Monday, 25 March 2019

Sesi Penulisan Intensif III


Program
Sesi Penulisan Intensif III Sasterawan Kavyan

Tarikh
2 Jun 2019 (Ahad)

Masa
10:00 pagi – 6:00 petang [Waktu Kavyan]

Tempat
Ruang Aktiviti (Tingkat Atas)
10 Jalan Setia Gemilang BM U13/BM
Setia Alam, Shah Alam, Selangor

Panduan Waze
Econsave Setia Taipan

Penganjur
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya

Pengenalan
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sentiasa berusaha membimbing dan melahirkan penulis baharu pelbagai kaum, dengan tumpuan khusus kepada golongan penulis kaum India. Istilah “Sasterawan Kavyan” yang digunakan sejak tahun 2004 merujuk kepada penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Jumlah Sasterawan Kavyan tidak ramai dan usaha drastik perlu diambil segera bagi melahirkan lebih ramai penulis kelompok ini; termasuk penulis remaja.

Rasional
Penganjuran Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan pada 15 – 16 Disember 2018 di Shah Alam dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuktikan kejayaan di mana para peserta menghasilkan manuskrip yang dibengkelkan, dibedah, dibincang dan disunting sebelum terus dikirim kepada editor majalah-majalah DBP; khususnya Dewan Budaya, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera. Sesi Penulisan Intensif II Sasterawan Kavyan berlangsung pada 23 – 24 Mac 2019 dengan dengan kerjasama Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP. Sepuluh peserta menghasilkan karya yang dibengkelkan, dibedah, dibaiki, disunting dan terus dikirim kepada editor majalah-majalah DBP untuk dipertimbangkan bagi siaran.

Objektif
● Memberi pendedahan dan panduan lengkap mengenai format, syarat dan teknik penulisan puisi, cerpen dan rencana bagi majalah-majalah DBP.
● Memberi peluang Sasterawan Kavyan dan penulis remaja berbincang, mengadakan sesi sumbang saran, perkongsian idea, bedah karya dan semakan manuskrip secara berkumpulan mengikut konsep “rakan sebaya”.
● Memastikan setiap peserta menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah karya pada akhir sesi.
● Menyalurkan karya bermutu ke majalah-majalah DBP.
● Memperkaya Sastera Kebangsaan menerusi karya Sasterawan Kavyan.

Keunikan
Para peserta (dewasa dan remaja) akan terlibat bersama-sama dalam perbincangan, perkongsian pengalaman, sumbang saran (brainstorming), penulisan, bedah karya, semakan manuskrip dan sebagainya menggunakan konsep “rakan sebaya”. Kerjasama dalam bentuk mentor menti (mentor mentee) boleh diteruskan dalam kalangan peserta yang berminat. [Baca — Komen Peserta Sesi I— [Komen Peserta Sesi II— [Pengalaman Peserta Menyunting Karya]

Pembimbing
Uthaya Sankar SB berpengalaman menulis untuk majalah-majalah DBP sejak 1992, mengendalikan bengkel penulisan di seluruh negara sejak 1994, mengasaskan Kavyan pada 1999, dan menerbitkan buku sejak 2002. Beliau juga merancang, melaksanakan serta membimbing peserta Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan (15 – 16 Disember 2018) dan Sesi Penulisan Intensif II Sasterawan Kavyan (23 – 24 Mac 2019).

Peserta
Jumlah peserta bagi bengkel sehari ini adalah sepuluh (10) orang sahaja, iaitu:

Sekitar lima (5) peserta adalah Sasterawan Kavyan yang sudah ada pengalaman menulis dan sudah ada karya tersiar di akhbar/majalah.

Sekitar lima (5) peserta adalah golongan remaja (16 – 24 tahun) yang belum ada karya tersiar di akhbar/majalah tetapi berminat menjadi penulis.

Individu yang memohon menjadi peserta mestilah berminat untuk menghasilkan karya secara prolifik dan konsisten; khususnya untuk disalurkan ke majalah-majalah terbitan DBP. Bukannya individu yang sekadar mahu mengisi masa lapang, atau sekadar mahu cuba menulis sebuah karya sepanjang hayat, atau kerana dipaksa/dipujuk/dirayu oleh ibu, bapa, penjaga, nenek, datuk, kekasih, bekas kekasih, saudara mara, rakan, jiran dan sebagainya.

Individu yang berpura-pura tidak tahu berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia diharamkan menyertai mana-mana program Kavyan.

