28 Jan 2011

Cikgu! Saya Tidak Faham Bahasa

[Pejuang Bahasa Malaysia ini mengaku tidak memahami bahasa yang digunakan keluarga Cing Huat dalam teks Komsas. Sila KLIK DI SINI untuk Bahagian Satu]

Adik-adik sekalian,


Mulai tahun 2011, novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) diperkenalkan sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) di Zon Tengah untuk membantu adik-adik mempertingkatkan keupayaan penguasaan aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan bahasa selaras matlamat Komsas diperkenalkan pada tahun 2000.


Anda yang belajar di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan amat bertuah kerana berpeluang membaca, menghayati dan mengkaji sebuah karya agung yang dihasilkan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1996. Rakan-rakan anda di negeri-negeri lain ada alasan kukuh untuk mencemburui anda kerana mereka mungkin hanya berpeluang sekadar membaca sebuah sajak tulisan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dalam Komsas.


Bagaimanapun, anda perlu ingat bahawa novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) yang diberikan kepada anda menerusi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) adalah edisi yang ‘dipermudahkan’ daripada edisi asal yang terbit pada tahun 1971. Maka, jangan salahkan Pak Lah jika ada bahagian tertentu dalam teks Komsas ini yang anda tidak faham. [BACA DI SINI]


Adik-adik sekalian,


Semasa perbincangan novel Interlok edisi murid di kelas, anda sebagai golongan yang diiktiraf sudah ‘matang’, ‘dewasa’ dan ‘mampu berfikir secara rasional’ digalakkan mengemukakan pandangan mengikut lunas-lunas demokrasi yang menjadi amalan.


Saya sempat bertemu dan berbincang bersama sejumlah pelajar pelbagai kaum di beberapa lokasi sejak sesi persekolahan bermula pada 3 Januari 2011. Malah, saya sempat meminjam novel Interlok edisi murid daripada salah seorang pelajar untuk dibaca secara teliti, akademik dan bersandarkan ilmu sastera, realiti sosial, fiksyen, sejarah, hubungan ras, budaya, dan tentunya aspek bahasa.


Jangan kita lupa bahawa Komsas adalah sebahagian daripada komponen mata pelajaran Bahasa Malaysia (ulang: Bahasa Malaysia) dalam sistem pendidikan kita yang memang sentiasa bercelaru.


Apa yang penting adalah bahawa teks Komsas – dan dalam konteks ini, novel Interlok edisi murid – turut berperanan membantu meningkatkan pemahaman, penguasaan dan penghayatan Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar pelbagai kaum, sama ada di sekolah menengah kebangsaan (SMK), sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) atau sekolah swasta.


Adik-adik sekalian,


Sekiranya adik-adik mengalami masalah memahami bahagian tertentu dalam novel Interlok edisi murid, jangan teragak-agak dan jangan segan-silu untuk mengangkat tangan di kelas dan bertanya kepada guru yang sentiasa bersedia untuk membimbing.


Bagaimanapun, jangan terlalu membebankan guru sekiranya ayat atau perkataan yang anda tidak faham itu boleh dirujuk pada bahagian Glosari di halaman 419-422 atau kamus bermutu (sebaik-baiknya terbitan DBP).


Berikut sekadar contoh dialog dalam novel Interlok edisi murid yang saya secara peribadi masih tidak faham, walaupun Bahasa Malaysia adalah bahasa ibunda saya.


“Lu punya mapak manyak maik sama gua, ini haliah sikit.” – dialog Cina Panjang kepada Seman, halaman 47.


“Itu titak moleh, Seman. Ini sulat-sulat manyak haliga, tidak moleh bawa keluar.” – dialog Cina Panjang kepada Seman, halaman 56.


“Siapa mahu galoh?” – dialog Seman kepada Cina Panjang, halaman 87.


“Gua sudah milang, lu mesti cali lumah lain. Lumah itu ada orang mahu luluk.” – dialog Poh Eng kepada Seman, halaman 202.


Adik-adik sekalian,


Amat nyata bahawa saya secara peribadi menghadapi masalah besar untuk memahami dialog-dialog yang melibatkan watak kaum Cina. Dialog ‘bermasalah’ ini rata-rata diucapkan hanya apabila berlaku interaksi antara watak kaum Cina dan Melayu.


Apabila watak kaum Cina berkomunikasi dengan watak daripada kaum yang sama, bahasa mereka tersusun dan mudah difahami. Bagi watak kaum India pula, penguasaan bahasa Melayu mereka pada tahun 1910-1957 begitu membanggakan dan wajar diberikan anugerah khas juri!


Anda bolehlah melakukan analisis lebih mendalam mengenai realiti orang Melayu-Cina-India berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu, seperti yang dihidangkan dalam novel Interlok edisi murid. Bincangkan bersama guru yang mengajar Komsas. Jangan takut atau bimbang untuk berani bersuara sebagai seorang individu yang diakui sudah ‘dewasa’, ‘matang’ dan ‘mampu berfikir secara rasional’:


Cikgu! Saya tidak faham bahasa yang digunakan semasa watak kaum Melayu dan Cina berkomunikasi dalam novel Interlok edisi murid. Inikah laras bahasa sastera moden yang perlu kami pelajari melalui Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) di Zon Tengah?”


Mungkin guru anda yang prihatin akan segera memaklumkan persoalan ‘remeh-temeh’ itu kepada pengetua, dan akhirnya, selepas melalui proses birokrasi – ‘cara pentadbiran yang banyak melibatkan peringkat dan peraturan’ atau ‘cara pemerintahan yang sangat-sangat dikuasai oleh pegawai kerajaan’ atau ‘sistem pemerintahan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai yang tidak dipilih oleh rakyat’ menurut Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (DBP: 1988) – maka akhirnya (segala pujian bagi Tuhan!) masalah yang anda hadapi akan sampai kepada pengetahuan individu yang kebetulan menjadi Menteri Pelajaran pada masa itu.


Maka, Menteri Pelajaran yang tentunya seratus peratus menyokong gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diasaskan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak yang amat kita cintai dan kasihi, akan segera mengarahkan pegawai berkenaan di Kementerian Pelajaran supaya bertindak segera bagi menyelesaikan masalah.


Selepas sekali lagi melalui proses birokrasi – ‘sistem pemerintahan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai yang tidak dipilih oleh rakyat’ atau ‘cara pemerintahan yang sangat-sangat dikuasai oleh pegawai kerajaan’ atau ‘cara pentadbiran yang banyak melibatkan peringkat dan peraturan’ – maka akhirnya (segala pujian sekali lagi hanya bagi-Mu, Tuhan!) mungkin adik-adik anda yang kini belajar di Tingkatan Satu akan mendapat manfaat menerusi Glosari khas yang mungkin akan sempat disediakan, menjelang waktu mereka melangkah ke Tingkatan Lima!


Bayangkan: Betapa bertuah adik-adik anda.


Uthaya Sankar SB melarang individu yang ‘tidak tahu bahasa’ menjadi rakannya di Facebook. Celoteh beliau berhubung isu bahasa boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com


© Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini pertama kali tersiar di portal berita Free Malaysia Today pada 27 Januari 2011 sebelum dimuatkan di Blog Kavyan pada 28 Januari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca pelbagai hujah ‘lebih dewasa’ di hadapan Yang Arif.

No comments: