18 Apr 2013

Sesi Melukis dan Baca Cerpen Kavyan

Tarikh: 28 April 2013 (Ahad)
Masa: 10.00 pagi – 12.00 tengah hari [Waktu Kavyan]
Tempat: Galeri Shah Alam, Persiaran Tasik, Shah Alam [PETA]
Anjuran: Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Aktiviti I: Sesi Membuat Lukisan Buku Cerita Nari! Nari!
Aktiviti II: Bengkel Baca Cerpen Kavyan II
 
Boleh saya datang selepas 11.00 pagi? Aktiviti akan dijalankan mengikut “Waktu Kavyan” iaitu waktu sebagaimana dinyatakan; bukan setengah jam atau sejam kemudian. Sesiapa yang menghadapi masalah untuk mematuhi “Waktu Kavyan” dinasihatkan supaya tidak mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti anjuran Kavyan.
 
Bagaimana untuk ke Galeri Shah Alam? Bagi peserta yang menaiki Komuter, sila maklumkan selewat-lewatnya pada 26 April 2013 (Jumaat) kepada Uthaya Sankar SB (016-3288142). Pada tarikh acara (28 April 2013), pastikan anda sampai di Stesen Komuter Shah Alam selewat-lewatnya pada pukul 9:30 pagi supaya AJK Kavyan boleh membawa anda dari Stesen Komuter Shah Alam ke Galeri Shah Alam. Jika terlewat, sila usahakan pengangkutan sendiri (teksi). [PETA]
 
Bolehkah saya mendaftar tetapi tidak hadir? Mana-mana individu yang mendaftar sebagai peserta tetapi tidak hadir – atau menarik diri pada saat akhir – tanpa alasan yang logik, maka TIDAK dibenarkan menyertai mana-mana aktiviti Kavyan sepanjang tahun 2013. Antara alasan tidak logik yang selalu diberikan adalah “tiba-tiba ada urusan penting yang lain” dan “Maaf, tak dapat hadir”.
 
Bolehkah saya datang ikut suka hati? Maaf, penyertaan hanya bagi peserta yang mengesahkan penyertaan selewat-lewatnya pada 26 April 2013 dengan mengisi borang penyertaan. Peserta yang tidak mendaftar, tidak dibenarkan mengambil bahagian. Ini adalah aktiviti Kavyan, bukan pasar tani atau pasar malam.
 
Bolehkah saya sertai kedua-dua aktiviti? Terdapat dua aktiviti yang akan berjalan sekali gus di lokasi yang sama dan disertai oleh dua kelompok yang berbeza. Maknanya, peserta perlu memilih untuk menyertai satu sahaja. Baca maklumat aktiviti di bawah dengan teliti sebelum mengisi borang penyertaan.
 
Aktiviti I: Sesi Membuat Lukisan Buku Cerita Nari! Nari!
 
Buku Nari! Nari! adalah kumpulan cerita rakyat India yang dihasilkan oleh Uthaya Sankar SB. Buku cerita Bahasa Malaysia ini pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1995 dan 2000. Kini, buku berkenaan akan diterbitkan semula dalam edisi baharu.
 
Peluang dibuka kepada sukarelawan (tidak dibayar) daripada kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa yang berminat terlibat sama dalam menghasilkan ilustrasi/lukisan warna untuk dimuatkan dalam buku cerita ini.
 
Sila isi BORANG PENYERTAANKLIK DI SINI – selewat-lewatnya pada 26 April 2013 (Jumaat), 5:00 petang (waktu di Malaysia).
 
Peserta yang tidak mendaftar, tidak dibenarkan menyertai aktiviti ini. Tidak ada konsep “walk-in”. Penyertaan ditutup pada 26 April 2013.
 
Setiap peserta hanya perlu menghasilkan satu lukisan menggunakan kertas saiz A4 warna putih. Jika ada beberapa lukisan, sila serahkan SATU sahaja sebagai pilihan muktamad.
 
Pensel warna, krayon, alat tulis dan sebagainya perlu dibawa sendiri oleh setiap peserta. Peralatan lukisan TIDAK disediakan.
 
Peserta boleh menggunakan kombinasi alat mewarna; misalnya gabungan pensel warna, krayon dan pen warna.
 
Penggunaan pelekat (sticker) tidak dibenarkan dan lukisan yang menggunakan stickers akan ditolak kerana lukisan tidak asli.
 
Peserta perlu membawa surat khabar lama sebagai lapik tempat duduk dan tempat melukis/mewarna.
 
Setiap peserta yang mendaftar awal akan diberikan ringkasan cerita untuk membantu mereka melukis babak yang diperlukan. Kesemua cerita dalam buku ini melibatkan watak-watak binatang sebagai watak utama.
 