Ini bukan kelas tuisyen di mana peserta datang untuk belajar cara mengeja, atau cara menggunakan tanda baca, imbuhan, kata sendi dan sebagainya. Ini bukan kelas tuisyen untuk mengajar peserta tentang “Apa itu cerpen?” atau “Bagaimana menulis karangan untuk mendapat A dalam SPM”.

Individu yang mahu menjadi peserta perlu mampu menulis menggunakan Bahasa Malaysia tanpa perlu diajar lagi tentang ejaan, tanda baca, imbuhan, huruf besar, dialog dan sebagainya yang merupakan perkara asas jika mahu menjadi penulis. [Rujuk — Panduan Bahasa]

Peserta tidak dibenarkan menghadiri sebahagian sesi sahaja, atau memohon untuk mengirim manuskrip karya di luar daripada waktu sesi berlangsung. Bagi peserta yang tiba lewat atau pulang awal, manuskrip yang dihasilkannya tidak akan dibincangkan.

Skop Karya
Peserta akan menghasilkan karya Sastera Remaja, iaitu sajak, cerpen, esei dan seumpamanya yang disasarkan kepada khalayak pembaca remaja (pembaca berumur 13-21 tahun). Peserta dinasihatkan supaya meneliti sajak, cerpen dan esei dalam majalah seperti Dewan Siswa, Pelita Bahasa, dan Tunas Cipta sebelum menghadiri sesi penulisan. Kalau mahu menjadi penulis karya Sastera Remaja, kenalah tahu kandungan dan skop majalah-majalah berkenaan.


Pengangkutan dan Makan-minum
Kos makan-minum dan pengangkutan ditanggung sepenuhnya oleh para peserta sendiri. Makan-minum tidak disediakan. Ada restoran di sebelah lokasi acara. Peserta dinasihatkan membawa air untuk diminum semasa sesi berlangsung.

Syarat Pakaian
Bagi semua program Kavyan, peserta wajib memakai pakaian yang sopan dan selesa. (Contoh: Jangan pakai pakaian yang mendedahkan seluar dalam pada setiap kali anda duduk atau membongkok. Atau pakaian yang membuatkan anda perlu menarik dan membetulkannya setiap dua minit.) Dilarang memakai pakaian (baju) yang mempamerkan dengan jelas  jenama, logo, perkataan, lukisan, ilustrasi, slogan, pasukan sukan dan sebagaimya yang tidak ada kaitan dengan program bahasa, sastera, seni dan budaya. Program Kavyan bukan tempat untuk anda mempromosi jenama produk lain.

Barangan Keperluan
Setiap peserta wajib membawa komputer riba, buku tulis, alat tulis, rangka idea bagi karya, dan air minuman. Jika perlu, boleh membawa bahan rujukan. Kesemua barangan ini tidak disediakan.

Bayaran Penyertaan
Setiap peserta dikenakan bayaran RM30 [Jika mendaftar selewat-lewatnya pada 30 April 2019] dan bayaran RM40 [Jika mendaftar selepas 30 April 2019]. Bayaran tidak dikembalikan jika peserta menarik diri atau gagal hadir. Tidak ada diskaun (kerana bayaran sudah pun terlalu murah). Bayaran tidak boleh dipindahkan kepada peserta lain. Pengesahan penyertaan dan bayaran wajib dilakukan selewat-lewatnya pada 30 Mei 2019. (Pendaftaran akan ditutup sebaik jumlah peserta berbayar sudah mencukupi.)

Maklumat Akaun Bank
Bayaran penyertaan perlu dimasukkan ke akaun bank CIMB — Sasterawan Kavyan — 8600565547. Permintaan untuk membayar pada hari program tidak akan dilayan.

Tarikh Tutup
Tarikh akhir untuk mengesahkan kehadiran dan membuat bayaran penyertaan adalah pada 30 Mei 2019. Penyertaan akan ditutup awal jika sudah ada jumlah peserta yang mencukupi. Konsep “yang dahulu didahulukan” digunakan tanpa sebarang prejudis. Bayaran tidak dikembalikan jika peserta menarik diri atau gagal hadir.

Borang Penyertaan
Dengan mengisi borang penyertaan, anda mengesahkan sudah membaca dengan teliti dan memahami serta bersetuju untuk akur pada kesemua peraturan dan syarat yang dinyatakan. Sila isi BORANG PENYERTAAN hanya selepas bayaran dibuat dan selepas anda memahami kesemua syarat/peraturan. Borang yang diisi sebelum membuat bayaran tidak dilayan.

Maklamat Lanjut dan Pertanyaan
Jika ada sebarang pertanyaan, hubungi uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011–11411952. Layari Blog Kavyan dari semasa ke semasa untuk maklumat pelbagai program bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya.