3 Oct 2010

Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan

Tarikh: 3 Oktober 2010 (Ahad)
Masa: 10.00 pagi
Tempat: Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Kehadiran:
Uthaya Sankar SB
Prabhawathy Govindarajoo
Hemantha Kumar Nagappan
Muniswaran Errisson
.

1. Ucapan Pengerusi Mesyuarat

.

Uthaya Sankar SB selaku pengerusi mesyuarat mengalu-alukan semua yang hadir dan mengatakan bahawa sudah agak lama acara baca cerpen tidak diadakan dalam skala besar. Mungkin perkara ini boleh difikirkan dan dirancang memandangkan Kavyan memang sinonim dengan acara berkenaan. Maklumat mengenai Kavyan juga disiarkan dalam Mutiara Minda terbitan MPH, Ogos-Oktober 2010. [Baca DI SINI]

.

2. Pengesahan Minit Mesyuarat Lalu

.

Setiausaha, Prabhawathy Govindarajoo membentangkan Minit Mesyuarat (1 Ogos 2010). Pengesahan oleh Hemantha Kumar dan Muniswaran Errisson.

.

3. Penyata Kewangan

.

Bendahari, Muniswaran Errisson membentangkan kedudukan kewangan Kavyan. Pengesahan oleh Prabhawathy Govindarajoo dan Uthaya Sankar SB.

.

4. Aktiviti 2 Ogos – 2 Oktober 2010

.

4 Ogos 2010 (Rabu)

Uthaya Sankar SB menerangkan mengelai pelancaran Sudut Sasterawan Negara di SMK Bandar Utama Damansara (4). Berita bergambar telah disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 16 Ogos 2010 [DI SINI] dan dalam majalah e@siswa keluaran Oktober 2010.
.

13 Ogos 2010 (Jumaat)

Uthaya Sankar SB telah diundang memberi ceramah motivasi (bukan orientasi peperiksaan) kepada sekumpula pelajar kaum India di Sekolah Tungku Ampuan Rahimah (STAR), Klang. Peluang juga digunakan untuk mempromosi aktiviti dan blog Kavyan.
.

18 Ogos 2010 (Rabu)

Surat Taklimat Khas Budaya Kaum India dikirim kepada Pengetua di sebuah sekolah menengah di Kulaijaya, Johor.
.

26 Ogos 2010 (Khamis)

Uthaya Sankar SB diundang menjadi moderator Bicara Penerbitan Buku di UiTM Shah Alam.
.

30 Ogos 2010 (Isnin)

Prabhawathy Govindarajoo melaporkan mengenai penyertaan dalam siaran langsung rancangan Di Luar Lingkungan (RTM) sempena Kemerdekaan. Antara foto DI SINI.
.

6 September 2010 (Isnin)

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) diundang melancarkan BookFest@Malaysia selepas pihak Popular Berhad menghubungi Kavyan untuk menguruskan undangan itu. Antara foto DI SINI.
.

21 September 2010 (Selasa)

Uthaya Sankar SB menghadiri Seminar Pencinta Buku Malaysia di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Antara foto DI SINI.
.

22 September 2010 (Rabu)

Perihal Taklimat Khas Budaya Kaum India disiarkan dalam Sinar Harian (Johor) dan masih tiada apa-apa reaksi daripada pihak berkenaan.
.
2 Oktober 2010 (Sabtu)
Uthaya Sankar SB menerangkan mengenai Konvoi ke Rumah Ibadat di Jalan Ipoh dan Jalan Sentul yang disertai sepuluh individu. Foto-foto boleh dilihat DI SINI.
.

5. Aktiviti Akan Datang

.

6 Oktober 2010 (Rabu)

Baca Cerpen sempena Minggu Bahasa di Kolej Taylor’s, Subang Jaya. Uthaya Sankar SB dan Kavyan diundang mengendalikan acara itu sempena Bulan Bahasa.
.

7 Oktober 2010 (Khamis)

Sembang Santai Bersama Dr Lim Swee Tin di Kolej Taylor’s, Subang Jaya. Uthaya Sankar SB diundang mewakili Kavyan sebagai moderator.
.

6. Cadangan Aktiviti oleh AJK

.

Sumbangan Deepavali

Muniswaran Errisson mencadangkan Kavyan memberi sumbangan kepada rumah kebajikan (rumah anak yatim) sempena sambutan Deepavali (yang disambut pada 5 November 2010). Sumbangan perlu diberikan sebelum tarikh sambutan. Prabhawathy Govindarajoo mencadangkan rumah kebajikan yang kecil dan benar-benar memerlukan bantuan berupa barang-barang keperluan seperti beras, susu, gula dan tepung. Mesyuarat memutuskan supaya dua keluarga miskin tegar dikenal pasti untuk menerima sumbangan Deepavali daripada Kavyan. Muniswaran Errisson menguruskan penerima bantuan.
.

Sumbangan Alat Tulis

Prabhawathy Govindarajoo mencadangkan sumbangan buku nota dan alat tulis kepada pelajar miskin pada akhir Disember 2010 sebagai persiapan permulaan penggal persekolahan 2011. Pelajar/murid boleh dikenal pasti mulai sekarang bagi tujuan ini. Diuruskan oleh Prabhawathy Govindarajoo.
.

Sumbangan ADUN

Prabhawathy Govindarajoo mencadangkan supaya kertas kerja mengenai kerja-kerja amal Kavyan didokumentasikan dan diserah bersama-sama kertas cadangan projek kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendapatkan sokongan dan dana bagi menjalankan program seperti Bengkel Cereka UPSR dan Bengkel Cereka PMR sepanjang 2011. Uthaya Sankar SB diminta menguruskan kertas kerja dan mengatur pertemuan dengan ADUN terbabit.
.

Sumbangan Dana

Hemantha Kumar Nagappan mencadangkan supaya individu yang sedia memberi bantuan dalam bentuk kewangan dan bentuk-bentuk lain dikenal pasti supaya dapat mengurangkan beban Kavyan mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya. Jawatankuasa diminta mengemukakan cadangan individu/pihak yang boleh dihubungi bagi tujuan itu. Kertas kerja mengenai aktiviti Kavyan sejak 1999 boleh digunakan sebagai bukti kredibiliti.
.

7. Hal-hal berbangkit

.

Muniswaran Errisson selaku Bendahari bertanya mengenai resit pendaftaran keahlian Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja (MBBY) seperti yang diputuskan dalam mesyuarat lalu. Uthaya Sankar SB, yang juga AJK MBBY, memaklumkan bahawa borang belum diserahkan kerana Mesyuarat Jawatankuasa MBBY belum diadakan.

.

8. Mesyuarat Akan Datang

.

Jawatankuasa Kavyan menetapkan mesyuarat akan datang pada 28 November 2010 (Ahad), 10:00 pagi di Shah Alam.

.

9. Penangguhan Mesyuarat

.
Memandangkan tiada hal lain yang perlu dibincangkan, mesyuarat ditangguhkan pada jam 11:15 pagi, diikuti jamuan ringan.

No comments: