Projek
Program Memperkasa Komuniti
Aktiviti
Bengkel Memperkasa Wanita Aulong Lama
Tarikh
25 September 2016 (Ahad)
Masa
8:30 pagi – 1:30 petang
Tempat
Dewan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama
285 Lorong K, Aulong Lama, 34000 Taiping
Penganjur Bersama
Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, Malaysia (DHRRA Malaysia)
Persatuan Kebajikan Masyarakat India, Aulong Lama
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Rasional
Hari Keluarga Komuniti India dianjurkan di Aulong Lama, Taiping pada 3 Jun 2016 untuk mengetahui secara lebih dekat dan mendalam keperluan komuniti di Aulong, Aulong Lama dan sekitarnya. Perbincangan meja bulat yang diadakan bersama-sama sekitar 100 penduduk menunjukkan bahawa pelbagai masalah sosial, ekonomi dan pendidikan memerlukan perhatian segera. Golongan kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan warga emas di sekitar Aulong Lama memerlukan perhatian dari pelbagai sudut. Sebagai langkah permulaan, Program Latihan Kepimpinan diadakan pada 17 Julai 2016 untuk mendidik golongan belia tempatan menjadi pemimpin komuniti yang mampu memainkan peranan ke arah mobiliti sosial. Semasa Penyampaian Sumbangan Barangan Makanan (17 Julai 2016), maklumat lebih banyak keluarga dikumpulkan untuk tujuan rekod, dan untuk memudahkan urusan perancangan aktiviti. Pada 14 Ogos 2016, Program Memartabatkan Bahasa Malaysia diadakan khusus bagi kanak-kanak dan remaja sebagai usaha menarik golongan muda ini terus menyertai Program Memperkasa Komuniti anjuran DHRRA Malaysia dan Kavyan. Menyedari hakikat kedudukan golongan wanita sebagai teraju utama dalam kebanyakan keluarga dalam komuniti, maka suatu program khas perlu dirangka khusus untuk mereka. Berbekalkan pengalaman DHRRA Malaysia dan Kavyan menjalankan program memperkasa komuniti akar umbi, Bengkel Memperkasa Wanita Aulong Lama dirangka khas hasil perbincangan bersama pemimpin komuniti dalam Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama. Bengkel ini dirangka secara holistik sambil mengambil kira hakikat bahawa golongan wanita (ibu, suri rumah) merupakan individu yang paling banyak memainkan peranan dalam memastikan kesejahteraan keluarga.
Objektif
1. Memahami persoalan dan isu yang dihadapi golongan wanita sebagai ibu, isteri, menantu dan mentua
2. Mengumpulkan biodata golongan wanita; seperti latar pendidikan, kemahiran, keluarga dan pengalaman kerja
3. Membuka ruang kepada golongan wanita untuk meluahkan pandangan dan hujah berhubung masalah sosial, ekonomi dan pendidikan
4. Memperkasa golongan wanita menerusi sesi kaunseling berkumpulan, motivasi dan perkongsian maklumat
5. Merancang program susulan untuk golongan wanita dan ahli keluarga
Peserta
Jumlah peserta adalah 20-25 orang sahaja. Golongan wanita yang mahu menyertai bengkel ini mestilah tinggal di Aulong Lama, Aulong atau kawasan sekitar Taiping, serta memenuhi sekurang-kurangnya satu kriteria di bawah:
1. Wanita yang sudah berkahwin
2. Wanita berumur lebih 40 tahun yang tidak berkahwin
3. Wanita yang mempunyai anak
4. Ibu tunggal (sama ada bercerai, kematian suami, atau ditinggalkan suami)
5. Suri rumah (termasuk jika bekerja sambilan)
6. Mana-mana wanita yang dirasakan layak oleh pemimpin komuniti setempat
Bahasa
Program akan dikendalikan dalam Bahasa Tamil supaya sesuai dengan golongan sasaran. Bahasa Malaysia dan Inggeris mungkin digunakan mengikut keperluan.
Borang Penyertaan
Individu yang berminat menyertai Bengkel Memperkasa Wanita Aulong Lama perlu mengisi BORANG PENYERTAAN secara dalam talian dengan bantuan salah seorang pemimpin komuniti berikut: Loganathan Veloo, Vanitha Murugan, Magesuary Chrishnan atau Jegavani Lengkan. Salah seorang pemimpin komuniti ini perlu menjadi Pencadang semasa mengisi borang penyertaan. Borang yang tidak lengkap tidak dilayan.
Individu yang berminat perlu mengisi borang penyertaan dalam talian selewat-lewatnya pada 12 September 2016 (Isnin), pukul 4:00 petang. Penyertaan lewat tidak diterima. Penyertaan akan ditutup lebih awal jika jumlah peserta sudah mencukupi.
Pembimbing
Kesemua sesi dalam Bengkel Memperkasa Wanita Aulong Lama akan diterajui wakil Kavyan, wakil DHRRA Malaysia dan pemimpin komuniti yang dilantik oleh penganjur; sambil dipantau jurulatih bertauliah.
Sijil Penyertaan
Peserta berdaftar yang menyertai bengkel ini sepenuhnya, serta terlibat secara aktif dalam kesemua aktiviti yang dijalankan sahaja layak menerima sijil penyertaan yang ditandatangani Saravanan M. Sinapan (Presiden DHRRA Malaysia) dan Uthaya Sankar SB (jurulatih bertauliah HRDF).
Pengisian Program
Berikut rangka atur cara bengkel. Para peserta diingatkan supaya mematuhi masa yang ditetapkan kerana program dijalankan mengikut Waktu Kavyan.
8:30 pagi – 9:00 pagi
Pendaftaran peserta
Sarapan tidak disediakan
9:00 pagi – 10:00 pagi
“Inilah Saya!”
Sesi memperkenalkan diri (sejak kecil hingga kini)
10:00 pagi – 11:00 pagi
“Keluarga Saya”
Sesi kaunseling berkumpulan mengenai isu-isu domestik dalam keluarga
11:00 pagi – 12:00 tengah hari
“Impian Masa Depan”
Perkongsian pandangan mengenai impian masa depan bagi diri, anak-anak, dan keluarga
12:00 tengah hari – 1:00 petang
“Bantu Saya Memperkasa Diri”
Perancangan aktiviti masa depan, dan jenis bantuan yang diperlukan
1:00 petang – 2:00 petang
Sesi fotografi berkumpulan
Makan tengah hari
Penutup
Bengkel Memperkasa Wanita Aulong Lama yang dikendalikan sebagai sebahagian Program Memperkasa Komuniti pasti mencapai sasaran berkat kerjasama semua pihak terbabit. Hubungi infokavyan@yahoo.com.my jika ada sebarang pertanyaan.