Saturday, 5 May 2018

Antologi Karya Sasterawan Kavyan


Istilah “Sasterawan Kavyan” yang diperkenalkan pada tahun 2004 merujuk kepada kelompok penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia (dan mungkin turut menghasilkan karya Tamil dan Inggeris).

Karya yang dimaksudkan termasuk (tetapi tidak terhad kepada) pantun, sajak, cerpen, cerita rakyat, novel, esei, ulasan, kritikan dan kajian akademik. Bagaimanapun, tumpuan lebih besar diberikan kepada karya berunsur sastera, seni dan budaya.

Sasterawan Kavyan yang dimaksudkan mungkin terdiri daripada keturunan Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Gujrati, Chetti Melaka, Pakistan, Chindian, malah India-Muslim. Agama dan kepercayaan tidak diambil kira. Bagaimanapun, individu yang sudah menerima status “Melayu” dan “Bumiputera” tidak termasuk dalam kategori Sasterawan Kavyan.


Antologi Vanakam (2002) memuatkan cerpen sejumlah Sasterawan Kavyan. Selain daripada itu, penulis seperti Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB, M. Mahendran, Ramakrishnan Ramasamy, M. Balachandran, Kathirasan Doraisamy, Krishanan Maniam, Rajantheran Muniandy, Sardah Appalasamy, Suresh Kumar N. Vellymalay, Rekka Baskaran, Thanusya Shanmuganathan, dan Venoo Kuppusamy sudah (atau sedang dalam proses) memiliki buku persendirian.

Ramai juga Sasterawan Kavyan yang menghasilkan karya dan tersiar secara eceran di akhbar, majalah, dan media dalam talian (online media), serta antologi bersama-sama para penulis lain. Misalnya, Devaraj P. Thangaraju, Elavarassan Suppiah, VK Ezhilarasi Velautham, Kughan Nadarajah, S. Maartandan Suppiah, Navanitha Nairu, Nizha Periaswamy, Richard Ignacy, Sritharanee Subramaniam, dan Thiruselvam Padmanabhan.


Tentulah menarik jika karya-karya eceran yang sudah tersiar itu dapat dikumpulkan dalam bentuk buku supaya mudah dijadikan rujukan pada masa depan. Begitu juga karya-karya baharu yang belum tersiar di mana-mana.


Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bercadang menerbitkan sebuah antologi yang menggabungkan karya Sasterawan Kavyan. Karya yang dimaksudkan adalah pantun, sajak (puisi moden), cerpen, esei, ulasan, kritikan dan kajian akademik dalam Bahasa Malaysia.

Karya asli penulis terbabit yang diterjemah daripada Bahasa Tamil atau Inggeris kepada Bahasa Malaysia juga diterima bagi tujuan antologi ini. Bagaimanapun, penulis perlu menguruskan sendiri kerja-kerja penterjemahan.

Sasterawan Kavyan dipelawa mengirimkan karya eceran (belum diterbitkan dalam bentuk buku) atau karya baharu (belum tersiar di mana-mana) untuk dimuatkan dalam antologi ini. Tidak ada had jumlah karya. Uthaya Sankar SB selaku penyelenggara dan penerbit akan menyunting kesemua karya sebelum diterbitkan.

Biodata dan foto penulis juga akan dimuatkan dalam antologi ini supaya memudahkan orang ramai membuat rujukan, ulasan dan kajian akademik pada masa depan.

Setiap manuskrip/karya yang dikirim dikenakan bayaran, dan bayaran itu akan digunakan untuk menampung sebahagian kos mencetak antologi ini. Para penulis juga akan menerima naskhah buku mengikut jumlah bayaran itu.

Bayaran yang dikenakan adalah seperti berikut:

Sajak (puisi moden) dan pantun (empat kerat)

RM40 bagi satu karya puisi dengan panjang maksimum 25 baris

Cerpen, esei, ulasan, kritikan dan kajian akademik

RM160 bagi satu karya prosa sepanjang 800 – 850 perkataan
RM200 bagi satu karya prosa sepanjang 850 – 1,110 perkataan
RM240 bagi satu karya prosa sepanjang 1,110 – 1,300 perkataan
RM280 bagi satu karya prosa sepanjang 1,300 – 1,500 perkataan
RM320 bagi satu karya prosa sepanjang 1,500 – 1,750 perkataan
RM360 bagi satu karya prosa sepanjang 1,750 – 1,950 perkataan
RM400 bagi satu karya prosa sepanjang 1,950 – 2,200 perkataan
RM440 bagi satu karya prosa sepanjang 2,200 – 2,400 perkataan

Nota kaki tidak dibenarkan. Bibliografi (jika ada) akan dikira dalam jumlah perkataan.

Tarikh akhir menyerahkan karya/manuskrip adalah pada 30 September 2018. Antologi ini disasarkan untuk diterbitkan pada Disember 2018; bergantung kepada sambutan dan sokongan para penulis terbabit.

Sasterawan Kavyan yang berminat untuk terlibat dalam menjayakan projek penerbitan antologi ini diminta menghubungi infokavyan@yahoo.com.my atau WhatsApp 011-11411952 untuk perbincangan lanjut.