Peserta boleh membuat lakaran/draf awal di rumah sebelum menghadiri sesi melukis di Galeri Shah Alam pada tarikh aktiviti.
 
Kesemua cerita rakyat India ini berlatarkan negara India tetapi peserta tidak semestinya melukis gambaran negara India dalam lukisan yang dihasilkan.
 
Peserta bebas menggunakan kreativiti dan imaginasi untuk menghasilkan karya asli yang sesuai untuk dimuatkan dalam buku cerita kanak-kanak ini.
 
Hanya lukisan/ilustrasi yang sesuai/menarik dan memenuhi syarat akan dipilih untuk dimuatkan dalam buku.
 
Setiap peserta akan diminta mengisi borang rasmi untuk mengesahkan bahawa karya yang dihasilkan adalah asli.
 
Setiap lukisan mestilah dihasilkan oleh seorang peserta; bukannya melibatkan kerjasama beberapa peserta (termasuk ahli keluarga).
 
Hak Cipta setiap lukisan dipegang oleh peserta dan namanya akan dinyatakan bersama-sama lukisan apabila dimuatkan dalam buku.
 
Tidak ada sebarang bayaran kerana penyertaan adalah secara sukarela. Setiap peserta yang lukisannya dimuatkan dalam buku ini akan menerima satu naskhah buku percuma apabila buku terbit nanti.
 
Peserta wajib menjaga kebersihan tempat melukis.
 
Makanan dan minuman ringan disediakan untuk peserta sahaja. Harap maklum bahawa TIADA kantin/kafe di sekitar tempat aktiviti.
 
Terdapat kemudahan bilik air/tandas dan bilik sembahyang di tempat aktiviti untuk kemudahan peserta.
 
Aktiviti II: Bengkel Baca Cerpen Kavyan II
 
Pada tahun 2003, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pernah mengadakan acara “Baca Cerpen Kavyan” selama 96 jam 32 minit di Galeri Shah Alam. Kerjasama diteruskan menerusi acara Bengkel Baca Cerpen Kavyan pada 7 April 2013.
 
Bengkel ini bertujuan membuka ruang dan peluang kepada peserta remaja dan dewasa belajar cara-cara mempersembahkan petikan cerpen dengan gaya yang menarik di pentas.
 
Sila isi BORANG PENYERTAANKLIK DI SINI – selewat-lewatnya pada 26 April 2013 (Jumaat), 5:00 petang (waktu di Malaysia).
 
Peserta yang tidak mendaftar, tidak dibenarkan menyertai aktiviti ini. Tidak ada konsep “walk-in”. Penyertaan ditutup pada 26 April 2013.
 
Peserta perlu memilih cerpen yang terkandung dalam buku Rudra Avatara (2008) atau Kisah dari Siru Kambam (2013) untuk dijadikan teks bengkel. Peserta wajib memiliki salah satu (atau kedua-dua) buku berkenaan.
 
Peserta diminta membaca sekurang-kurangnya sebuah cerpen dengan sepenuhnya dan memahami cerpen itu sepenuhnya.
 
Antara aspek yang akan disentuh dan diberi perhatian dalam bengkel adalah sebutan, kelancaran, pemahaman, intonasi, nada, gaya, suara dan keyakinan diri. Sila KLIK DI SINI untuk sedikit maklumat mengenainya.
 
Peserta juga digalakkan membaca makalah bertajuk Bengkel Baca Cerpen (The Malaysian Insider, 1 April 2013) untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai “persembahan cerpen di pentas”.
 
Setiap peserta perlu terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan dan perkongsian idea.
 
Peserta perlu bersedia menerima kritikan, teguran, komen dan nasihat daripada pembimbing dan rakan-rakan peserta.
 
Sila bawa alat tulis dan buku catatan untuk menulis nota/panduan.
 
Peserta diingatkan supaya patuh pada “Waktu Kavyan”.
 
Pastikan telefon bimbit diletak pada mod senyap. Jika anda lebih gemar melayan panggilan telefon atau melayari internet menggunakan telefon bimbit, tidak perlu menyertai aktiviti ini.
 
Makanan dan minuman ringan disediakan untuk peserta sahaja. Harap maklum bahawa TIADA kantin/kafe di sekitar tempat aktiviti.
 
Terdapat kemudahan bilik air/tandas dan bilik sembahyang di tempat aktiviti untuk kemudahan peserta.
 
Maklumat lanjut dan pertanyaan. Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan mengenai Sesi Membuat Lukisan Buku Cerita Nari! Nari! dan Bengkel Baca Cerpen Kavyan II, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my selewat-lewatnya pada 26 April 2013. Sebarang pertanyaan menerusi SMS tidak akan dilayan. Panggilan telefon pada 28 April 2013 untuk bertanya panduan jalan juga tidak akan dilayan. [RUJUK PETA]

No comments: