Aktiviti
Program
Memartabatkan Bahasa Malaysia di Aulong Lama
Penganjur
Kumpulan
Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Persatuan
Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia)
Persatuan
Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama, Taiping
Para Penyumbang Budiman
Para Penyumbang Budiman
Tarikh
14
Ogos 2016 (Ahad)
Masa
8:30
pagi – 1:30 petang
Tempat
Dewan
Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama
285
Lorong K, Aulong Lama, 34000 Taiping
Latar Belakang
Program
DBP, DHRRA
Malaysia, dan Kavyan menjayakan Program
Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) di SK Convent Aulong, Taiping pada
14-16 Mac 2016; dan di SK Guru Kalgidhar, Ipoh pada 30-31 Mei 2016. Program
sama akan dilaksanakan di SK Sri Langat, Banting pada 10-11 September 2016. Sambutan
yang diterima amat menggalakkan dan mencapai objektif yang disasarkan. [MAKLUMAT
TAIPING DI SINI] [MAKLUMAT IPOH DI SINI] [MAKLUMAT
BANTING DI SINI] Pengalaman itu membuktikan bahawa selain
di Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Program Memartabatkan Bahasa Malaysia perlu juga dibuat di Sekolah Kebangsaan
(SK), khususnya jika terdapat majoriti murid Bukan Melayu.
Maklumat Komuniti
Sasaran
Kavyan dan DHRRA Malaysia menganjurkan Hari Keluarga Komuniti India (3 Jun 2016) serta Program Latihan Kepimpinan dan Penyampaian Sumbangan Barangan Makanan (17 Julai 2016) di Dewan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong
Lama. Penduduk kaum India di Aulong Lama,
Aulong dan sekitarnya menjadi sasaran projek bulanan sebagai usaha memperkasa
komuniti akar umbi. Bagi Program Memartabatkan Bahasa Malaysia pada 14 Ogos
2016, kelompok sasaran adalah kanak-kanak dan remaja awal.
Objektif
1. Menggalakkan serta
memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan kanak-kanak
dan remaja luar bandar.
2. Menimbulkan minat dan
kecintaan generasi muda terhadap Bahasa Malaysia.
3. Memupuk minat membaca buku
cerita Bahasa Malaysia dalam kalangan komuniti India luar bandar.
4. Membuka ruang kanak-kanak
dan remaja meluahkan isi hati dan kreativiti menggunakan Bahasa Malaysia
sebagai medium komunikasi.
Bahasa
Bengkel
akan dikendalikan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia,
selaras objektif program serta usaha membina keyakinan diri dalam kalangan
peserta (murid/pelajar) yang menyertai bengkel ini.
Jumlah Peserta
Penyertaan terbuka kepada 30 murid/pelajar berumur minimum 9 tahun dan maksimum 15 tahun; iaitu individu yang
lahir antara tahun 2001 dan 2007. Pencalonan nama peserta (murid/pelajar)
dilakukan oleh pemimpin komuniti yang menyertai Program Latihan Kepimpinan (17 Julai 2016). Keutamaan penyertaan
diberi kepada kanak-kanak dan remaja daripada keluarga yang menerima sumbangan barangan
makanan (17 Julai 2016). Kesemua
peserta (murid/pelajar) wajib menyertai aktiviti sepenuhnya untuk layak
menerima sijil penyertaan.
Borang
Penyertaan
Pemilihan
peserta diuruskan oleh pemimpin komuniti yang menyertai Program Latihan Kepimpinan (17 Julai 2016). Setiap pemimpin
komuniti (pencadang) hanya boleh mencadangkan dua murid/pelajar sebagai
peserta. Pencalonan wajib dilakukan dengan mengisi borang penyertaan rasmi secara dalam talian. Pastikan borang diisi dengan
betul dan tepat sebelum dikirim. Setiap borang yang selamat diterima akan
dijawab dalam masa 48 jam. Sekiranya tiada balasan, maknanya borang tidak
diterima.
Tarikh Tutup
Pencalonan
peserta [BORANG DI SINI] ditutup secara muktamad
pada 31 Julai 2016, pukul 4:00 petang. Sebarang borang yang dikirim selepas itu
tidak dilayan. Individu yang tidak mendaftar tidak dibenarkan menyertai program
pada 14 Ogos 2016. Pertukaran peserta tidak dibenarkan.
Pembimbing Utama
Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan
Sasterawan Kavyan, pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya
dan jurulatih bertauliah HRDF. Beliau berpengalaman mengendalikan bengkel
penulisan, aktiviti penghayatan sastera dan program galakan membaca di seluruh
negara. Kumpulan cerita rakyat India berjudul Nari! Nari! (2015) ditulis khusus
untuk memupuk minat membaca kanak-kanak pelbagai kaum.
Pembantu
Pembimbing
Keluarga
Kavyan akan bertugas sebagai pembantu kepada Uthaya Sankar SB sepanjang
program. Sekitar 5 ahli jawatankuasa Persatuan Kebajikan Masyarakat India
Aulong Lama akan turut dilantik menjadi pembantu.
Pengisian
Program
Berikut
adalah rangka atur cara bagi program yang dicadangkan. Pengisian dan
pengendalian bengkel ini secara didik-hibur
merangkumkan secara holistik visi, misi, strategi dan sasaran Program Memartabatkan Bahasa Malaysia.
8:30
pagi – 9:00 pagi
Pendaftaran
murid/pelajar (peserta)
Sarapan
(untuk peserta dan pembantu pembimbing)
9:00
pagi – 10:00 pagi
Permainan Bahasa
10:00
pagi – 11:00 pagi
Nyanyian
“Rasa Sayang”
Nyanyian
“Jambu Air”
11:00
pagi – 12:00 tengah hari
Ekspresi
Menerusi Topeng
12:00
tengah hari – 1:00 petang
Ekspresi
Menerusi Lukisan
1:00
petang – 2:00 petang
Penyampaian
sijil penyertaan
Sesi
fotografi berkumpulan
Makan
tengah hari (peserta dan pembantu pembimbing)
Penutup dan
Harapan
Program Memartabatkan Bahasa Malaysia diyakini mampu menjadi
pemangkin dan peneraju kepada usaha memupuk kecintaan terhadap Bahasa Malaysia
dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kaum India di Aulong Lama, Aulong
dan sekitarnya. Para peserta ini serta keluarga mereka (kanak-kanak, remaja,
belia dan dewasa) akan menjadi kumpulan sasaran bagi pelbagai program bulanan
yang dirancang oleh Kavyan dan DHRRA Malaysia.