27 Jan 2011

Kavyan Setuju Interlok Dimurnikan

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengalu-alukan keputusan Kementerian Pelajaran melakukan pindaan kepada novel Interlok edisi murid supaya teks itu dapat dimurnikan sepenuhnya sebelum dibenarkan dijadikan teks Komsas bagi pelajar Tingkatan Lima. [BACA DI SINI]
.

Keputusan yang diumumkan Menteri pelajaran membuktikan bahawa kerajaan masih mendengar rintihan dan suara kaum India yang merasa terhina apabila beberapa perkara dalam novel itu menyentuh sensitiviti dan menjatuhkan maruah kaum India di negara ini, selain pelbagai kesalahan fakta yang sangat memalukan apabila disajikan kepada pelajar sebagai karya agung oleh seorang Sasterawan Negara.

.

Sejak awal, Kavyan berpendirian bahawa Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini, sebaliknya Kementerian Pelajaran yang meluluskan novel itu untuk dijadikan teks Komsas serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku pemegang hal cipta edisi 2010 perlu memikul tanggungjawab dalam masalah yang timbul sehingga menyinggung perasaan dan sentimen kaum India di negara ini.

.

Keputusan untuk melakukan pindaan pada novel Interlok edisi murid pula harus dilakukan dengan bijak supaya kesemua kelemahan yang ada dalam edisi 2010 dimurnikan sepenuhnya; bukan hanya membuang perkataan “paria” dan “kasta”.

.

Kavyan sudah membuktikan melalui siri artikel di Free Malaysia Today mengenai kasalahan fakta yang amat memalukan dan sepatutnya telah tidak berlaku apabila Interlok diterbitkan semula sebagai ediri murid pada 2010.

.

Misalnya, frasa “kasta Paria” itu sendiri salah kerana tidak ada “paria” atau “Paria” dalam sistem kasta di negara India. Budaya, jati diri, kehidupan beragama dan segala aspek berkaitan watak Maniam dan keluarganya di Malaya seperti dipaparkan dalam Interlok edisi murid perlu diteliti oleh editor yang pakar sahaja sambil merujuk kepada pakar bidang.

.

Panel bebas yang bakal dilantik, seperti diumumkan Menteri Pelajaran, wajib terdiri daripada pakar sastera, sejarah dan budaya yang mampu melaksanakan tugas memurnikan novel Interlok.

.

Memandangkan kerja-kerja pemurnian akan dilakukan, biarlah panel pakar melakukannya secara menyeluruh kerana seperti yang Kavyan nyatakan sejak kontroversi ini timbul, banyak fakta yang perlu dibetulkan sebelum Interlok layak dijadikan teks di sekolah.

.

Negara tidak kekurangan pakar sastera kebangsaan dan budaya dalam kalangan kaum India, sayang jika khidmat pakar-pakar itu tidak dimanfaatkan demi meningkatkan taraf sastera dan pendidikan negara. Antaranya Dr Rajantheran Muniandy dan Dr Krishanan Maniam dari Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya (UM) serta wakil Kavyan sendiri yang terlibat dalam aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.

.

Kavyan juga berharap pihak tertentu yang merasakan mereka ‘kalah dalam perjuangan’ tidak akan menimbulkan kekecohan dan merumitkan usaha panel khas memurnikan Interlok edisi murid. Jika mereka menimbulkan kekecohan dan meneruskan polemik, ia hanya merumitkan keadaan dan menjejaskan proses pelajaran di sekolah; serta terbukti ‘berniat jahat’ dan ‘ada agenda tersembunyi’ selain ‘mencetuskan perkauman’.


Sekiranya masih ada sebarang usaha sabotaj yang tidak membenarkan novel Interlok edisi murid dimurnikan, maka tidak ada pilihan selain mendesak novel itu dikeluarkan terus daripada dijadikan teks Komsas!

.

Sekian.

...

Uthaya Sankar SB

Presiden Kavyan
27 Januari 2011