan Sasterawan Kavyan mengetengahkan kepelbagaian kaum untuk dipertontonkan ke seantero dunia.
.
Cantik si dara disapa nyonya,
Manis tersipu menguntum senyuman;
Sastera Kavyan tinggi nilainya,
Moga unggul zaman-berzaman.
.
3. Khuzaimah Bte Salleh, Muar, Johor Darul Takzim
Pada zaman atom ini, dunia sastera semakin membangun bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Contohnya, Sasterawan Kavyan banyak menghasilkan karya-karya yang mempunyai seribu keistimewaan. Karya yang dihasilkan ini adalah di luar jangkaan. Misalnya, menerusi buku Sasterawan Pulau Cinta yang menghimpunkan beberapa cerpen, bahasa yang digunakan sangat mudah difahami. Karya yang telah diukir di atas sehelai kertas meninggalkan kesan yang sangat mendalam terutama kepada pembacanya. Selain itu, karya ini dapat menarik minat pembaca untuk terus menelaah karya-karya lain. Tuntasnya, semua rakyat haruslah bersama-sama berganding bahu dalam memartabatkan dunia sastera sepanjang kehidupan.
.
.
B. Kathakali (Remaja) - Maklumat buku DI SINI
.
1. Mutmainnah Mazlan, Kemaman, Terengganu
Karya-karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan mempunyai banyak kelebihan. Antaranya, karya-karya yang dihasilkan oleh mereka menggunakan gaya bahasa yang menarik serta jalan cerita yang memberangsangkan sehingga membuatkan para pembaca tertanya-tanya jalan cerita seterusnya. Selain itu, karya-karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan menggunakan tanda baca, tatabahasa dan perkataan yang betul. Ada kalanya, pembaca sendiri tidak sedar bahawa karya itu dihasilkan oleh penulis kaum India Malaysia kerana karya mereka seolah-seolah karya yang dihasilkan oleh penulis kaum Melayu sendiri.
.
2. Dayang Nur Nadhirah bt Baharin, Kota Kinabalu, Sabah
Mutakhir ini, karya Sastera Melayu seolah-olah kehilangan nasibnya dalam kalangan remaja Malaysia. Hal ini jelas terbukti apabila fenomena terlihat remaja memegang dan seterusnya membaca karya sastera Melayu sudah tidak sehebat zaman 70-an dahulu. Tidak perlu kita menuding jari kepada mana-mana pihak rentetan isu ini. Cukuplah dengan mengkaji punca kelemahan seterusnya mengatasi masalah ini. Justeru, salah satu usaha telah dimainkan dengan baik oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan sebagai langkah memartabatkan semula hasil Karya Sastera Malaysia. Sebagai remaja Malaysia, kita seharusnya bermuafakat menyokong seratus peratus usaha mereka ini, kerana bulat air kerana pembetung, bulat masyarakat kerana muafakat.
.
.
Tahniah kepada para penerima “Hadiah Buku Percuma”. Buku dikirim melalui pos pada 15 Januari 2010.
.
Sila KLIK DI SINI untuk maklumat aktiviti mutakhir anjuran Kavyan.
1 comment:
Buku sudah dikirim melalui pos pada petang Isnin, 11 Januari 2010.
Post a Comment