Berkat sumbangan ikhlas rakan-rakan dari jauh dan dekat, Projek
Sumbangan Makan Tengah Hari diselenggarakan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di Rumah Kavyan, Taman Sri Muda, Shah Alam
sejak 7 Julai 2014.
Buat masa sekarang, sekitar 20 individu mendapat manfaat
daripada projek sukarela ini. Untuk rekod, segala sumbangan bagi projek ini
bukan daripada Tabung Kavyan tetapi hasil sumbangan orang ramai; kebanyakan
yang menderma secara ikhlas dan meminta nama mereka tidak dipaparkan kepada
umum.
Selain daripada sumbangan wang tunai, orang ramai yang
budiman juga boleh menyumbangkan barang-barang
keperluan memasak seperti beras, minyak masak, serbuk kari, bawang, ubi
kentang, cili kering, papadam dan telur ayam.
Sumbangan wang tunai
atau deposit ke dalam akaun bank (Maybank atau CIMB) pula akan digunakan untuk
membeli barangan seperti sayur-sayuran, ikan, daging ayam, tauhu serta barangan
lain yang perlu dibeli secara harian.
Selain Projek Sumbangan Makan Tengah Hari, makanan dan
minuman juga diperlukan untuk aktiviti
bahasa, sastera, seni dan budaya di Rumah Kavyan. Perpustakaan mini juga dibuka kepada umum, dan pengunjung biasanya
disajikan makan-minum yang sederhana.
Bagi tujuan itu, makanan dan minuman seperti biskut, serbuk teh,
susu dan air kotak juga dialu-alukan.
Rumah Kavyan juga sering dikunjungi individu/keluarga yang
memerlukan bantuan seperti barangan keperluan dapur, pembayaran yuran sekolah dan pembelian cermin mata.
Setiap kes akan disiasat secara terperinci sebelum sebarang
bantuan dihulurkan. Seperti selalu, Kavyan hanya menjadi orang tengah manakala
segala sumbangan datangan daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama yang
prihatin.
Kavyan merakamkan jutaan terima kasih kepada setiap individu
yang telah, sedang dan akan tampil menghulurkan sumbangan/bantuan. Orang ramai
juga boleh menawarkan diri menjadi Sukarelawan Kavyan (sebelum 31 Julai
2014).
Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini,
seperti kata Mahatma Gandhi.
Sila hubungi e-mel infokavyan@yahoo.com.my atau kirim
mesej peribadi menerusi Facebook jika anda mahu terlibat sama.
Semoga setiap individu
dirahmati dan dimurahkan rezeki.